Allah SWT berfirman:
"Wahai orang-orang yang beriman, jangan kamu lalai kerana harta benda dan anak-anakmu daripada mengingati Allah. Barangsiapa berbuat demikian itu maka mereka orang yang merugi." (Q.S. Munafiqun:9)
"Sesungguhnya harta bendamu dan anak-anakmu menjadi cubaan bagimu. Allah di sisiNya pahala yang besar." (Q.S. At-Taghabun:15)
Nota : Teringat kata-kata seorang teman tentang anak yang dikatakan anugerah dalam bentuk dugaan. Kenapa anak-anak sekarang semakin lama semakin ramai yang 'tersesat' dalam hidup? Banyak sebabnya, antaranya adalah kerana ibubapa tidak mampu memberikan satu asas serta contoh yang baik kepada anak semenjak dari kecil.
Keterlaluan mengejar dunia sehingga tiada masa untuk kemasjid, tiada masa untuk membaca Quran walaupun satu muka surat, tidak sembahyang berjemaah dan banyak menghabiskan masa untuk tujuan hiburan, membuatkan anak-anak membesar dengan hati yang keras. Ditambah pula dengan sogokan hiburan TV yang memaparkan kisah yang langsung tidak boleh dijadikan contoh yang mendekatkan diri dengan Allah. 95% (anggaran saya saja) rancangan TV yang ditonton oleh anak-anak kecil dan remaja (ditonton juga oleh orang dewasa) tidak langsung memberikan persembahan berbentuk pendidikan Islam.
Drama yg dirasakan boleh digunakan untuk memberi pengajaran pada anak-anak, lebih banyak memberi kesan buruk. Saya ambil satu contoh drama yang sedang ditayangkan iaitu 'Bella'. Kisah seorang perempuan yg ditimpa musibah, terbakar dan menjadi buruk wajahnya, kemudian menjalani pembedahan plastik. Dia menjadi semakin cantik selepas rawatan, sikapnya berubah menjadi lebih tegas, dan menjadikan matlamat membalas dendam dan mengambil balik harta yang telah dirampas.
Kenapa tak dibuat jalan cerita yg lebih lembut, seperti Bella berubah menjadi wanita bertudung yg kuat semangatnya, yang menjadikan Allah sebagai tempat bergantung dan berusaha mendapatkan haknya dengan cara yang lebih bersih, bukan dengan cara menggoda suami sendiri yang tak kenal dia lagi?
Lihat pula pada watak ibunya. Setelah dituduh gila dan dimasukkan ke hospital mental, kenapa tidak dibentuk wataknya supaya menjadi individu yang lebih pasrah, yang berusaha membuktikan kewarasan diri dengan cara beribadat kepada Allah? Kenapa tak ditunjukkan doa seorang ibu itu amat mudah makbul dan begitu mustajab? Bukankah dengan jalan cerita begitu boleh mendidik penonton muda supaya lebih berminat untuk mendekatkan diri dengan Tuhan?
Kita umat akhir zaman yang semakin jauh dengan Allah. Jangan jadikan harta dan anak sebagai satu titik yang kemudiannya melebar dan memanjang, menjadi satu garis yang menjarakkan kita dengan Tuhan. Dekatkan diri dengan Allah, bawalah anak bersama ke masjid, tanamkan sikap bersyukur dlm diri... Berusahalah untuk menuju kesempurnaan iman...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment