Dalam Hadis Qudsi, Allah SWT berfirman:
"Hai cucu Adam! Janganlah engkau melambatkan taubat, memanjangkan angan-angan dan kembali ke akhirat tanpa amal. Berkata bagai seorang abid namun berbuat seperti orang munafik. Jika diberi tidak menerima. Jika tidak diberi tidak sabar. Suka orang soleh tapi tidak termasuk mereka. Benci orang munafik tapi dia termasuk mereka. Dia perintahkan kebaikan tapi tidak melakukannya. Dia melarang kemungkaran namun tidak meninggalkannya."
Dalam Sohihain dari Abi Hurairah ra bahawa Rasulullah SAW telah bersabda;
"Tanda orang munafik itu tiga; jika berkata dia bohong, jika berjanji dia mungkir dan jika dipercayai/diberi amanah dia khianat."
Nota : Taubat ialah memohon keampunan dari Allah untuk dosa yang dilakukan dan ia harus dilakukan setiap hari. Rasullullah yang dimuliakan Allah dan dijanjikan syurga dikatakan beristighfar 70-100 kali sehari, lalu kenapa kita yang setiap hari terdedah dengan dosa, terlalu liat untuk mengucapkannya, malah selalu menangguh-nangguhkan taubat. Mati tidak dapat dijangka dan dikawal. Jangan melengah-lengahkan taubat. Beristighfarlah selalu untuk membersihkan hati yang kotor.
"Ya Allah Ya Ghaffur, ampunilah daku. Ya Allah Ya Quddus, sucikan dan bersihkanlah hati dan jiwaku dari sifat-sifat yang Kau murkai dan Kau benci. Peliharalah dan jauhilah aku dari kejahatan yang ada dalam diri dan kejahatan yang ada dalam ciptaanMu. Sesungguhnya aku lemah tanpa pertolonganMu, lalu tolonglah aku, bantulah aku. Amin."
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment