Dec 31, 2008

Istikharah - Jadikanlah Amalan

Bila di sebut sahaja Solat Istikharah kebanyakan di kalangan kita hanya terkenangkan ketika hendak memilih jodoh. Ia begitu sinonim sekali dalam membuat keputusan untuk memilih bakal teman hidup tidak kira bagi lelaki atau perempuan. Perkara ini mungkin berlaku kerana penekanan di kalangan sesetengah Ustaz dalam soal istikharah ini dikaitkan dengan memilih jodoh sahaja.

Sebenarnya amalan solat sunat Istikharah ini skopnya lebih luas. Kita kadang-kadang tidak diberikan peringatan dalam soal ini. Sedangkan amalan Solat Istikharah ini sangat-sangat di galakkan oleh Rasulullah sebagaimana disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari;

Mahfum Hadis: Dari Jabir ra., ia berkata: “Nabi pernah mengajarkan kepada kami Istikharah dalam berbagai urusan, seperti mengajarkan sebuah surah dalam Al Quran. Kalau seseorang dari kamu menghendaki sesuatu, maka hendaklah ia solat dua rakaat, kemudian berdoa."

Perlu juga diingat bahawa tidaklah menjadi suatu kemestian di dalam Istikharah; seseorang itu mendapat tanda di dalam mimpi. Amalan istikharah sebelum tidur dan kemudian tidur dengan berwudhu bagi mendapat mimpi tanda istikharah adalah hanya cadangan dari Al-Allamah Ibn ‘Abidin (rujuk Hasyiah Ibn ‘Abidin).

Manakala ulama Mazhab Syafie, Maliki dan Hanbali pula menggalakkan istikharah dibuat dalam bentuk yang paling meyakinkan tanpa menyebut “tidur”. Hakikatnya tanda istikharah boleh diperolehi dengan pelbagai cara, antaranya; selepas berdoa atau solat, berbincang dengan orang yang boleh dipercayai dan berpengalaman, juga melihat kepada tanda-tanda sekeliling termasuk bakal pasangan (dalam hal nikah kahwin).

Solatlah istikharah sebanyak 7 kali berturut-turut. Adapun panduan agar solat istikharah dibuat sebanyak 7 kali datang dari sebuah hadith yang dhoif iaitu :
“Apabila kamu inginkan sesuatu maka beristikharahlah kepada tuhanmu sebanyak 7 kali kemudian perhatilah petanda / perasaan yang datang terlebih dahulu(dominan) di dalam hatimu” ( Riwayat Ibn Sunni dari Anas)

Terdapat juga ulama yang mencadangkan si pembuat istikharah agar jangan mempunyai kecenderungan tertentu kepada salah satu antara dua(atau lebih pilihannya) sebelum membuat istikharah. Demikian pandangan Ibn Hajar Al-‘Asqolani (Fath Al-Bari, 11/223)

Sejauh manakah kita perlu berpegang dengan jawapan istikharah, jawapannya tiada sebarang paksaan, malah jika gerak hati kita tiba-tiba berat untuk menolak walapun tanda-tanda menunjukkan “terima”, sebenarnya berat hati menolak itu jugalah tanda hasil istikharah.

Cuma tidak di nafikan bahawa kemungkinan membenci keputusan hati kita yang berkehendakan sesuatu itu adalah hasil hawa nafsu sebelum istikharah dimulakan, maka tatkala itu adalah digalakkan agar kita menuruti tanda-tanda Istikharah, ia berdalilkan doa yang diajarkan oleh nabi di atas yang menyebut “…berikanlah aku yang terbaik dimana jua ia berada dan jadikanlah daku redha dengannya”, sebutan ini jelas menunjukkan bahawa mungkin nafsu tidak begitu redha dengan keputusan istikharah tetapi kita memohon agar hati menjadi redha kerana keyakinan dengan petunjuk dari Ilahi.

Persoalan keputusan itu mendatangkan mudarat kepada orang lain, maka sepatutnya istikharah dibuat sebelum apa-apa langkah seterusnya dibuat. Sebaiknya mulakan dengan berbincang dengan pihak terbabit.

Cara Solat Istikharah.

Mengikut beberapa buah kitab seperti Kitab Minyatul Musolli, Sabilal Muhtadin dan Sairus Salikin, secara ringkasnya cara melakukan Solat Istikharah adalah seperti berikut;

• Waktu yang terbaik ialah pada 2/3 malam (iaitu sekitar pukul 2 pagi). Bagaimana pun boleh dilakukan pada bila-bila masa dalam waktu yang di haruskan sembahyang contohnya selepas maghrib.
• Niatnya “Sahaja aku sembahyang sunat istikharah dua rakaat kerana Allah ta’ala”
• Dalam rakaat pertama selepas Surah Al-Fatihah baca Surah Al-Kafirun atau apa-apa sahaja surah lain yang terbaik kita boleh baca.
• Dalam rakaat kedua selepas Surah Al-Fatihah baca Surah Al-Ikhlas atau apa-apa sahaja surah lain yang terbaik kita boleh baca.
• Selepas memberi salam baca doa berikut (mulakan dengan basmalah dan selawat dahulu).


“Allahumma inni astakhiruka bi`ilmika, wa astaqdiruka bi-qudratika, wa as’aluka min fadlika al-azim, fa’innaka taqdiru wala aqdiru, wa ta`lamu wa la a`lamu, wa anta `allamu-l-ghuyub.

Allahumma, in kunta ta`lamu anna hadhal-amra [sebutkan perkara] khairun li fi dini wa ma`ashi wa `aqibati ‘amri (or ‘ajili amri wa`ajilihi) faqdurhu li wa yas-sirhu li thumma barik li fihi. Wa in ta`lamu anna hadhal-amra sharrun li fi deeni wa ma`ashi wa `aqibati ‘amri (or `ajili amri wa ajilihi) fasrifhu `anni was-rifni `anhu, waqdur liya al-khaira haithu kana thumma ‘ardini bihi.”

Terjemahan Doa’ :
"Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku mohon kekuatan Mu menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian dari limpah kurnia Mu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini (…sebutkan hajat..) adalah baik bagiku dalam urusan agama ku juga dalam urusan penghidupan ku serta natijah pada urusan ku, kini dan akan datang, maka tetapkan lah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini (…sebutkan hajat..) membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya."
(Dari hadis riwayat Imam Bukhari)

Allah Sebaik-baik Pelindung, Sebaik-baik Penolong.

Sumber :
1. www.zaharudin.net
2. nurjeehan.wordpress

Ramalan Bintang - Horoskop

SOLAT mereka yang membaca ramalan bintang sama ada di akhbar, majalah atau di internet tidak akan diterima Allah selama 40 hari, tidak kira mereka percaya atau sebaliknya kerana perbuatan itu sama seperti berjumpa dengan tukang ramal.

Pensyarah fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nik Salida Suhaila Nik Saleh, menjelaskan perkara itu berdasarkan ulasan ulama terkenal Yusuf al-Qardawi mengenai hukum membaca ramalan bintang.

Katanya, walau seseorang itu tidak membenarkan apa yang dibaca, solatnya tetap tidak diterima selama 40 hari dan jika membaca serta membenarkan pula ramalan itu, maka orang itu dikatakan kufur kepada ajaran Muhammad.

Bagaimanapun katanya, jika membaca dengan tujuan untuk membantah, menjelaskan dan mengingkari amalan syirik, hukumnya dituntut malah menjadi wajib kerana tujuan memberi pengajaran kepada orang lain.

"Jelas amalan meramal, membaca dan menaruh sikit rasa yakin apa dikatakan ramalan bintang itu perlu dijauhi mulai hari ini. Ini bukan perkara main-main atau seronok-seronok kerana ia bercanggah dengan hukum Islam," katanya.

Katanya, perkara itu juga jelas daripada hadis riwayat Muslim bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang datang kepada dukun kemudian dia membenarkan terhadap apa yang dikatakan olehnya, maka solat orang itu tidak diterima Allah selama 40 hari."

Perbahasan mengenai minat masyarakat hari ini terhadap ilmu ramalan termasuk membaca horoskop dibincangkan Nik Salida bersama Al-Fadhil Kadi Daerah Temerloh, Badli Shah Alauddin, dalam program Halaqah terbitan TV9 yang disiarkan malam Ahad lalu dengan tajuk Bintang 12.

Program yang mengulas mengenai ayat 105, surah an-Nahl, mengajak penonton menghindari perbuatan berjumpa atau mempercayai tulang tilik dan tukang ramal kerana Allah memberi amaran mengenai golongan pembohong itu.

Nik Salida berkata, tidak dinafikan ramai yang mengatakan tujuan mereka membaca ramalan bintang adalah suka-suka tetapi amalan bermula daripada suka-suka itu akhirnya menyebabkan mereka menjadi obses seterusnya terpengaruh dengan apa yang dibaca.

Katanya, ada kalangan masyarakat hari ini yang melanggan ramalan bintang melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mengetahui apa yang diperkatakan mengenai nasib mereka atau perkara bakal dilalui mereka setiap hari, minggu atau bulan.

Sedangkan, perbuatan itu bukan saja merosakkan akidah malah menyebabkan hidup mereka tidak keruan kerana pengaruh ramalan itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada aktiviti atau perancangan mereka pada hari itu.

"Jika tidak percaya atau untuk suka-suka kenapa hingga melanggan SMS horoskop. Maknanya bangun pagi kita mahu tengok apa yang diramalkan untuk kita hari itu. Begitu juga dengan membaca di akhbar dan majalah, kenapa kita hendak tahu ramalan.

"Jika katanya dalam bab rezeki apa yang diperoleh tidak setanding kerja dilakukan, maka akan timbul perasaan malas buat kerja sebab rezeki yang dapat sikit saja. Kesan ramalan ini bukan saja pada akidah, juga aspek psikologi.

"Daripada suka-suka itu juga apabila kebetulan perkara diramalkan itu benar berlaku ia mula menerbitkan kepercayaan yang akhirnya menyebabkan mereka jatuh ke lembah kepercayaan perkara karut-marut ini," katanya.

Badli Shah berkata, golongan yang percaya kepada Bintang 12 atau ramalan tukang tilik mengenai untung nasib atau hari baik dan tidak adalah mereka yang tidak percaya ketentuan Allah serta ciptaannya.

Beliau berkata, Allah sudah memberi amaran mengenai golongan itu di dalam al-Quran di mana Allah murka dan mengatakan mereka sebagai golongan pembohongan serta penipu kerana mendahului takdir Allah.

Katanya, apa yang dikhuatiri ialah disebabkan ramalan itu umat Islam lupa bahawa setiap sesuatu yang terjadi itu adalah dengan izin Allah dan ini memberi kesan daripada sudut akidah mereka.

"Jika Allah tidak izinkan perkara itu berlaku, ia tidak akan jadi. Tukang ramal pusinglah daun terup atau biarlah burung dia bercakap tetapi tanpa izin Allah tidak akan berlaku. Malangnya kita tengok, zaman moden ramai yang kembali percaya dan mencari petunjuk daripada zodiak," katanya.

Katanya, kepercayaan kepada ramalan terutama tukang tilik dan ahli nujum boleh mendatangkan kesan negatif seperti menyebabkan pergaduhan antara suami isteri, permusuhan sesama jiran atau sahabat karib.

Contohnya, isteri yang diberitahu mengenai sikap suami atau ramalan bahawa suami akan berkahwin lagi pastinya menyebabkan berlaku perbalahan dan paling malang lagi jika perkara itu tidak benar sama sekali.

Rasulullah SAW turut berdepan dengan kelompok masyarakat Arab yang taksub dengan ramalan dan kiraan bintang hingga Baginda menyebut akan tiga golongan itu terdiri daripada mereka yang mampu meramal bintang, meramal barang hilang dan melakukan ramalan berdasarkan pergerakan bintang di langit.

Malah, Baginda SAW pernah didatangi beberapa orang yang meminta Baginda meramal masa depan orang Arab tetapi Baginda memberitahu, jika diketahui perkara ghaib nescaya dirinya sudah mendapat kemewahan serta terlepas dari musibah.

Mengulas mengenai sejarah Bintang 12, Badli Shah berkata, kepercayaan itu berasal dari Mesopotania, daerah asal orang Babylon terletak antara sungai Tigris dan Euphrates dan kini terletak di tenggara Iraq.

Ilmu itu berkembang sejak Babylon kuno 200 tahun sebelum masihi dan secara bertahap. Amalan dan kepercayaan itu semakin berkembang hingga tahap yang dikenali sebagai horoskop atau Bintang 12 yang mengaitkan keperibadian dengan tarikh lahir berpandukan bintang.

"Contohnya bintang Capricorn untuk mereka yang lahir 22 Disember hingga 20 Januari ikut mitos Yunani ialah lambang kambing. Kambing itu bernama Almateus dan pernah beri air pada Dewa Zeus iaitu dewa tertinggi bagi bangsa kuno ketika kecil.

"Oleh itu, bagi mengenang jasa kambing itu ia dijadikan bintang dan bercahaya di langit. Kesimpulannya, Capricorn itu kambing saja. Di sini pun banyak kambing, tidak perlu tengok ke langit. Umat Islam perlu renung sejenak adakah bintang ini sesuai dengan peribadi Muslim.

"Sesuai ke jika umat Islam percaya kepada bintang kambing biri-biri atau lambang orang lelaki gagah tuang air dalam tempayan besar sedangkan banyak perkara lain lebih bermanfaat yang boleh kita fikirkan," katanya.

Justeru, beliau menasihati kepada umat Islam supaya menjauhi amalan membaca ramalan bintang atau tulang tilik walaupun untuk suka-suka kerana boleh memberi kesan kepada akidah serta amalan solat yang dilaksanakan...

Dec 27, 2008

Doa awal tahun dan akhir tahun

Barangsiapa yang membaca doa awal tahun ini, insya Allah dirinya akan terpelihara daripada gangguan dan godaan syaitan di sepanjang tahun tersebut.

Doa Awal Tahun:



Maksudnya:

Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia.

Wahai Tuhan Yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.

Barangsiapa yang membaca doa akhir tahun ini, maka syaitan akan berkata: "Hampalah kami di sepanjang tahun ini".

Doa Akhir Tahun:


Maksudnya:

Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunanMu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepadaMu.

Wahai Tuhan! Wahai yang Maha Pemurah! Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepadaMu Wahai Yang Maha Pemurah. Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka.

Dec 23, 2008

Berapa lama kita dikubur...

Awan sedikit mendung, ketika kaki kaki kecil Yani berlari-lari gembira di atas jalanan menyeberangi kawasan lampu merah Karet.

Baju merahnya yg kebesaran melambai-lambai di tiup angin. Tangan kanannya memegang ais krim sambil sesekali mengangkat kemulutnya untuk dicicipi, sementara tangan kirinya mencengkam sabuk celana ayahnya.

Yani dan ayahnya memasuki wilayah pemakaman umum Karet, berputar sejenak kekanan dan kemudian duduk di atas seonggok nisan "Hjh Rajawali binti Muhammad 19-10-1915:20- 01-1965"

"Nak, ini kubur nenekmu. Mari kita berdoa untuk nenekmu" Yani melihat wajah ayahnya, lalu menirukan tangan ayahnya yg mengangkat ke atas dan ikut memejamkan mata seperti ayahnya. Dia mendengar ayahnya berdoa untuk neneknya....

"Ayah, nenek waktu meninggal umur 50 tahun ya Yah." Ayahnya mengangguk sambil tersenyum, kemudian memandang pusara ibunya.

"Hmm, bererti nenek sudah meninggal 42 tahun ya Yah..." Kata Yani berlagak sambil matanya menerawang dan jarinya berhitung. "Ya, nenekmu sudah di dalam kubur 42 tahun... "

Yani memutar kepalanya, memandang sekeliling, banyak kuburan di sana . Di samping kuburan neneknya ada kuburan tua berlumut "Muhammad Zaini 19-02-1882:30-01-1910"

"Hmm.. Kalau yang itu sudah meninggal 106 tahun yang lalu ya Yah." Jarinya menunjuk nisan disamping kubur neneknya. Sekali lagi ayahnya mengangguk. Tangannya terangkat mengelus kepala anak satu-satunya.

"Memangnya kenapa sayang?" kata sang ayah menatap teduh mata anaknya.

"Hmmm, ayah khan semalam bilang, bahwa kalau kita mati, lalu dikuburkan dan kita banyak dosanya, kita akan disiksa dineraka" kata Yani sambil meminta persetujuan ayahnya. "Iya kan yah?"

Ayahnya tersenyum, "Lalu?"

"Iya .. Kalau nenek banyak dosanya, bererti nenek sudah disiksa 42 tahun di kubur? Kalau nenek banyak pahalanya, bererti sudah 42 tahun nenek senang dikubur .... Betul kan yah?" mata Yani berbinar kerana bisa menjelaskan kepada ayahnya pendapatnya.

Ayahnya tersenyum, namun sekilas tampak keningnya berkerut, kelihatan cemas. "Iya nak, kamu pintar," kata ayahnya pendek.

Pulang dari pemakaman, ayah Yani tampak gelisah di atas sajadahnya, memikirkan apa yang dikatakan anaknya. 42 tahun hingga sekarang, kalau kiamat datang 100 tahun lagi... 142 tahun disiksa... atau bahagia dikubur? Lalu ia tertunduk ... Menitiskan air mata...

Kalau dia meninggal, lalu banyak dosanya, dan kiamat masih 1000 tahun lagi bererti dia akan disiksa 1000 tahun?

Innalillaahi wainna ilaihi rooji'un.

Air matanya semakin banyak menitis, sanggupkah dia untuk disiksa selama itu? Itu kalau kiamat 1000 tahun ke depan, kalau 2000 tahun lagi? Kalau 3000 tahun lagi? Selama itu ia akan disiksa di kubur. Lalu setelah dikubur? Bukankah akan lebih parah lagi? mampukah dia bertahan? Padahal melihat adegan preman dipukuli massa ditelevisi kelmarin dia sudah tak tahan?

Ya Allah... Ia semakin menunduk, tangannya terangkat separas keatas bahunya, nafasnya naik turun tak teratur.... air matanya semakin membanjiri, membasahi janggutnya.

Allahumma as aluka khusnul khootimah...

Berulang kali di bacanya doa itu hingga suaranya serak ... Dan ia berhenti sejenak ketika terdengar batuk Yani.

Dihampirinya Yani yang tertidur nyenyak. Di betulkannya selimutnya. Yani terus tertidur.... tanpa tahu, betapa bapanya begitu berterima kasih padanya kerana telah menyedarkannya erti sebuah kehidupan... dan apa yang akan datang di depannya...

"Yaa Allah, letakkanlah dunia ditanganku, jangan Kau letakkan dihatiku..."

Nota : Dari kiriman email teman.

Nov 26, 2008

Nasihat Ibnu Qayyim

Di dalam hati manusia ada kekusutan dan tidak akan terurai kecuali menerima kehendak Allah swt.

Di dalam hati manusia ada keganasan dan tidak akan hilang kecuali berjinak dengan dengan Allah swt

Di dalam hati manusia ada kesedihan dan tidak akan hilang kecuali seronok mengenali Allah swt

Di dalam hati manusia ada kegelisahan dan tidak akan tenang damai kecuali berlindung, bertemu dan berjumpa denganNya

Di dalam hati manusia ada penyesalan dan tidak akan padam kecuali redha dengan suruhan dan laranganNya serta qadha dan qadarNya serta kesenantiasaan sabar sehingga menemuiNya

Di dalam hati manusia ada hajat dan tidak akan terbendung kecuali kecintaan kepadaNya dan bermohon kepadaNya.

Kesentiasaan berzikir kepadaNya adalah keikhlasan sebenar kepadaNya. . . . . .

Andai dunia dan isinya diberikan kepada manusia masih tidak lagi dapat membendung hajat hati sihamba itu.

Nov 20, 2008

Bersihkan hati

Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya hati manusia akan berkarat sebagaimana besi yang dikaratkan oleh air. "

Bila seorang bertanya, "Apakah caranya untuk menjadikan hati-hati ini bersih kembali?"

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Selalulah ingat mati dan membaca Al Quran."

Sucikanlah 4 hal dengan 4 perkara : "Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan, Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu, hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Rabbmu, ..dan dosa-dosa yang silam di sulami dengan taubat kepada Dzat yang Memiliki mu."

Nov 14, 2008

Menjiwai Al-Quran

Berapa ramai yang membaca Al-Quran? Yang berusaha memahami maksud setiap ayat suci yang dibaca? Berapa kerat yang menjadikan bacaan Al-Quran sebagai hidangan yang harus disantap oleh mata, dikecap di bibir, dihalwakan ditelinga sepertimana hidangan makanan yang disentuh setiap hari?

Mungkin ada yang berkata, "Cukuplah tu. Dah baca Quran, kira ok lah tu, daripada tak baca langsung!"

Malah ada yang berkata, "Sembahyang pun kira macam dah baca Quran jugak kan."

Bacaan Al-Quran dalam solat, mana cukup! Apatah lagi ayat yang dibaca hanyalah ayat-ayat pendek yang sama setiap hari. Itupun kalau solat, kalau tak solat? Kesibukan sehingga dirasakan tak cukup 12 jam sehari. Itulah alasan duniawi yang menyebabkan ramai yang mengambil mudah soal berbicara dengan Allah.

Membaca Quran ialah berbicara dengan Allah. Dalam solat ataupun diluar solat, kita sepatutnya sentiasa menyebut dan mengingati Allah. Membaca Al Quran tanpa memahami apa yang dituturkan, bukankah ia seolah tak membaca? Mungkin ramai yg dah khatam membaca Quran, paling tidak sekali dalam hidup. Tapi berapa ramai yang khatam membaca terjemahan Quran, apatah lagi tafsirannya!

Membaca dan memahami itu penting untuk memastikan apa yang dibaca itu meresap ke jiwa. Lalu seharusnya kita berusaha untuk mengkhatamkan terjemahan Al-Quran, dan lebih baik lagi jika dapat membaca kitab-kitab tafsir Al-Quran. Namun sebaiknya mengikuti kelas tafsiran Quran yang dikendalikan oleh Ustaz yang bertauliah.

Bila kita mampu memahami dan menyerapi apa yang dibaca, ia memberi banyak kebaikan dan memberi kesan positif yang kadang tu tak disedari oleh kita. Dan kegagalan menghayati bacaan kitab suci itu, mungkin membuatkan pembacanya hilang 'kekebalan' diri. Kebal yang dimaksudkan ialah ketahanan diri dari ujian Tuhan dan kejahatan syaitan.

Memahami ayat-ayat suci yang dituturkan, terutama didalam solat, akan membantu mempertingkatkan kekhusyukan. Berdoa seharusnya penuh perasaan. Tapi bila kita tak mampu memahami apa yang didoakan, sejauh mana ia dapat menagih perhatian Allah untuk mengabulkan apa yang diminta?

Membaca Yaasin setiap malam Jumaat seolah satu tradisi pada masyarakat kita. Kenduri arwah Yaasin dibaca, anak nak exam, air dari bacaan Yaasin diberikan, nak naik rumah baru, Yaasin juga yang dipilih! Sedangkan banyak sekali surah-surah lain yang baik, boleh dan perlu dijadikan amalan.

Surah Al-Waqiah (bacaan murah rezeki), surah Al-Kahfi (bacaan paling baik untuk menghiasi malam Jumaat), As-Sajdah, Ad-Dukhaan, Al-Mulk dan banyak lagi.

Ramai yang tak tahu surah Al-Baqarah mampu menghalang jin dan syaitan dari memasuki rumah. Tapi bukannya sekali baca, dan 'ketahanan' itu kekal sehingga bila-bila. Ia hanya mampu menjadi pendinding untuk 3 hari saja. Dan ia perlu dibaca lagi.

Istiqamah dalam membaca Al-Quran dan memahami apa yang dibaca. Itulah yang sebaiknya.

Nota : Di ambil dari ceramah oleh Ustaz Mohd Nizam Abd Kadir (Pensyarah Jab Bahasa Al-Quran UIA) dalam slot Bicara Ad-Din (8 Sep 2008, 6.45 - 8.00 pagi) bertempat di MSSAAS, Shah Alam.

Nov 10, 2008

Air Masin & Air Tawar

"Dan Dialah yang membiarkan dua laut mengalir (berdampingan); yang ini tawar lagi segar dan yang lain masin lagi pahit; dan Dia jadikan antara keduanya dinding dan batas yang menghalangi."(Q.S Al Furqan:53)

Jika anda termasuk orang yang gemar menonton rancangan TV `Discovery' pasti kenal Mr.Jacques Yves Costeau, ia seorang ahli oceanografer dan ahli selam terkemuka dari Perancis.

Orang tua yang berambut putih ini sepanjang hidupnya menyelam ke perbagai dasar samudera di seantero dunia dan membuat filem dokumentari tentang keindahan alam dasar laut untuk ditonton di seluruh dunia.

Pada suatu hari ketika sedang melakukan eksplorasi di bawah laut,tiba-tiba ia menemui beberapa kumpulan mata air tawar-segar yang sangat sedap rasanya kerana tidak bercampur/tidak melebur dengan air laut yangmasin di sekelilingnya, seolah-olah ada dinding atau membran yang membatasi keduanya.

Fenomena ganjil itu memeningkan Mr. Costeau dan mendorongnya untuk mencari penyebab terpisahnya air tawar dari air masin di tengah-tengah lautan. Ia mulai berfikir, jangan-jangan itu hanya halusinansi atau khayalan sewaktu menyelam.

Waktu pun terus berlalu setelah kejadian tersebut, namun ia tak kunjung mendapatkan jawapan yang memuaskan tentang fenomena ganjil tersebut.

Sampai pada suatu hari ia bertemu dengan seorang profesor muslim, kemudian ia pun menceritakan fenomena ganjil itu. Profesor itu teringat pada ayat Al-Quran tentang bertemunya dua lautan (surat Ar-Rahman ayat 19-20) yang sering diidentitikan dengan Terusan Suez.

Ayat itu berbunyi "Marajal bahraini yaltaqiyaan, bainahumaa barzakhun laa yabghiyaan..."
Ertinya: "Dia biarkan dua lautan bertemu, di antara keduanya ada batas yang tidak boleh ditembus." Kemudian dibacakan surat Al Furqan ayat 53 di atas.

Selain itu, dalam beberapa kitab tafsir, ayat tentang bertemunya dua lautan tapi tak bercampur airnya diertikan sebagai lokasi muara sungai, di mana terjadi pertemuan antara air tawar dari sungai dan air masin dari laut.

Namun tafsir itu tidak menjelaskan ayat berikutnya dari surat Ar-Rahman ayat 22 yang berbunyi "Yakhruju minhuma lu'lu`u wal marjaan"ertinya "Keluar dari keduanya mutiara dan marjan." Padahal di muara sungai tidak ditemukan mutiara.

Terpesonalah Mr. Costeau mendengar ayat-ayat Al Qur'an itu, melebihi kekagumannya melihat keajaiban pemandangan yang pernah dilihatnya di lautan yang dalam. Al Qur'an ini mustahil disusun oleh Muhammad yang hidup di abad ke tujuh, suatu zaman saat belum ada peralatan selam yang canggih untuk mencapai lokasi yang jauh terpencil di kedalaman samudera.

Benar-benar suatu mukjizat, berita tentang fenomena ganjil 14 abad yang silam akhirnya terbukti pada abad 20. Mr. Costeau pun berkata bahawa Al-Qur'an memang sesungguhnya kitab suci yang berisi firman Allah, yang seluruh kandungannya mutlak benar. Dengan seketika dia pun memeluk Islam.

Allahu Akbar...! Mr. Costeau mendapat hidayah melalui fenomena teknologi kelautan. Maha Benar Allah yang Maha Agung. Shadaqallahu Al `Azhim.

Nov 3, 2008

Hukum isteri meleteri suami

"Abang ni balik je kerja, tak nak langsung tolong saya siapkan kerja rumah. Baca suratkhabar, menghadap TV, itu jelah yang awak tahu. Kitakan sama-sama bekerja bang. Saya pun penat macam abang juga.Sekurang- kurangnya buatlah air kopi sendiri, bukannya susah pun. Tukarkan lampin anak ke, ringan sikit kerja saya ni. Nak masak lagi. Abang juga yang nak makan nanti... pot.. pet.. pot.. pet..... " leter Ina kepada suaminya sejurus kembali dari pejabat masing-masing.

Kalaulah Ina tahu, betapa besar hukuman serta dosanya meleteri suami sendiri,sudah tentu dia tidak akan mengulangi perbuatannya itu. Lebih-lebih lagi, sekiranya Intan menghayati ganjaran pahala yang tidak ternilai kerana berbakti kepada suaminya. Dia tidak akan merasa susah mahupunpenat dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu.

Dewasa ini boleh dikatakan fenomena isteri meleteri suami atau dalam kata lain tidak menghormati suami. Bagaikan sudah menjadi satu perkara lumrah bagi kebanyakkan pasangan, tanpa sedikitpun merasa bersalah melayani mereka seperti adik lelaki sahaja lagaknya.

Apa yang lebih mendukacitakan, apabila ada di kalangan isteri yang menyifatkan menjaga peribadinya dengan bersikap sopan terhadap suami sebagai ketinggalan zaman.

Keadaan ini juga akan menjadi model yang tidak baik kepada anak-anak yang mungkin diwarisi dari satu generasi ke satu generasi lain sehingga akhirnya menjadi satu budaya yang negatif.

Banyak nas al-Quran, terutamanya hadis Nabi yang membincangkan tentang kewajipan isteri mentaati suami, selagi tidak diminta melakukan perbuatan maksiat.

Sabda Rasulullah s. a. w. yang bermaksud: "Jika sekiranya aku berhak menyuruh seseorang supaya sujud kepada seseorang yang lain, nescaya aku menyuruh para isteri sujud kepada suaminya." Hadis tersebut menerangkan betapa kepatuhan isteri terhadap suami amat diutamakan demi kebaikan sesebuah institusi keluarga, sesuai kedudukannya sebagai pemimpin rumah tangga.

Demikian juga halnya ketika junjungan besar Nabi Muhammad s. a... w. mikraj kelangit. Baginda telah dipersaksikan dengan neraka dan penghuninya yang kebanyakannya terdiri daripada kaum wanita.

Ali Karramallahu Wajhah berkata: "Aku masuk ke rumah Nabi beserta Fatimah,aku mendapati baginda sedang menangis tersedu-sedan." Aku bertanya, "Ya Rasulullah, apa yang membuat anda menangis?"

Baginda menjawab, "Ya Ali, pada malam aku diangkat ke langit, aku melihat kaum perempuan daripada umat ku disiksa di neraka dengan bermacam-macam seksaan. Lalu aku menangis kerana begitu berat seksaan mereka yang aku lihat."

MENGHERDIK
Baginda antara lain melihat perempuan yang digantungkan dengan lidahnya, sedangkan air panas dituangkan ke dalam tenggoroknya kerana ia telah menyakitidan menyumpah-nyumpah suaminya.

Ada isteri yang tergamak bercakap kasar malah mengherdik suaminya kerana tidak mendapat apa yang diminta seperti barang kemas, perabot rumah berupa set sofa dan TV rata 29 inci yang menjadi trend semasa.

Lebih buruk lagi perangai si isteri apabila membanding-bandingk an suami dengan jiran tetangga yang mampu menyediakan barangan terbabit, sekali gus dilabelkan sebagai suami mithali. Bukan tidak boleh sama sekali meminta sesuatu daripada suami tetapi janganlah menggesa mereka menuruti kemahuan anda sehingga membebankan dirinya.

Sebaliknya, isteri patut bersyukur kerana berpeluang meraih keredhaan Allah.
Nabi Muhammad s. a. w. bersabda, "Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada seorang isteri yang tidak bersyukur kepada suaminya."

Hal ini biasa terjadi kepada suami yang miskin, manakala isterinya pula tergolong dalam orang-orang berada, yang suka mengungkit-ungkit mengenai hartanya, apatah lagi yang telah dinafkahkan kepada suaminya.

Mungkin ia agak sukar untuk dipenuhi apatah lagi bagi isteri yang bekerja,namun percayalah, ia bukan sahaja akan menjadi perkara biasa tetapi juga ringandan lancar, jika kita menganggapnya sebagai ibadah dan juga satu jihad.

Marilah kita sama-sama merenungi kisah anakanda kesayangan Nabi Muhammad s. a.w. iaitu Fatimah Az-Zahra yang melaksanakan rutin hariannya sebagai seorang suri rumahtangga secara sendirian tanpa pembantu. Fatimah pada suatu hari telah meminta suaminya, Ali pergi menemui Rasulullah s. a. w. dan meminta jasa baik baginda untuk menyerahkan seorang wanita tawanan perang sebagai pembantu rumah.

Rasulullah bagaimanapun tidak dapat memperkenankan permintaan puterinya kerana semua harta rampasan perang termasuk wanita-wanita itu bukan menjadi milik baginda, tetapi milik negara Islam dan kaum Muslimin seluruhnya.

Baginda tidak dapat memberikan sesuatu yang bukan menjadi miliknya.
Permintaan Fatimah itu membimbangkan baginda, bukan kerana tugas berat yang sedang dipikul oleh puterinya itu tetapi disebabkan oleh bayangan keluh kesah seorang isteri yang tertekan akibat tugas-tugas yang perlu dibereskannya.
Pada sebelah malamnya, baginda telah mengunjungi rumah Fatimah dan menyatakan kepadanya: " Apakah kamu berdua (Fatimah dan Ali) suka kepada satu pemberian yang akan ku berikan ini, sedangkan ia lebih baik daripada apa yang kamu minta siang hari tadi? "

Fatimah amat sukacita mendengarkan tawaran tersebut sekalipun dia tidak mengetahui apa bentuknya. Rasulullah menyatakan kepada Fatimah bahawa hendaklah dia membaca Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahu Akbar, masing-masing sebanyak 33 kali setiap kali sebelum tidurnya.

Semenjak itu, wirid yang diajarkan oleh Rasulullah telah menjadi amalan anakdan menantunya. Hasilnya, Fatimah mendapati dia tidak lagi menjadi keluh kesah dalam menghadapi apa jua kerja-kerja sehariannya yang berat, malah merasa cukup bahagia melakukannya.

Baginya, segala tugasan yang disempurnakannya sebagai seorang suri rumah merupakan satu amalan yang solehah. Dengan taufik Allah, sesungguhnya walauseberat mana sekalipun tugasan yang menanti di rumah, tidak akan memenatkan selagi steri tidak meletakkan dirinya seolah-olah sama taraf dengan suami, walau setinggi mana sekalipun darjatnya.

Kepada para suami, kita sama-sama maklum, dalam zaman moden yang serba mencabar ini terutamanya di bandar-bandar besar, kita tidak dapat mengelak kos sara hidup yang tinggi sekaligus memerlukan kedua-dua suami isteri keluar bekerja.

Si isteri telah melakukan pengorbanan mencari rezeki tambahan untuk menyara keluarga yang sepatutnya menjadi tanggungjawab suami. Jadi sudi apalah kiranya sang suami bersama-sama meringankan tugas si isteri seadanya. Bukankah Rasulullah s.a.w. telah berpesan supaya para suami berbuat baik kepada isteri mereka. Jikalau isteri taat kepada kalian, janganlah pula menyusahkan mereka.

Nabi Muhammad s. a. w. bersabda yang ertinya: "Orang-orang yang terbaik daripada kamu sekalian adalah yang lebih baik dalam mempergauli keluarganya dan saya adalah yang terbaik dalam mempergauli keluargaku."
Bagi kaum wanita & lelaki yg sudah berumah-tangga, marilah kita sama-sama belajar saling tolong-menolong meringankan beban pasangan kita.

Semoga kisah tadi membawa menfaat bagi kita semua... insya'Allah. .

SIKAP ISTERI tidak menghormati SUAMI adalah GEJALA SOSIAL MUSLIM sekarang. Ia dilakukan kerana berfikir bahawa SUAMI mesti buat seperti ISTERI dalam RUMAHTANGGA.

TABIAT-ISTERI suka meleteri suami dan TABIAT-SUAMI yang suka meletakkan semua tanggungjawab rumahtangga ke atas bahu isteri semata-mata; mestilah dihentikan, demi mendidik MENTAL ZURIAT kita ke suatu BUDAYA IBADAT.

Sumber : email

Oct 29, 2008

Akhlak Rasulullah : Kisah Pemberian Limau

Suatu Hari Rasulullah SAW didatangi oleh seorang wanita kafir. Ketika itu baginda bersama beberapa orang sahabat. Wanita itu membawa beberapa biji buah limau sebagai hadiah untuk Baginda. Cantik sungguh buahnya. Siapa terlihat pasti terliur.

Baginda menerimanya dengan senyuman gembira. Hadiah itu dimakan oleh Baginda Rasulullah SAW seulas demi seulas dengan senyuman. Biasanya Rasulullah SAW akan makan bersama para sahabat, namun kali ini tidak. Tidak seulas pun limau itu diberikan kepada mereka.

Rasulullah SAW terus makan. Setiap kali dengan senyuman, hinggalah habis semua limau itu.

Kemudian wanita itu meminta diri untuk pulang, diiringi ucapan terima kasih dari baginda. Sahabat-sahabat agak hairan dengan sikap Rasulullah SAW itu. Lalu mereka bertanya.

Dengan senyuman Rasulullah menjelaskan ;

"Tahukah kamu, sebenarnya buah limau itu terlalu masam semasa saya merasainya kali pertama. Kiranya kalian turut makan bersama, saya bimbang ada di antara kalian akan mengenyitkan mata atau memarahi wanita tersebut. Saya bimbang hatinya akan tersinggung. Sebab itu saya habiskan semuanya."

Begitulah akhlak Rasullullah SAW. Baginda tidak akan memperkecil-kecilkan pemberian seseorang biarpun benda yang tidak baik, walaupun dari orang yang bukan Islam.

Oct 12, 2008

Kewajipan suami terhadap isteri.

Seorang suami mempunyai beberapa kewajipan terhadap isteri. Antara lain menggaulinya dengan baik dan menahan diri atas perangai yang kadang-kadang menyakitkan sebab memaklumi atas kependekan akalnya.

Rasulullah bersabda;

"Siapa sabar atas keburukan akhlak isterinya, Allah memberinya pahala seperti yang di berikan kepada Nabi Ayub. Dan barang siapa bersabar atas keburukan akhlak suaminya, Allah memberinya seperti pahala Asiah isteri Firaun. "


Etri menggauli mereka dengan baik bukan saja tidak menyakitkannya, akan tetapi juga menahan diri dan sabar atas perbuatan yang menyakitkanmu. Bahkan tidak memarahinya.

Al Hassan mengatakan;

"Setiap lelaki yang mengikuti saja keinginan isterinya, maka Allah akan melemparkannya ke neraka. "

Rasulullah bersabda;

"Celakalah hamba kepada isterinya."

Baginda mengatakan demikian kerana jika seseorang lelaki mengikuti saja keinginan isteri seolah-olah dia menjadi hambanya, celakalah dia. Allah tidak suka suami yang terlalu tunduk pada isteri yang tunduk pada nafsu kerana ini bererti dia juga telah menjadi hamba syaitan.

Nota : Cinta suami yang paling berharga ditunjukkan bila suami menegur kesilapan isteri dan tidak menuruti kehendak isteri yang keterlaluan (nafsu). Ini kerana cinta begitu adalah untuk menyelamatkan isteri daripada menjadi ahli neraka.

Saya selalu ingat kata mak; "Teguran ibubapa dan suami, perlu dilihat sebagai kasih sayang. Yang tak tahu menegur, hati mereka kosong dari kasih sayang."

Sep 19, 2008

Syukur

Hati ialah seketul daging yang mana kalau ianya baik, maka baiklah keseluruhannya. Daripada kitab Mukashafah Al-Qulub, ada petikan yang menyebut; 'Memang hati manusia sekeras batu atau lebih keras lagi. Yang dapat melembutkannya hanyalah menangis kerana takut dan syukur.'

Syukur itu berhubungan dengan hati, lidah dan anggota badan.

Dengan hati iaitu berbuat baik dengan semua makhluk.
Dengan lidah iaitu dengan melahirkan rasa syukur dengan puji-pujian.
Dengan anggota badan, ertinya menggunakan kenikmatan itu untuk taat kepada Allah SWT juga jangan menggunakannya untuk maksiat. Sehingga mensyukuri kedua mata, hendaklah menutupi cela seorang muslim yang dilihatnya. Mensyukuri telinga bererti menghindarkan dari mendengar yang buruk.


Syukur itu taat. Bermaksud bila kita mensyukuri dengan lidah, ianya adalah satu cara melahirkannya kerelaan kepada Allah, mengingati nikmatNya dan membuang rasa riak dalam hati. Dengan cara begitu semoga kita sedar bahawa segala kenikmatan yang diperolehi adalah dari Allah, bukan kerana diri sendiri.


Contohnya seperti kisah Rasulullah yang pada satu hari bertanya kepada seorang lelaki. Katanya, "Bagaimana engkau pagi ini?"

Lelaki itu menjawab, "Baik-baik saja."

Lalu Rasulullah mengulangi pertanyaannya sehingga lelaki itu menjawab ketiga kalinya, "Baik-baik saja. Aku panjatkan puji dan syukur kepada Allah."

Lalu Rasulullah berkata, "Inilah yang aku maksudkan darimu."

Sep 4, 2008

Apa pilihan kita?

"Orang yang banyak ketawa itu, kurang wibawanya. Orang yang suka menghina orang lain, dia juga akan dihina. Orang yang menyintai akhirat, dunia pasti menghormatinya. Barang siapa menjaga kehormatan orang lain, pasti kehormatannya terjaga."

(Umar Al-Khattab r.a)

Nota : Kita bagaimana? Memanglah ketawa tu awet muda, tapi kita tak akan muda selamanya... kematian akan datang bila-bila masa saja. Mungkin esok, mungkin lusa. Mungkin jugak malam ni. Bayangkan, kita tidur dan esoknya kita tak bangun lagi. Dah pun berada dialam lain yang sempit dan terhimpit oleh tanah.

Tak mampu menjerit dan menangis lagi. Masa tu betul-betul airmata dikatakan kering walaupun tika tu musim tengkujuh. Air hujan tak mampu menaghasilkan air mata yg suam lembut masin seperti air mata kita. Lalu kenapa masih tegar utk berubah?
Apa pilihan kita? Masih nak ketawa sehingga lupa dunia, menyintai dunia dan melupakan akhirat atau mula bertaubat sebelum penyakit hati mula melarat?

"Ya Allah... bantulah aku untuk perbaiki perlakuanku dan amalanku...."

Aug 18, 2008

Angan dan Nafsu

Telah bersabda Rasulullah SAW :


"Dua hal yang paling aku cemaskan atas engkau; panjang angan-angan dan mengikut hawa nafsu. Sesungguhnya panjang angan-angan itu dapat melupakan akhirat, sedang mengikuti hawa nafsu itu dapat menjauhkan diri dari kebenaran."


Sabdanya lagi;

"Aku menjamin tiga orang dalam tiga hal; orang yang gila dunia, orang yang rakus mengumpulnya dan orang yang kikir harta benda, dengan kefakiran yang tidak akan kaya sudahnya, kesibukan yang tidak ada sudahnya serta kesulitan yang tidak pernah ada jalan keluarnya."


Pada satu hari Rasulullah SAW keluar menemui sahabatnya. Baginda bersabda;

"Adakah antara kamu orang yang ingin Allah hilangkan kebutaan dan memberinya penglihatan? Sesungguhnya orang yang cinta dunia dan panjang angan-angan, Allah akan membutakan hatinya. Sikap zuhud di dunia dan memendekkan angan-angannya tentang dunia, Allah akan memberinya ilmu tanpa belajar dan petunjuk tanpa hidayah."


"Ingat! Akan ada sesudahmu kaun yang tidak akan mendapat kekuasaan melainkan dengan membunuh dan menindas, tidak kaya melainkan dengan sombong dan bakhil dan kesukaannya hanyalah memperturutkan hawa nafsu. Ingat siapa menemukan zaman itu seharusnya dia bersabar atas kemiskinan meskipun dia mampu untuk kaya, dia sabar atas kebencian walaupun dia boleh menyintai, dan dia sabar atas kehinaan meskipun dia mampu untuk berjaya dan semua itu dia lakukan hanya mengharap redha Allah. Maka Allah memberinya pahala lima puluh orang siddiq"


Rsulullah juga pernah bersabda:

"Manusia akan tua dan beruban. Namun bersamanya ada dua hal yang tetap muda. Angan-angan dan cinta dunia."

Aug 15, 2008

Gelisah?

Pada suatu hari, seorang lelaki berjumpa dengan seorang sahabat Rasulullah saw yang bernama Abdullah bin Mas'ud ra dan berkata :

"Wahai Ibn Mas'ud, nasihatilah aku dengan sesuatu yang dapat meredakan kegelisahanku. Buat masa ini, jiwaku tidak tenteram, fikiranku kusut-masai, tidurku tidak nyenyak dan seleraku tiada."

Abdullah bin Mas'ud kemudian menjawab:

"Bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat.
Pertama, ke tempat orang yang sedang membaca Al Quran; tidak kira sama ada kamu ikut membacanya atau kamu sekadar mendengar bacaan orang lain.

Kedua, kamu menghadiri majlis ilmu yang boleh mengingatkanmu kepada Allah.

Ketiga, kamu cari suatu waktu yang sunyi, contohnya di waktu malam, dan ketika itu kamu bangun melaksanakan ibadah kepada Allah serta memohon kepada-Nya agar diberikan ketenangan dan kedamaian hati kepadamu.

Jika selepas melakukan kesemua ini, jiwamu masih juga tidak tenteram, bermohonlah kepada Allah agar digantikan hatimu dengan yang lain kerana hati yang kamu miliki sekarang ini bukan lagi milikmu.

Nisfu Sya'aban

Nisfu dlm bahasa Arab bererti setengah. Nisfu Syaaban bererti setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam lima-belas Syaaban iaitu siangnya empat-belas haribulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul qadr.

Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi saw tidak tidur pada malam itu sebagaimana yg tersebut dalam sebuah hadis yg diriwayatkan oleh Iman Al-Baihaqi r.a:

Rasulullah saw telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dan sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda saw dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda saw berkata dlm sujudnya,

"Ya Allah aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yg akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung kepadaMu daripadaMu. Aku tidak dapat menghitung pujian terhadapMu seperti kamu memuji diriMu sendiri."

Setelah Baginda saw selesai sembahyang, Baginda berkata kpd Saiyidatina Aisyah r.a.

"Malam ini adalah malam Nisfu Syaaban. Sesunguhnya Allah Azzawajjal telah datang kepada hambaNya pada malam Nisfu Syaaban dan memberi keampunan kepada mereka yg beristighfar, memberi rahmat ke atas mereka yg memberi rahmat dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap orang-orang yang dengki."

Hari Nisfu Sya'aban adalah hari dimana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu maghrib, (15 Sya'aban bermula pada 14 hb sya'aban sebaik sahaja masuk maghrib).

Berikut adalah antara amal ibadah di hari Nisfu Sya'aban:

1.Solat sunat nisfu sya'aban - terdapat dua cara mengerjakan solat sunat ini;

Sembahyang 100 rakaat dengan memberi salam selepas setiap 2 rakaat. Surah Al-Ikhlas dibaca sebanyak 11 kali setelah setiap rakaat setelah membaca surah al-Fatihah

Sembahyang 10 rakaat dengan memberi salam selepas setiap 2 rakaat. Surah Al-Ikhlas dibaca sebanyak 100 kali setelah setiap rakaat setelah membaca surah al-Fatihah

2. Membaca Yasin 3x selepas solat Maghribnya

i) Yasin pertama : mohon dipanjangkan umur untuk beribadat kepada Allah
ii) Yasin kedua : mohon rezeki yang halal untuk beribadat kepada Allah
iii) Yasin ketiga : mohon ditetapkan iman dan Islam & mati di dalam iman

3. Berpuasa pada siangnya (mulai pagi esoknya-15 Syaaban)

Aug 12, 2008

Wasiat Adam

Nabi Allah Adam as berwasiat kepada anaknya Syits dan diperintahkan agar wasiat itu disampaikan kepada anak-anaknya sesudah itu. Wasiat itu ada lima perkara iaitu;


1. Katakan kepada putera-puteramu, janganlah kalian terpaut kepada dunia. Sesungguhnya aku di syurga terpaut dengan yang tidak seberapa, kemudian Allah mengeluarkanku darinya.


2. Katakan kepada mereka, janganlah kalian menurut kehendak isterimu, sesungguhnya aku telah menuruti kehendak isteriku dan aku makan syajarah, namun akhirnya aku menemui penyesalan.


3. Katakan kepada mereka, jika hendah berbuat sesuatu fikirkanlah akibatnya. Kalaulah aku fikirkan akibatnya tentu aku tidak menerima nasib ini.


4. Jika hatimu terpaut oleh sesuatu, tinggalkan saja ia. Sesungguhnya ketika aku makan syajarah, hatiku amat terpaut padanya namun aku tidak kembali sehingga akan ditimpa penyesalan.


5. Bermesyuaratlah dalam segala urusan. Jika aku bermesyuarat dengan para malaikat, tentulah nasib seperti ini tidak akan menimpaku.

Aug 4, 2008

Wasiat

Wasiat Allah kepada Rasulullah SAW ketika baginda diisrak mikrajkan.

- Janganlah engkau gantungkan hatimu pada dunia kerana aku tidak jadikan dunia ini untuk engkau
- Jadikanlah cintamu padaKu sebab tempat kembalimu adalah kepadaKu
- Bersungguh-sungguhlah engkau mencari syurga
- Putuskan harapan dari makhluk kerana sesungguhnya mereka itu sedikitpun tidak ada kuasa ditangan mereka
- Rajinlah mengerjakan sembahyang tahajjud kerana sesungguhnya pertolongan itu bersertakan qiamullail.

Jul 8, 2008

Mengingati Mati

Mengingati mati akan dapat membuatkan seseorang tersedar dalam tipuan dunia serta mempersiapkan diri untuk ke akhirat. Adapun lupa pada mati mengakibatkan seseorang tergila-gila dalam dunia syahwat.

Aisyah bertanya; "Ya Rasulullah, adakah seseorang yang dihimpunkan bersama para syuhada?"

Rasulullah menjawab; "Iaitu orang yang mengingati mati sehari semalam dua puluh kali."

Seorang wanita berkata kepada Aisyah tentang kekerasan hatinya. Kemudian Aisyah menjawab; "Banyak-banyakkanlah mengingati mati, tentu hatimu akan lembut." Wanita itu melakukannya sehingga hatinya lembut dan dia datang lagi mengucapkan terima kasih kepada Aisyah ra.

Nota : Mati... sesuatu yang mesti kita hadapi samada cepat ataupun lambat. Bersediakah kita?

Berapa kerapkah kita mengingati mati? Sekali sehari? Sekali seminggu atau sekali sebulan? Atau sebolehnya tak mahu mengingati mati langsung?

Bila disebut tentang mati, ramai yang terdiam Meskipun tika itu sedang ketawa, tapi bila perkataan mati disebut, pasti ada yang terdiam, malah ada yang marah dan tidak suka. Tapi sedarkah kita bahawa itulah yang perlu kita lakukan? Kerana keghairahan menikmati dunia lebih banyak membawa keburukan dari kebaikan.

Hidup di dunia hanyalah sementara. Lalu mengapa kita terlalu mengejar yang sementara ini sehingga melupakan tanggungjawab kita kepada kehidupan abadi kita nanti?

"Ya Allah... Janganlah Kau biarkan diriku hanyut oleh dunia yang melalaikan. Aku lemah Ya Allah... Terlalu banyak kekuranganku... Bantulah aku... bimbinglah aku... jagalah daku... peliharalah daku... Jangan biarkan aku terlena oleh nikmat dunia yang sementara. Lindungilah daku dari kedukaan yang menjauhkan aku dariMu... Berikan aku ketenangan dan kedamaian yang mendekatkan aku denganMu...."

Jul 2, 2008

Asas Perkahwinan

Apakah asas perkahwinan yang membuahkan kebahagiaan berpanjangan?

- Jika asas perkahwinan adalah kerana seks, maka pasangan akan selalu bertengkar jika suasana di bilik tidur tidak memuaskan.

- Jika asas perkahwinan adalah kerana harta, maka pasangan bakal bercerai jika ekonomi dalam rumah tangga merudum dan muflis.

- Jika asas perkahwinan kerana kecantikan wajah dan tubuh badan, pasangan akan lari apabila rambut beruban, muka kerepot atau badan jadi gendut.

- Jika asas perkahwinan kerana anak, maka pasangan akan mencari alasan untuk pergi jika hati (anak) tidak hadir.

- Jika asas perkahwinan kerana keperibadian, pasangan akan lari jika orang berubah tingkah lakunya.

- Jika asas perkahwinan kerana cinta, hati manusia itu tidak tetap dan mudah terpikat pada hal yang lebih baik, tambahan pula manusia yang dicintai pasti mati atau pergi.

- Jika asas perkahwinan kerana ibadah kepada Allah, sesungguhnya Allah itu kekal dan Maha Pemberi Hidup kepada makhluk-Nya. Allah mencintai hamba-Nya melebihi seorang ibu mencintai bayinya. Maka, tidak ada alasan apa pun di dunia yang dapat meretakkan rumah tangga kecuali jika pasangan menderhakai Allah.

Nota : Ini sebahagian dari isi menarik yang rasanya ramai mungkin pernah membacanya. Kali pertama saya mendapatnya ialah dari email yang di hantar teman. Saya baru saja temui artikel asal dan darinya saya tahu siapa penulisnya. Terima kasih kepada Ir Hjh Endok Sempo bt Mohd Tahir kerana menghasilkan artikel yang begitu menyedarkan. Artikel penuh boleh di baca di sini di bawah tajuk 'Perkahwinan Berasaskan Ibadah Jamin Kebahagiaan'.

Saya berbincang dengan sepupu yang menjadi rakan usrah saya tentang isi artikel ini. Kemudian muncul soalan; bagaimana untuk yang telah berkahwin dan baru menyedari pentingnya perkahwinan yang diniatkan kerana Allah?

Kami sepakat mengatakan bahawa niat boleh diperbaharui bila-bila masa sahaja. Ia boleh dilakukan tanpa memperbaharui akad. Mungkin dengan memperbaharui niat (sebolehnya dilakukan oleh suami dan isteri), ikatan suci satu perkahwinan boleh diselamatkan.

Allah sentiasa membuka pintu kebahagiaan kepada hambaNya yang menyedari kesilapan dan berusaha memperbaikinya. Dia selalu bersedia menghulurkan bantuan pada hambaNya yang meminta. Lalu memintalah padaNya. Jangan berhenti meminta dan berdoa, kerana dengan doa yang di lafazkan, kita sebenarnya telah sandarkan segala harapan yang ada hanya pada Allah Yang Maha Esa dan Yang Maha Berkuasa.

"Ya Allah Ya Azhiim, berkatilah dan peliharalah perkahwinan kami. Semoga ikatan yang telah terjalin memberi kebaikan kepada dunia dan akhirat kami."

Jun 23, 2008

Siapa untung, siapa rugi

Soalan : Siapakah orang yang sibuk?
Jawapan : Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman a.s.

Soalan : Siapakah orang yang manis senyumannya?
Jawapan : Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang ditimpa musibah lalu dia kata "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun." Lalu sambil berkata, "Ya Rabbi Aku reda dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir senyuman.

Soalan : Siapakah orang yang kaya?
Jawapan : Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak lupa akan kenikmatan dunia yang sementara ini.

Soalan : Siapakah orang yang miskin?
Jawapan : Orang yang miskin adalah orang tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasa menumpuk-numpukkan harta.

Soalan : Siapakah orang yang rugi?
Jawapan : Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikan.

Soalan : Siapakah orang yang paling cantik?
Jawapan : Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yang baik.

Soalan : Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas?
Jawapan : Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa amal-amal kebaikan di mana kuburnya akan di perluaskan saujana mata memandang.

Soalan : Siapakah orang yang mempunyai rumah yang sempit lagi dihimpit?
Jawapan : Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah orang yang mati tidak membawa amal-amal kebaikkan lalu kuburnya menghimpitnya.

Soalan : Siapakah orang yang mempunyai akal?
Jawapan : Orang yang mempunyai akal adalah orang-orang yang menghuni syurga kelak kerana telah mengunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindari seksa neraka.

Jun 21, 2008

Yang Cantik dan Yang Gagah

Kecantikan Lelaki

Kecantikan seorang lelaki bukan kepada rupa fizikal tetapi pada murni rohani. Lelaki yang cantik adalah:-
1) Lelaki yang mampu mengalirkan airmata untuk ingatan
2) Lelaki yang sedia menerima segala teguran
3) Lelaki yang memberi madu, setelah menerima racun
4) Lelaki yang tenang dan lapang dada
5) Lelaki yang baik sangka
6) Lelaki yang tak pernah putus asa
Kecantikan lelaki berdiri di atas kemuliaan hati. Seluruh kecantikan yang ada pada Nabi Muhammad adalah kecantikan yang sempurna seorang lelaki.

Kegagahan Wanita

Kegagahan seorang wanita bukan kepada pejal otot badan, tetapi pada kekuatan perasaan.
Perempuan yang gagah adalah:-
1) Perempuan yang tahan menerima sebuah kehilangan
2) Perempuan yang tidak takut pada kemiskinan
3) Perempuan yang tabah menanggung kerinduan setelah ditinggalkan
4) Perempuan yang tidak meminta-minta agar dipenuhi segala keinginan.
Kegagahan perempuan berdiri di atas teguh iman. Seluruh kegagahan yang ada pada Khadijah adalah kegagahan sempurna bagi seorang perempuan.

Nota: "Ya Allah, berikan aku kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi setiap dugaan yang Kau turunkan...."

Jun 19, 2008

Hadis Penawar Bagi Hati

Bicara Ad-Din, 14/6/08, MSSAAS
Penceramah : Ustaz Yusaini Yahya

Tak mudah untuk mengubah cara hidup terutama kalau sudah biasa bermewah-mewah. Mampu dapat apa yang dimahukan walaupun sebenarnya tidak diperlukan. Semua ini berpunca dari kenginan hati yang didalangi oleh nafsu.

Hati yang tidak pernah merasa puas dengan nikmat dunia ialah satu dari jenis hati yang berpenyakit. Rasulullah SAW pernah bersabda; "Ada dua pemburu yang tidak akan kenyang iaitu pemburu harta dan pemburu ilmu."

Sabdanya lagi, "Kebinasaan umatku terletak pada dua hal; meninggalkan ilmu dan mengumpulkan harta." Ilmu yang dimaksudkan ialah ilmu dari Al Quran dan Hadis yang akan menyelamatkan manusia dari kesengsaraan dunia dan akhirat. Ilmu yang akan menjaga dan membimbing penganutnya untuk membuat keputusan dalam setiap pilihan yang dibuat.

Rasulullah SAW pernah bersabda; "Cinta dunia sumber segala kesalahan." Hati yang terlalu terpaut kepada keduniaan akan menyeret kearah 3 kesengsaraan;
1. kesusahan dan sengsara yg tidak habis-habis. Contohnya fitnah yang dilemparkan secara berterusan.
2. kerakusan yang tidak pernah puas. Keghairahan mencari harta benda untuk kesenangan dunia.
3. angan-angan yang tidak ada hujungnya. Selepas habis satu angan-angan, pasti akan muncul angan-angan yang lain.

Kerana itu Rasulullah SAW bersabda; "Ambillah dunia sekadarnya saja. Jangan engkau menyertainya, dan beramallah. Sesungguhnya punca segala kesalahan adalah cinta dunia dan kesenangan yang sedikit dapat menyeret seseorang dalam derita yang panjang."

Nota: Ceramah selama sejam ini amat menarik. Kupasan ayat-ayat Quran dan juga hadis nabi yang diselangi dengan cerita zaman nabi-nabi terdahulu dan juga cerita tentang umat zaman ini yang semakin jauh dari landasan yang Allah tetapkan. Masa semakin suntuk tapi kita tidak sedar kerana terlalu asyik dengan urusan dunia.

