Feb 28, 2009

Tips Hafazan : Ramadhan Bulan al-Quraan

Tips Hafazan # 3

Persoalan kedua yang perlu dijawab ialah; “Bila nak memulakannya?”.

Al-Quraan diturunkan kepada RasuluLlah (S.A.W) di bulan Ramadhan. Sesungguhnya Ramadhan adalah bulan al-Quraan. Oleh kerana Rasul (S.A.W) memulakannya di situ, turuti jejaknya. Hanya Allah yang mengetahui betapa eratnya hubungan antara Ramadhan dengan Al-Quraan. Seperti yang umum mengetahui bahawa di setiap bulan Ramadhanlah Rasulullah (S.A.W) menyemak bacaan dan hafazannya bersama Jibrail (A.S).

Cara yang paling mudah dan praktikal untuk mengambil manfaat daripada bulan Ramadhan serta memulakan tahfiz di bulan tersebut ialah pertama dengan mengingati kembali surah-surah yang pernah dihafaz di masa-masa dahulu. Kedua, pada akhir Ramadhan menyediakan rekod inventori surah-surah tersebut.

Oleh kerana ia adalah bulan al-Quraan, Ramadhan merupakan bulan terpenting bagi seseorang penghafaz al-Quraan. Sebagaimana amalan Rasul (S.A.W.), dibulan Ramadhanlah seseorang penghafaz memeriksa dan menutup akaun tahunan (annual account check). Mengenai proses penutupan akaun tahunan di bulan Ramadhan, seseorang penghafaz khususnya dan setiap mukmin umumnya, patut mengamalkan dua perkara berikut. Pertama, menjelang Ramadhan yang akan datang, memperbaiki bacaan dan hafazan yang telah disemak dan dikenal pasti telah rosak.

Kedua, menjelang Ramadhan akan datang juga, menambah inventori hafazan yang telah dibuat sebelum Ramadhan yang telah lalu. Ingat juga, seseorang mukmin yang baik ialah yang amalannya semakin baik dan bertambah di antara Ramadhan yang telah lalu dengan Ramadhan yang akan datang. Jadikanlah al-Quraan antara amalan yang bertambah di antara setiap Ramadhan.

** Jangan bertangguh lagi!

Tips Hafazan : Cuma 20 minit sehari

Tips Hafazan # 2

Antara masalah terbesar dalam memulan menghafaz al-Quraan ialah persoalan bagaimana hendak memulakannya. Sebenarnya terdapat beberapa metos dan fakta dalam penghafazan al-Quraan. Antara metosnya, menghafaz memakan masa yang panjang. Fakta sebenarnya ialah ia hanya memerlukan masa yang singkat tetapi konsisten.

Antara masalah terbesar dalam memulakan menghafaz al-Quraan ialah persoalan bagaimana hendak memulakannya. Sesetengah pula tergambar bahawa proses menghafaz al-Quraan memerlukan banyak masa sedangkan setiap kita sibuk dengan berbagai urusan, sama ada pelajaran, profesion atau rumah tangga.

Sebenarnya terdapat beberapa metos dan fakta dalam penghafazan al-Quraan. Antara metosnya, menghafaz memakan masa yang panjang. Fakta sebenarnya ialah ia hanya memerlukan masa yang singkat tetapi konsisten.

Sekiranya kita boleh memperuntukkan 20 minit sehari secara konsisten, tidak kira waktu mana, kita boleh menghafaz. Mungkin sebelum memulakan tugas harian, waktu rehat tengah hari, selepas maghrib, sambil menunggu bas, dalam keretapi atau bila-bila ada kelapangan asalkan tetap. Hanya yang diperlukan ialah sabar membaca bahagian yang sama berulang-ulang hingga Allah mengizinkannya disimpan dalam hati kita.

** only 20 minutes each day, now everyone can do!

Feb 26, 2009

Tips Hafazan : Mulakan dengan Tekad dan Doa

Saya mendapat tips hafazan ini dari teman sepengajian suami di MSSAAS. Cukup menarik dan saya ingin berkongsi ilmu ini agar kita boleh jadikan panduan untuk maju selangkah dalam memperbaiki amalan diri.

Tips Hafazan # 1

Sebelum memulakan, cuba hayati perkatan yang biasa kita dengar iaitu ‘Quraan itu Kalam Allah’. Secara lateral nya bermakna ia adalah milik Allah. Hanya Allah juga yang menjaga (hafz) al-Quraan. Dia jua menentukan di dalam dada siapa hendak disimpan. Dia jua menentukan ke atas lidah siapa hendak dibaca (talaqqy) al-Quraan. Oleh itu sebelum memulakan langkah ada dua perkara yang tiada pilihan melainkan dibuat jua.

Pertama, berniat dan bertekad hendak menghafal. Untuk memahami keperluan ini, cuba lihat dalam masyarakat kita. Rata-rata kebanyakan kita membaca surah Yaasin setiap malam Jumaat. Tetapi cuba lihat oleh kerana tiada keinginan untuk menghafal, selepas berpuluh-puluh tahun, hatta sampai ke akhir hayat tidak ramai yang boleh ingat dengan betul. Dan, cuba tanya di kalangan kita siapa yang boleh hafal satu ayat al-Quraan mengenai perintah berlaku adil, berlaku ihsan dan berbuat baik kepada saudara mara yang dibaca oleh khatib setiap akhir khutbah Jumaat. Inilah yang dikatakan power tekad - boleh membezakan pencapaian hidup kita.

Kedua, berdoa dan jangan putus-putus berdoa. Hatta sampai ke akhir hayat, teruslah meminta. Tunjukkan yang kita ini amat faqir, terlalu hina dan meminta sedekah daripadaNya. Al-Quraan itu adalah dimiliki Allah dan merupakan sebesar-besar rahmatNya ke atas manusia. Masakan Dia hendak memberi sesuatu hartaNya yang terbaik kepada seseorang yang tak bersungguh-sungguh.