Bicara Ad-Din, 14/6/08, MSSAAS
Penceramah : Ustaz Yusaini Yahya
Tak mudah untuk mengubah cara hidup terutama kalau sudah biasa bermewah-mewah. Mampu dapat apa yang dimahukan walaupun sebenarnya tidak diperlukan. Semua ini berpunca dari kenginan hati yang didalangi oleh nafsu.
Hati yang tidak pernah merasa puas dengan nikmat dunia ialah satu dari jenis hati yang berpenyakit. Rasulullah SAW pernah bersabda; "Ada dua pemburu yang tidak akan kenyang iaitu pemburu harta dan pemburu ilmu."
Sabdanya lagi, "Kebinasaan umatku terletak pada dua hal; meninggalkan ilmu dan mengumpulkan harta." Ilmu yang dimaksudkan ialah ilmu dari Al Quran dan Hadis yang akan menyelamatkan manusia dari kesengsaraan dunia dan akhirat. Ilmu yang akan menjaga dan membimbing penganutnya untuk membuat keputusan dalam setiap pilihan yang dibuat.
Rasulullah SAW pernah bersabda; "Cinta dunia sumber segala kesalahan." Hati yang terlalu terpaut kepada keduniaan akan menyeret kearah 3 kesengsaraan;
1. kesusahan dan sengsara yg tidak habis-habis. Contohnya fitnah yang dilemparkan secara berterusan.
2. kerakusan yang tidak pernah puas. Keghairahan mencari harta benda untuk kesenangan dunia.
3. angan-angan yang tidak ada hujungnya. Selepas habis satu angan-angan, pasti akan muncul angan-angan yang lain.
Kerana itu Rasulullah SAW bersabda; "Ambillah dunia sekadarnya saja. Jangan engkau menyertainya, dan beramallah. Sesungguhnya punca segala kesalahan adalah cinta dunia dan kesenangan yang sedikit dapat menyeret seseorang dalam derita yang panjang."
Nota: Ceramah selama sejam ini amat menarik. Kupasan ayat-ayat Quran dan juga hadis nabi yang diselangi dengan cerita zaman nabi-nabi terdahulu dan juga cerita tentang umat zaman ini yang semakin jauh dari landasan yang Allah tetapkan. Masa semakin suntuk tapi kita tidak sedar kerana terlalu asyik dengan urusan dunia.
Seringkali kita dengar rungutan tentang kesibukan yang tak pernah surut, yang membataskan masa untuk keluarga dan diri sendiri. Kalaupun ada masa yang tersisa, kita lebih suka menghabiskan untuk berhibur, berehat, bercuti memanjakan diri, bersantai dan bermacam-macam lagi.
Tapi kita lupa untuk mengingati Allah, beristigfar padaNya, bertaubat, memohon ampun dariNya, meneliti kebesaranNya, bersyukur atas pemberianNya, beribadat untukNya, bercinta hanya denganNya. Terlalu lalai kita ini, sedangkan masa untuk dijemput semakin dekat....
Ada yang merancang mengumpul harta sehingga kalau boleh mahu cukupkan untuk 7 keturunan. Lupakah kita bahawa harta dunia tak boleh di bawa bersama saat kita mengadapNya?
Sukarnya kehidupan kita bukan kerana salah siapa, tapi salah diri sendiri yang terlalu banyak berdosa, yang gagal menjalankan amanahNya, yang lupa bahawa kita adalah hamba yang perlu bergantung hanya padaNya, yang buta dengan pengajaran di sebalik setiap peristiwa dan kejadianNya, yang pekak kerana tidak mahu mendengar kata-kata nasihat dariNya....
"Ya Allah Ya Tuhanku.. Aku lemah Ya Allah... kasihanilah daku, bimbinglah daku, bantulah daku.... tetapkan aku hanya pada jalanMu..."
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment