Oct 29, 2008

Akhlak Rasulullah : Kisah Pemberian Limau

Suatu Hari Rasulullah SAW didatangi oleh seorang wanita kafir. Ketika itu baginda bersama beberapa orang sahabat. Wanita itu membawa beberapa biji buah limau sebagai hadiah untuk Baginda. Cantik sungguh buahnya. Siapa terlihat pasti terliur.

Baginda menerimanya dengan senyuman gembira. Hadiah itu dimakan oleh Baginda Rasulullah SAW seulas demi seulas dengan senyuman. Biasanya Rasulullah SAW akan makan bersama para sahabat, namun kali ini tidak. Tidak seulas pun limau itu diberikan kepada mereka.

Rasulullah SAW terus makan. Setiap kali dengan senyuman, hinggalah habis semua limau itu.

Kemudian wanita itu meminta diri untuk pulang, diiringi ucapan terima kasih dari baginda. Sahabat-sahabat agak hairan dengan sikap Rasulullah SAW itu. Lalu mereka bertanya.

Dengan senyuman Rasulullah menjelaskan ;

"Tahukah kamu, sebenarnya buah limau itu terlalu masam semasa saya merasainya kali pertama. Kiranya kalian turut makan bersama, saya bimbang ada di antara kalian akan mengenyitkan mata atau memarahi wanita tersebut. Saya bimbang hatinya akan tersinggung. Sebab itu saya habiskan semuanya."

Begitulah akhlak Rasullullah SAW. Baginda tidak akan memperkecil-kecilkan pemberian seseorang biarpun benda yang tidak baik, walaupun dari orang yang bukan Islam.

Oct 12, 2008

Kewajipan suami terhadap isteri.

Seorang suami mempunyai beberapa kewajipan terhadap isteri. Antara lain menggaulinya dengan baik dan menahan diri atas perangai yang kadang-kadang menyakitkan sebab memaklumi atas kependekan akalnya.

Rasulullah bersabda;

"Siapa sabar atas keburukan akhlak isterinya, Allah memberinya pahala seperti yang di berikan kepada Nabi Ayub. Dan barang siapa bersabar atas keburukan akhlak suaminya, Allah memberinya seperti pahala Asiah isteri Firaun. "


Etri menggauli mereka dengan baik bukan saja tidak menyakitkannya, akan tetapi juga menahan diri dan sabar atas perbuatan yang menyakitkanmu. Bahkan tidak memarahinya.

Al Hassan mengatakan;

"Setiap lelaki yang mengikuti saja keinginan isterinya, maka Allah akan melemparkannya ke neraka. "

Rasulullah bersabda;

"Celakalah hamba kepada isterinya."

Baginda mengatakan demikian kerana jika seseorang lelaki mengikuti saja keinginan isteri seolah-olah dia menjadi hambanya, celakalah dia. Allah tidak suka suami yang terlalu tunduk pada isteri yang tunduk pada nafsu kerana ini bererti dia juga telah menjadi hamba syaitan.

Nota : Cinta suami yang paling berharga ditunjukkan bila suami menegur kesilapan isteri dan tidak menuruti kehendak isteri yang keterlaluan (nafsu). Ini kerana cinta begitu adalah untuk menyelamatkan isteri daripada menjadi ahli neraka.

Saya selalu ingat kata mak; "Teguran ibubapa dan suami, perlu dilihat sebagai kasih sayang. Yang tak tahu menegur, hati mereka kosong dari kasih sayang."