Mar 28, 2008

Taubat diterima atau ditolak?

Diceritakan bahawa ada sebahagian ulama di tanya, "Apakah seseorang itu tahu bahawa taubatnya itu diterima atau ditolak?"

Lalu ulama itu menjawab, "Tidak ada kepastian dalam hal itu, akan tetapi ada tanda-tandanya. Bagi orang yang diterima taubatnya, dia sentiasa akan menjaga dirinya dari maksiat. Dalam hati seolah-olah tidak ada kegembiraan dan sentiasa mengingati Allah. Dia suka bergaul dengan orang-orang yang soleh dan menjauhi orang yang fasik. Dia menganggap banyak terhadap dunia yang sedikit, tetapi menganggap sedikit terhadap amal akhirat yang banyak. Hanya sentiasa berpaut dengan sesuatu yang telah diwajibkan Allah atas dirinya. Dia jaga mulutnya. Selalu berfikir, bersedih dan menyesal atas dosa yang telah dilakukan."

Note : Lakaran kehidupan insan tidak sama coraknya tapi memang kita semua akan melalui perjalanan tersendiri yang dipenuhi dengan onak dan duri, disusuli dengan ombak dan badai, diiringi dengan pelbagai dugaan dan godaan, susah dan senang, suka dan duka yang munculnya silih berganti. Lumrah manusia yang bersifat lemah, bila senang mungkin akan menjadi lalai dan leka, bila susah akan merintih dan berhiba. Mampukah kita menangani kesenangan yang berlebihan yang mungkin menyebabkan kita berada dalam keadaan istidraj? Atau mampukah kita menguasai kedukaan yang mungkin membuatkan kita leka merintih dan mencari orang lain untuk dipersalahkan?

"Ya Allah, ingatkanlah aku akan dosa yang pernah kulakukan, agar dengan itu aku akan bersedih, berfikir dan menyesal, lalu ingatan aku akan sentiasa berada dalam keadaan bertaubat dan mengingatiMu. Janganlah Kau lekakan aku dengan kedukaan yang memilukan hati sehingga tenggelam oleh air mata tangis yang menghanyutkan diri, dan janganlah juga Kau lekakan aku dengan kesibukan dunia untuk mencari kemewahan yang tak mampu aku bawa mengadapMu nanti. Pautkanlah hatiku agar sentiasa mengingatiMu Ya Allah, biarpun tika hidupku susah mahupun tika hidupku senang. Amin."

Mar 24, 2008

Selawat Munjiyyah


Ertinya :
Ya Allah, selawat sejahtera ke atas penghulu kami Nabi Muhammad yang dengan berkat berselawat keatasnya akan menyelamatkan kami daripada seluruh kesukaran
dan kebinasaan dan menyempurnakan semua hajat kami,
juga membersihkan dengannya daripada semua kejahatan
dan mengangkat kami dengannya di sisi-Mu setinggi darjat
dan membolehkan kami mencapai tinggi matlamat semua kebajikan ketika hidup
juga selepas mati.
Selawat sejahtera juga keatas keluarga, sahabat baginda
dan kesejahteraan yang banyak kepada mereka semua dengan rahmat-Mu wahai Tuhan yang Maha Mengasihani daripada segala yang mengasihani.
Note : Kita digalakkan untuk selalu berselawat dan berdoa. Berdoa tidak semestinya selepas sembahyang sahaja. Terdapat banyak selawat yang boleh diamalkan dan selawat Munjiyyah adalah salah satu darinya. Selawat ini elok dibaca dan digalakkan membacanya sebelum memulakan doa-doa yang lain. Insyaallah, doa yang didahului dengan selawat akan lebih mudah dimakbulkan.