Seringkali kita dengar rungutan tentang kesibukan yang tak pernah surut, yang membataskan masa untuk keluarga dan diri sendiri. Kalaupun ada masa yang tersisa, kita lebih suka menghabiskan untuk berhibur, berehat, bercuti memanjakan diri, bersantai dan bermacam-macam lagi.

Tapi kita lupa untuk mengingati Allah, beristigfar padaNya, bertaubat, memohon ampun dariNya, meneliti kebesaranNya, bersyukur atas pemberianNya, beribadat untukNya, bercinta hanya denganNya. Terlalu lalai kita ini, sedangkan masa untuk dijemput semakin dekat....

Ada yang merancang mengumpul harta sehingga kalau boleh mahu cukupkan untuk 7 keturunan. Lupakah kita bahawa harta dunia tak boleh di bawa bersama saat kita mengadapNya?

Sukarnya kehidupan kita bukan kerana salah siapa, tapi salah diri sendiri yang terlalu banyak berdosa, yang gagal menjalankan amanahNya, yang lupa bahawa kita adalah hamba yang perlu bergantung hanya padaNya, yang buta dengan pengajaran di sebalik setiap peristiwa dan kejadianNya, yang pekak kerana tidak mahu mendengar kata-kata nasihat dariNya....

"Ya Allah Ya Tuhanku.. Aku lemah Ya Allah... kasihanilah daku, bimbinglah daku, bantulah daku.... tetapkan aku hanya pada jalanMu..."

Jun 15, 2008

Kecantikan... dimana letaknya?

Rasulullah pernah ditanya, "Dimanakah letaknya kecantikan itu?"
Baginda menjawab, "Dalam perkataan yang lembut, menampakkan keceriaan dan senyum. Siapa berjumpa orang dengan wajah berseri dan melayaninya pula dengan akhlak yang mulia, tentu orang sekitarnya akan segan dan teman-teman memuji."

Rasulullah sendiri selalu berdoa, "Ya Allah, sebagaimana Engkau telah mengelokkan rupaku, maka elokkanlah akhlakku." (Ini adalah doa yang perlu diamalkan dan dibaca ketika melihat wajah di cermin.)

Baginda juga bersabda; "Akhlak buruk akan merosakkan amal sebagaimana cuka merosakkan madu."

Dipermulaan solat, Rasulullah SAW berdoa; "Ya Allah, tunjukkan aku kepada akhlak yang mulia. Tiada yang menunjukkan jalan kepada akhlak yang mulia itu melainkan Engkau. Dan jauhkanlah aku dari akhlak yang buruk. Tidak ada yang boleh menjauhkan aku dari akhlak yang buruk melainkan Engkau juga."

Nota : Rasulullah yang memang berakhlak mulia dan dijamin syurga oleh Allah masih sentiasa berdoa agar Allah membantunya menjauhkan akhlak yang buruk, kenapa kita sebagai umatnya yang memang banyak kelemahan tidak mengikuti contoh yang baginda tunjukkan?

Sya teringat nasihat Ustazah Hindon iaitu Pengerusi Unit Mubalighat di MSSAAS, "Doa yang paling penting disebut dalam setiap doa kita ialah agar ditetapkan iman. Dengan keimanan, hati kita akan terjaga. Hati yang terjaga akan melahirkan kelakuan dan kata-kata yang terjaga. Bila kelakuan dan mulut kita terjaga, insyaAllah banyak keburukan yang boleh dihindarkan...."

Semoga kita tidak lupa untuk memohon dan meminta kepada Allah agar dianugerahi dengan kecantikan iman.

Jun 12, 2008

Munafik

Rasulullah S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud;

"Ada empat perkara sesiapa melakukannya, bererti dia munafik tulen, tapi orang lain mengira dia mukmin, iaitu ketika berkata dia bohong, ketika berjanji dia mengingkari, ketika dipercayai dia khianat dan ketika bertengkar dia lancang."

Sesetengah hukama mengatakan, "Orang yang paling dekat dengan kemunafikan ialah orang yang mengira dirinya bebas dari kemunafikan."

Huzaifah berkata; "Orang munafik saat ini lebih banyak daripada zaman Rasulullah SAW. Ketika itu mereka merahsiakannya, tetapi kini mereka melahirkannya. Kemunafikan ini melawan kebenaran iman. Yang paling jauh dari kemunafikan adalah orang yang takut kepadanya. Sedangkan yang paling dekat dengannya adalah orang yang merasakan diri terbebas darinya."

Kemunafikan ada dua. Pertama, keluar daripada agama dan menjadi kafir, lalu masuk neraka bersama mereka dan abdi di sana. Kedua, kemunafikan yang hanya menyeret seseorang ke neraka saqar atau mengurangi darjat luhur dan jatuh dari darjat orang-orang siddiqin.

~Petikan daripada buku Penenang Jiwa
Terjemahan Kitab Mukashafah Al Qulub~


Nota : Seringkali kedengaran ungkapan munafik dilabelkan kepada individu tertentu tanpa memahami kesemua ciri-ciri yang terdapat pada seorang munafik itu. Hati-hatilah bila berkata kerana mungkin yang menuduh itu lebih dekat kepada kemunafikan berbanding dengan yang dituduh.

"Ya Allah Ya Quddus, bersihkanlah hati dan jiwaku dari sifat-sifat yang Kau murkai, dari sikap-sikap yang Kau benci. Lindungilah daku dari kejahatan yang ada dalam diri dan juga dari makhluk ciptaanMu yang lain. Aku lemah Ya Allah, bantulah daku, lindungilah daku..."

May 30, 2008

Antara Sabar dan Mengeluh

Pada zaman dahulu, ada seorang yang bernama Abul Hassan yang pergi haji di Baitul Haram. Diwaktu tawaf tiba-tiba ia melihat seorang wanita yang bersinar dan berseri wajahnya.

"Demi Allah, belum pernah aku melihat wajah secantik dan secerah wanita itu, tidak lain itu pasti kerana tidak pernah risau dan bersedih hati."

Tiba-tiba wanita itu mendengar ucapan Abul Hassan lalu ia bertanya, "Apakah katamu hai saudaraku? Demi Allah aku tetap terbelenggu oleh perasaan dukacita dan luka hati kerana risau, dan seorang pun yang menyekutuinya aku dalam hal ini."

Abu Hassan bertanya, "Bagaimana hal yang merisaukanmu ?"

Wanita itu menjawab, "Pada suatu hari, ketika suamiku sedang menyembelih kambing korban, dan pada aku mempunyai dua orang anak yang sudah boleh bermain dan yang satu masih menyusu, dan ketika aku bangun untuk membuat makanan, tiba-tiba anakku yang agak besar berkata pada adiknya, "Hai adikku, sukakah aku tunjukkan padamu bagaimana ayah menyembelih kambing ?"

Jawab adiknya, "Baiklah kalau begitu ?"
"Lalu disuruh adiknya baring dan disembelihkannya leher adiknya itu. Kemudian dia merasa ketakutan setelah melihat darah memancut keluar dan lari ke bukit yang mana di sana ia dimakan oleh serigala, lalu ayahnya pergi mencari anaknya itu sehingga mati kehausan dan ketika aku letakkan bayiku untuk keluar mencari suamiku, tiba-tiba bayiku merangkak menuju ke periuk yang berisi air panas, ditariknya periuk tersebut dan tumpahlah air panas terkena ke badannya habis melecur kulit badannya. Berita ini terdengar kepada anakku yang telah berkahwin dan tinggal di daerah lain, maka ia jatuh pengsan hingga sampai menuju ajalnya. Dan kini aku tinggal sebatang kara di antara mereka semua."

Lalu Abul Hassan bertanya, "Bagaimanakah kesabaranmu menghadapi semua musibah yang sangat hebat itu ?"

Wanita itu menjawab, "Tiada seorang pun yang dapat membedakan antara sabar dengan mengeluh melainkan ia menemukan di antara keduanya ada jalan yang berbeda. Adapun sabar dengan memperbaiki yang lahir, maka hal itu baik dan terpuji akibatnya. Dan adapun mengeluh, maka orangnya tidak mendapat ganti yakni sia-sia belaka."

Demikianlah cerita di atas, satu cerita yang dapat dijadikan tauladan di mana kesabaran sangat digalakkan oleh agama dan harus dimiliki oleh setiap orang yang mengaku beriman kepada Allah dalam setiap terkena musibah dan dugaan dari Allah. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda dalam firman Allah dalam sebuah hadith Qudsi: "Tidak ada balasan bagi hamba-Ku yang Mukmin, jika Aku ambil kekasihnya dari ahli dunia kemudian ia sabar, melainkan syurga baginya."

Begitu juga mengeluh. Perbuatan ini sangat dikutuk oleh agama dan hukumnya haram. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda: "Tiga macam daripada tanda kekafiran terhadap Allah, merobek baju, mengeluh dan menghina nasab orang."
Dan sabdanya pula, "Mengeluh itu termasuk kebiasaan Jahiliyyah, dan orang yang mengeluh, jika ia mati sebelum taubat, maka Allah akan memotongnya bagi pakaian dari wap api neraka." (Riwayat oleh Imam Majah)

Nota: Sebenarnya dugaan diturunkan kerana Dia sayangkan kita hambaNya dan mahu kita nilai kembali setiap peristiwa yang berlaku, mencari kesilapan dan kekurangan diri yang perlu diperbetulkan. Adakah sabar itu satu permulaan ke arah kebaikan atau jalan terakhir bila tiada lagi yang dapat difikirkan? Hakikatnya, sabar itu perlu disemai subur setiap masa.

Semoga kita dijadikan sebagai hamba Allah yang sabar dalam menghadapi segala musibah.

May 20, 2008

Merintih dan Mengadu

Mengadu adalah maksiat bagi orang yang beragama. Bagaimana tidak, ia telah mengadukan perbuatan Tuhan Yang Maha Kuasa kepada hamba yang tidak punya kuasa apa-apa. Alangkah baiknya jika seorang hamba tidak tahan hendak mengadukan bala yang menimpanya, mengadu kepada Allah yang mampu menghilangkan bala. Merendahkan diri dihadapanNya adalah mulia. Mengadu kepada selainNya adalah hina. Dan melahirkan kehinaan kepada sesama hamba amatlah buruk!


(Petikan buku Penenang Hati, terjemahan dari Kitab Mukashafah Al-Qulub)


Nota: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Kata orang, berkongsi bebanan rasa dengan seseorang akan membuatkan perasaan menjadi lebih lega. Lumrah manusia yang sememangnya hidup dalam kelompok masyarakat, memangnya selalu tak boleh lari dari perasaan mahu berbual, berkongsi cerita, meluah rasa, bergelak ketawa dan berjenaka. Semua itu dilakukan kerana mahu melepaskan sesak di dada walaupun ia hanya untuk seketika.

Terkadang, dalam usaha memulihkan kembali keadaan, ada cerita buruk yang terlepas dari mulut, yang mana kelalaian memelihara percakapan hanya akan menyebabkan ada dosa yang tercalit, tergaris dan terpalit. Setiap dosa yang dilakukan samada besar atau kecil, ia hanya akan menyebabkan hati menjadi semakin keras jika tidak sering dibasuh dengan ungkapan istighfar.

Jika pandai mengatur kata dan bercerita, ia akan dapat menceriakan situasi yang muram. Dapat juga menjernihkan hubungan yang mungkin kusam, menguraikan kekeliruan yang tersulam dan menghalang salah faham dari berterusan. Namun kita hanya manusia biasa yang punya limitation yang kadang tu menjadikan keadaan yang sebaliknya berlaku.

Allah suka kepada hamba yang bergantung hanya padaNya, yang meletakkan harapan dan meminta padaNya, yang menyerahkan segala keputusan dan mengharapkan petunjuk hanya daripadaNya. Mengadulah pada Allah! Memintalah padaNya! Hanya Dia yang mampu menukar takdir yang telah ditetapkan untuk kita. Hanya Dia yang tahu apa yang terbaik untuk kita hambaNya.

"Ya Allah Ya Muhaimin, Engkaulah Tuhan Yang Maha Memelihara, peliharalah aku dari segala keburukan dunia yang melalaikan dan melengahkan. Lindungi daku dari keburukan yang ada dalam diriku dan juga dari ciptaanMu yang lain. Selamatkanlah anggota badanku dari segala perlakuan dosa akibat dari kelalaian dan kelemahanku sendiri.

Bersihkanlah hati dan jiwaku dari segala suara-suara keburukan yang menghanyutkan. Lindungi daku dari sifat dan sikap yang Kau murkai dan Kau benci. Jadikan aku hambaMu yang sabar dengan segala dugaan yang Kau turunkan, yang tabah dengan segala bentuk cabaran yang Kau berikan, yang redha dengan segala ketentuan yang telah Kau tetapkan. Penuhkan setiap sudut hatiku dengan nama indahMu, hiasi setiap sinar yang menyentuh mataku dengan cahaya suci ciptaanMu, enakkan telingaku dengan lunaknya suara puji-pujian terhadap kebesaranMu.

Ya Allah Ya Malikul Quddus.... Kau Penciptaku yang Agung.... Aku serahkan hati dan jiwaku hanya padaMu...."

May 7, 2008

Harta & anak

Allah SWT berfirman:

"Wahai orang-orang yang beriman, jangan kamu lalai kerana harta benda dan anak-anakmu daripada mengingati Allah. Barangsiapa berbuat demikian itu maka mereka orang yang merugi." (Q.S. Munafiqun:9)

"Sesungguhnya harta bendamu dan anak-anakmu menjadi cubaan bagimu. Allah di sisiNya pahala yang besar." (Q.S. At-Taghabun:15)

Nota : Teringat kata-kata seorang teman tentang anak yang dikatakan anugerah dalam bentuk dugaan. Kenapa anak-anak sekarang semakin lama semakin ramai yang 'tersesat' dalam hidup? Banyak sebabnya, antaranya adalah kerana ibubapa tidak mampu memberikan satu asas serta contoh yang baik kepada anak semenjak dari kecil.

Keterlaluan mengejar dunia sehingga tiada masa untuk kemasjid, tiada masa untuk membaca Quran walaupun satu muka surat, tidak sembahyang berjemaah dan banyak menghabiskan masa untuk tujuan hiburan, membuatkan anak-anak membesar dengan hati yang keras. Ditambah pula dengan sogokan hiburan TV yang memaparkan kisah yang langsung tidak boleh dijadikan contoh yang mendekatkan diri dengan Allah. 95% (anggaran saya saja) rancangan TV yang ditonton oleh anak-anak kecil dan remaja (ditonton juga oleh orang dewasa) tidak langsung memberikan persembahan berbentuk pendidikan Islam.

Drama yg dirasakan boleh digunakan untuk memberi pengajaran pada anak-anak, lebih banyak memberi kesan buruk. Saya ambil satu contoh drama yang sedang ditayangkan iaitu 'Bella'. Kisah seorang perempuan yg ditimpa musibah, terbakar dan menjadi buruk wajahnya, kemudian menjalani pembedahan plastik. Dia menjadi semakin cantik selepas rawatan, sikapnya berubah menjadi lebih tegas, dan menjadikan matlamat membalas dendam dan mengambil balik harta yang telah dirampas.

Kenapa tak dibuat jalan cerita yg lebih lembut, seperti Bella berubah menjadi wanita bertudung yg kuat semangatnya, yang menjadikan Allah sebagai tempat bergantung dan berusaha mendapatkan haknya dengan cara yang lebih bersih, bukan dengan cara menggoda suami sendiri yang tak kenal dia lagi?


Lihat pula pada watak ibunya. Setelah dituduh gila dan dimasukkan ke hospital mental, kenapa tidak dibentuk wataknya supaya menjadi individu yang lebih pasrah, yang berusaha membuktikan kewarasan diri dengan cara beribadat kepada Allah? Kenapa tak ditunjukkan doa seorang ibu itu amat mudah makbul dan begitu mustajab? Bukankah dengan jalan cerita begitu boleh mendidik penonton muda supaya lebih berminat untuk mendekatkan diri dengan Tuhan?

Kita umat akhir zaman yang semakin jauh dengan Allah. Jangan jadikan harta dan anak sebagai satu titik yang kemudiannya melebar dan memanjang, menjadi satu garis yang menjarakkan kita dengan Tuhan. Dekatkan diri dengan Allah, bawalah anak bersama ke masjid, tanamkan sikap bersyukur dlm diri... Berusahalah untuk menuju kesempurnaan iman...

May 4, 2008

Kebajikan dan dosa

Daripada Nawwas bin Sam'an al-Anshari r.a katanya;

"Aku pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang erti kebajikan dan dosa. Baginda bersabda yang bermaksud: Kebajikan itu ialah budi pekerti yang indah. Sedangkan dosa itu ialah perbuatan atau tindakan yang menyesakkan dada, padahal engkau sendiri segan perbuatanmu itu akan di ketahui oleh orang lain."


(Sahih Muslim)

Apr 26, 2008

Pesanan itu satu dakwah

Saya menghadiri satu ceramah oleh Ustaz Fitri Abdullah bertajuk 'Cabaran dakwah masakini.' Banyak isi yang menarik dan begitu menyentuh hati, terutama pengalaman beliau sendiri. Setiap individu Islam punya tanggungjawab untuk berdakwah, ataupun lebih umum kalau dikatakan berpesan untuk mengingatkan dan menyeru kearah kebaikan. Seperti dalam surah Al-'Asr yang bermaksud;

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran."

Kita manusia memang mudah lupa, kerana itulah setiap kali menghadiri ceramah, diakhir sesinya kita digalakkan membaca tasbih Kifarah dan Surah Al-'Asr. Semoga dengan itu, kita akan perpanjangkan ilmu dan berpesan-pesan antara sesama insan.

Peringatan atau dakwah harus bermula di rumah. Dakwah dari suami untuk isteri, dari isteri untuk suami, dari ibubapa kepada anak-anak dan juga boleh dari anak-anak kepada ibubapa. Peranan wanita dalam keluarga terlalu penting. Kerana itu beliau menyeru agar kaum hawa jangan lupakan pesan yang disebut oleh Imam Al-Ghazali. Menurutnya, Imam Al-Ghazali pernah meninggalkan 5 pesanan kepada kaum wanita iaitu;

1- Solatlah diawal waktu
2- Bacalah Al-Quran setiap hari.
3- Bacakan Hadis setiap hari kepada keluarga
4- Hiduplah dengan cara sederhana dan jangan bebankan suami
5- Galakkan suami untuk beribadat.

Pesanan ke 3 dan ke 5 ialah seruan kepada kaum hawa untuk berdakwah, berpesan kepada ahli keluarga iaitu anak-anak dan juga suami.

Nota:
"Ya Allah, Ya Azhiim... Sesungguhnya aku hambaMu yang penuh dengan kelemahan dan kekurangan, lalu bekalkan aku dengan ilmu yang berkekalan dan pahatkan aku dengan amal yang berterusan agar aku mampu menjalankan tanggungjawab yang Kau serahkan padaku dengan sebaik-baiknya. Ilhamkan aku dengan pengajaran, agar aku mampu perbaiki dunia dan akhiratku hanya keranaMu Ya Allah.

Celikkan mata hatiku untuk mencari kebaikan, dan butakan mata hatiku demi menjauhi keburukan. Kuatkan suaraku untuk mencegah kemungkaran dan lancarkan bicaraku untuk mempertahankan kebenaran. Sesungguhnya Engkaulah yang memiliki diriku, yang mengatur perjalanan hidupku, lalu bimbinglah aku agar tak tersalah arah.... Amin."

Apr 24, 2008

Bersyukur

Daripada Nu'man bin Basyir r.a. katanya; Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud,

"Sesiapa yang tidak bersyukur akan sesuatu (nikmat) yang sedikit bermakna ia tidak bersyukur akan sesuatu (nikmat) yang banyak dan sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia (yang berbudi kepadanya) bermakna ia tidak bersyukur kepada Allah. Dan ingatlah bahawa menyebut-nyebut akan nikmat Allah bererti bersyukur (kepadaNya) dan melupakannya bererti mengkufuri nikmat Allah; dan (ingatlah lagi) bahawa bersatu padu (sesama umat Islam) membawa kepada rahmat dan berpecah belah membawa azab sengsara.

(Riwayat Abdullah bin Imam Ahmad)

Nota: Kita biasanya tidak sedar betapa bertuahnya kita kerana berada dalam keadaan tertentu, sehinggalah kita kehilangan apa yang kita pernah ada. Keinginan mengejar sesuatu yang lebih baik banyak didorong oleh nafsu yang ditunggangi oleh syaitan. Ada cerdik pandai (yang saya tak ingat dimana saya jumpa) pernah berkata (mungkin jugak terbaca dimana-mana) mengatakan bahawa nafsu tak boleh dibunuh selagi kita bernyawa. Apa yang boleh dilakukan ialah mendidiknya. Bagaimana? Dengan cara mengisi dada dengan iman dan melaksanakan dengan amal. Tak mudah, tapi memang boleh dilakukan jika ada kemahuan dan keazaman yang mendalam.

'Allah memilih hambanya yang mahu diberikan hidayah.' Tentunya setiap orang mahu menjadi insan terpilih, kan? Terpilih untuk naik pangkat, terpilih untuk memenangi peraduan jutawan, terpilih untuk menang rancangan realiti tv, terpilih untuk ditempatkan dihati... terpilih... terpilih... terpilih... Tapi mahukah anda terpilih untuk menjadi hambanya yang diredhai oleh Allah? Kalau ada niat untuk menjadi insanNya yang terpilih, mengapa tidak berusaha? Kenapa masih lalai dan leka dengan dunia? Kenapa masih teruja mengejar segala yang menjauhkan kita dariNya? Mengejar dunia, mahukan kesenangan hidup dengan pelbagai cara, malah ada yang
sanggup berhutang untuk menyimpan dengan harapan ianya akan memberikan keuntungan di masa depan. Kemudiannya ada yang terpaksa lakukan 2 kerja untuk pastikan setiap hujung bulan cukup untuk buat bayaran. Lalu bila kita ada masa untuk mengabdikan diri padaNya?

"Ya Allah Ya Syakuur, jadikan aku hambaMu yang bersyukur dengan segala yang telah Kau kurniakan. Cukupkan aku dengan apa yang ada. Jauhkan aku dan keluargaku dari sifat tamak dan haloba. Rezekikan kami dengan masa untuk beribadat kepadaMu. Kurniakan kami kesihatan yang baik dan ringankan kaki kami untuk melangkah menuju kemajlis ilmu. Mudahkanlah laluan kami untuk melangkah kearahMu.... Amin."

Apr 17, 2008

Mata & Telinga

Rasulullah saw telah bersabda, "Pandangan itu panah diantara panah-panah iblis. Siapa yang meninggalkannya kerana takut kepada Allah, akan diberi iman yang dapat dirasakan hatinya."

Pernah ditanya kepada platon, "Manakah diantara keduanya yang lebih membahayakan hati? Pendengaran atau penglihatan?" Dia menjawab, "Bagi hati, keduanya ibarat dua sayap burung yang tidak boleh naik mahupun turun tanpa salah satu darinya. Jika sayap itu kuat, mampulah dia terbang tinggi, tetapi jika salah satunya dipotong, tentulah dapat melemahkan yang lainnya."

Telah berkata Ali bin Abi Talib ra, "Mata itu perangkap syaitan. Melahap seluruh anggota dengan cepat. Jika nafsunya menyuruh anggota untuk taat kepada Tuhannya, sampailah angan-angannya. Namun jika anggota badan memperturutkan nafsu mendapatkan kelazatannya, sungguh rosaklah amalnya."

Nota : Menjaga penglihatan dan pendengaran begitu penting untuk memelihara peribadi. Kata orang 'dari mata turun ke hati' tapi sebenarnya bukan itu saja yang perlu dijaga tapi telinga juga. Mungkin perlu dicipta satu pepatah baru, 'dari telinga turun ke jiwa' (ish... tak sedaplah, memang tak sesuai langsung tapi tak kisahlah), kerana manisnya kata yang dihalwakan ke telinga mungkin akan membuatkan jiwa yang lemah semakin lemah dan mudah tergoda.

Hakikat manusia yang penuh dengan kelemahan, punya keinginan dan nafsu yang terkadang mengatasi pertimbangan akal. Apa yang terhidang dimata dan telinga mungkin menghilangkan kewarasan yang cuba dipelihara. Tapi kita ada Allah yang sentiasa ada untuk menjaga kita, sentiasa bersedia untuk kita bergantung kepadaNya, lalu mintalah pertolonganNya.

Kita harus berusaha untuk menghidangkan minda kita dengan ilmu yang mampu menyelamatkan kita dari terpedaya. Sentiasa percaya bahawa tetap ada cara untuk kita menjauhi keburukan dunia jika kita berusaha, berdoa dan bertawakkal kepadaNya. Sesungguhnya hanya Dia yang tahu segala tipudaya syaitan yang menyesatkan.

"Ya Allah, Ya Samii' Ya Allah Ya Basir, peliharalah penglihatan dan pendengaranku daripada menjadi alat untuk syaitan mempengaruhi dan melemahkanku. Aku lemah tanpa pertolonganMu, lalu bantulah aku Ya Tuhan.

Ya Allah, hiasilah mataku hanya dengan airmata kekesalan terhadap segala dosa yang pernah aku lakukan, hidangkanlah telingaku dengan bacaan puji-pujian terhadapMu dan juga suara dari kalam yang Kau turunkan, semoga dengan itu terjagalah hatiku dari segala pengaruh kemaksiatan yang hanya akan membawa aku jauh dari rahmatMu. Bantulah aku Ya Allah, ampuni daku ya Tuhan. Amin."

Apr 16, 2008

Berbakti pada ibubapa

Iman Bukhari dan Muslim merawikan,"Ya Rasulullah, siapakah orang yang lebih berhak aku pergauli dengan baik?" Baginda bersabda, "Ibumu." Aku bertanya lagi, "Siapa lagi selepas itu?" Baginda menjawab, "Ibumu." Kemudian aku bertanya lagi, "Siapa lagi?" Baginda menjawab lagi,"Ibumu." Kemudian aku bertanya sekali lagi, "Siapa lagi Ya Rasulullah?" Dan baginda menjawab, "Bapamu."

Asy-Syaikhan merawikan dari Asmak binti Abu Bakar ra, dia berkata, "Ibuku datang kepadaku dan dia seorang musyrik dizaman Rasulullah. Maka aku meminta fatwa Rasulullah SAW. Aku berkata, "Ibuku datang kepadaku sedangkan dia benci kepada Islam. Perlukah aku menemuinya?" Nabi SAW menjawab, "Ya, temuilah dia."

Ibnu Hibban merawikan, "Keredhaan Allah itu bergantung kepada keredhaan kedua orang tua dan kemurkaan Allah juga bergantung kepada kemarahan kedua orang tua."

Menurut riwayat Ibnu Majjah, "Ya Rasulullah, apakah hak kedua orang tua pada anaknya?" Rasulullah menjawab, "Mereka adalah syurga dan nerakamu."

Al-Hakim merawikan juga, "Maafkanlah isteri orang, maka isterimu akan memaafkanmu dan berbaktilah kepada orang tuamu, maka anak-anakmu akan berbakti kepadamu..."

Ibnu Majjan dan Ibnu Hibban meriwayatkan, "Seorang lelaki akan terhalang rezekinya sebab dosa yang dilakukannya. Tidak mampu menolak takdir dan menambah umur kecuali berbakti (kepada orang tuanya)"

Imam empat, dari Ibnu Umar berkata, "Aku punya isteri yang kucintai, namun Umar membencinya. Dia menyuruh aku menceraikannya tapi aku menolak. Dia datang kepada Rasulullah menceritakan hal itu kepadanya. Lalu Rasulullah SAW perintahkan aku menceraikan isteriku."

Nota: Begitu pentingnya kedudukan seorang ibu. Seorang insan cuma ada satu dalam hidup setiap orang, insan yang harus diambil berat dan dijaga hati dan perasaannya. Namun masih ada yang tidak tahu menghargai mereka. Kepada yang masih mempunyai ibu, hargailah mereka. Kepada yang punyai anak, inilah masa untuk menghayati perasaan sebagai ibu. Hidup ini ibarat roda, apa yang kita lakukan pada seorang ibu dulu dan hari ini, mungkin akan dialami oleh kita satu hari nanti. Kembalilah kepada ajaran Allah, pasti segalanya lebih mudah.

Menjadi seorang ibu/ayah tidak mudah. Di dalam melayani keghairahan untuk memberikan yang terbaik untuk anak-anak, terkadang ada yang terlupa bahawa apa yang diberikan itu bukanlah baik untuk akhirat mereka, malah tidak baik juga untuk masa depan mereka di dunia ini. Menyediakan segala kelebihan dan kesenangan untuk mereka terkadang akan melalaikan dan menghilangkan nilai-nilai moral yang paling penting untuk masa depan mereka.

Untuk menjadi anak yang baik bukan sekadar memberi duit bulanan kepada ibu/bapa tapi apa yang mereka perlukan ialah perhatian dan perasaan dihargai sepertimana mereka begitu menghargai kita semasa kecil. Berikan kemanjaan dan bermanjalah dengan mereka seperti apa yang sering dilakukan ketika kecil, pasti itu sudah cukup membahagiakan hati tua mereka.

"Ya Allah, ampunilah dosa kedua ibubapaku, sayangi dan kasihanilah mereka sebagaimana mereka menyayangi dan mengasihani aku ketika aku kecil dahulu. Lapangkanlah ruang kubur untuk mereka, tempatkanlah mereka dikalangan hambaMu yang Kau cintai dan berikanlah kebaikan untuk mereka berada disisiMu... Amin"

Apr 13, 2008

Solat

Solat diibaratkan seperti 'jantung' kepada seluruh amal-amal yang lain. Sabda Nabi SAW;
"Perkara pertama yang akan dihisab ke atas seseorang hamba pada hari kiamat ialag solat, jika elok solatnya, maka eloklah seluruh amalannya, jika rosak solatnya maka rosaklah seluruh amalannya"

Walaupun kita telah diajar untuk bersembahyang sedari kecil tapi nyata ada yang masih gagal untuk mencari rahsia kekhusyukan solat. Bukan senang nak menghindari bisikan syaitan yang sememangnya berusaha untuk mengalihkan dan mengganggu tumpuan. Banyak buku yang menyediakan panduan khusyuk solat, dan antara buku yang amat menarik perhatian saya ialah Bio-Mekanik Solat (Kaedah kemahiran khusyuk melalui fitrah biologi dan satu kaedah terapi) oleh Dr Yusof Abbas.

Ketika melayari internet, saya temui satu pautan video yang amat berguna untuk dibuat perbandingan, untuk dinilai kembali solat yang selama ini dilakukan dan seterusnya membantu memperbaiki solat andai ada yang kurang. Tontoni ceramah berikut oleh Ustaz Rasul Dahri yang bertajuk "Mencontohi Solat Rasulullah" sebanyak 12 siri.

=> Mencontohi Solat Rasulullah Siri 1
=> Mencontohi Solat Rasulullah Siri 2
=> Mencontohi Solat Rasulullah Siri 3
=> Mencontohi Solat Rasulullah Siri 4
=> Mencontohi Solat Rasulullah Siri 5
=> Mencontohi Solat Rasulullah Siri 6
=> Mencontohi Solat Rasulullah Siri 7
=> Mencontohi Solat Rasulullah Siri 8
=> Mencontohi Solat Rasulullah Siri 9
=> Mencontohi Solat Rasulullah Siri 10
=> Mencontohi Solat Rasulullah Siri 11
=> Mencontohi Solat Rasulullah Siri 12

Semoga solat kita akan diterima oleh Allah. Amin.

Apr 11, 2008

Dugaan dan keimanan

Junaid al-Baghdadi ra telah berkata,
"Bala merupakan pelita orang arif, menyedarkan orang murtad, memperbaiki orang mukmin dan menghancurkan orang yang lengah (lupa). Tidak seorangpun akan mendapat manisnya iman sebelum dia ditimpa bala, rela dan sabar."

Hendaklah orang yang berakal taat kepada Allah dengan takut dan ikhlas. Redha dengan keputusanNya. Sabar atas balaNya. Syukur atas nikmatNya serta menerima atas pemberianNya.

Ibnu Aththok berkata,
"Akan terbukti keteguhan dan pembohongan seorang hamba sewaktu berlakunya bencana mahupun kemakmuran. barangsiapa bersyukur disaat makmur, tetapi mengeluh bila ditimpa bencana, jelas dia orang yang dusta. Meskipun orang yang mempunyai segudang ilmu, tetapi mengeluh jika terkena angin bencana, sungguh tidak berguna ilmu dan amalannya. Allah telah berfirman dalam Hadis Qudsi : 'Barangsiapa tidak rela dengan keputusanKu dan tidak bersyukur pula dengan pemberianKu, hendaklah dia cari Tuhan selain Aku!'"

Nota: Setiap insan punya dugaan tersendiri. Jangan mengeluh, jangan bersedih. Sesungguhnya bila Allah turunkan bala, itu tandanya Allah sayangkan hambaNya. Dia mahu kita bangkit dari lena yang panjang, tersedar dari mimpi indah yang melalaikan. Mungkin tika kita leka diulit kesenangan, kita lupa bahawa kita ada tugas lain yang perlu dilaksanakan. Tugas/Tanggungjawab kita sebagai hamba Allah yang diamanahkan...

"Ya Allah, Ya Jabbar, perelokkan dan berbaikilah hati dan jiwakuku dari segala kerosakan yang disebabkan oleh kelemahananku. Hidupkanlah aku dalam iman, matikan aku dalam iman, bangkitkan aku dengan iman dan masukkan aku kesyurga bersama-sama iman. Permudahkanlah kembaraku untuk mencari dan memiliki cintaMu, dan berikan aku keupayaan untuk bertahan menangani segala takdir yang Kau tetapkan untukku. Jadikan aku hamba yang bersyukur dengan anugerahMu dan redha dengan segala pemberianMu. Berkatilah kehidupanku, keluargaku, saudara-saudaraku, sahabat-sahabatku dan kenalan seagamaku. Amin."

Apr 9, 2008

Jangan Lambatkan Taubat

Dalam Hadis Qudsi, Allah SWT berfirman:

"Hai cucu Adam! Janganlah engkau melambatkan taubat, memanjangkan angan-angan dan kembali ke akhirat tanpa amal. Berkata bagai seorang abid namun berbuat seperti orang munafik. Jika diberi tidak menerima. Jika tidak diberi tidak sabar. Suka orang soleh tapi tidak termasuk mereka. Benci orang munafik tapi dia termasuk mereka. Dia perintahkan kebaikan tapi tidak melakukannya. Dia melarang kemungkaran namun tidak meninggalkannya."

Dalam Sohihain dari Abi Hurairah ra bahawa Rasulullah SAW telah bersabda;

"Tanda orang munafik itu tiga; jika berkata dia bohong, jika berjanji dia mungkir dan jika dipercayai/diberi amanah dia khianat."

Nota : Taubat ialah memohon keampunan dari Allah untuk dosa yang dilakukan dan ia harus dilakukan setiap hari. Rasullullah yang dimuliakan Allah dan dijanjikan syurga dikatakan beristighfar 70-100 kali sehari, lalu kenapa kita yang setiap hari terdedah dengan dosa, terlalu liat untuk mengucapkannya, malah selalu menangguh-nangguhkan taubat. Mati tidak dapat dijangka dan dikawal. Jangan melengah-lengahkan taubat. Beristighfarlah selalu untuk membersihkan hati yang kotor.

"Ya Allah Ya Ghaffur, ampunilah daku. Ya Allah Ya Quddus, sucikan dan bersihkanlah hati dan jiwaku dari sifat-sifat yang Kau murkai dan Kau benci. Peliharalah dan jauhilah aku dari kejahatan yang ada dalam diri dan kejahatan yang ada dalam ciptaanMu. Sesungguhnya aku lemah tanpa pertolonganMu, lalu tolonglah aku, bantulah aku. Amin."