"Sesiapa yang tidak bersyukur akan sesuatu (nikmat) yang sedikit bermakna ia tidak bersyukur akan sesuatu (nikmat) yang banyak dan sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia (yang berbudi kepadanya) bermakna ia tidak bersyukur kepada Allah. Dan ingatlah bahawa menyebut-nyebut akan nikmat Allah bererti bersyukur (kepadaNya) dan melupakannya bererti mengkufuri nikmat Allah; dan (ingatlah lagi) bahawa bersatu padu (sesama umat Islam) membawa kepada rahmat dan berpecah belah membawa azab sengsara.
(Riwayat Abdullah bin Imam Ahmad)
Nota: Kita biasanya tidak sedar betapa bertuahnya kita kerana berada dalam keadaan tertentu, sehinggalah kita kehilangan apa yang kita pernah ada. Keinginan mengejar sesuatu yang lebih baik banyak didorong oleh nafsu yang ditunggangi oleh syaitan. Ada cerdik pandai (yang saya tak ingat dimana saya jumpa) pernah berkata (mungkin jugak terbaca dimana-mana) mengatakan bahawa nafsu tak boleh dibunuh selagi kita bernyawa. Apa yang boleh dilakukan ialah mendidiknya. Bagaimana? Dengan cara mengisi dada dengan iman dan melaksanakan dengan amal. Tak mudah, tapi memang boleh dilakukan jika ada kemahuan dan keazaman yang mendalam.
'Allah memilih hambanya yang mahu diberikan hidayah.' Tentunya setiap orang mahu menjadi insan terpilih, kan? Terpilih untuk naik pangkat, terpilih untuk memenangi peraduan jutawan, terpilih untuk menang rancangan realiti tv, terpilih untuk ditempatkan dihati... terpilih... terpilih... terpilih... Tapi mahukah anda terpilih untuk menjadi hambanya yang diredhai oleh Allah? Kalau ada niat untuk menjadi insanNya yang terpilih, mengapa tidak berusaha? Kenapa masih lalai dan leka dengan dunia? Kenapa masih teruja mengejar segala yang menjauhkan kita dariNya? Mengejar dunia, mahukan kesenangan hidup dengan pelbagai cara, malah ada yang sanggup berhutang untuk menyimpan dengan harapan ianya akan memberikan keuntungan di masa depan. Kemudiannya ada yang terpaksa lakukan 2 kerja untuk pastikan setiap hujung bulan cukup untuk buat bayaran. Lalu bila kita ada masa untuk mengabdikan diri padaNya?
"Ya Allah Ya Syakuur, jadikan aku hambaMu yang bersyukur dengan segala yang telah Kau kurniakan. Cukupkan aku dengan apa yang ada. Jauhkan aku dan keluargaku dari sifat tamak dan haloba. Rezekikan kami dengan masa untuk beribadat kepadaMu. Kurniakan kami kesihatan yang baik dan ringankan kaki kami untuk melangkah menuju kemajlis ilmu. Mudahkanlah laluan kami untuk melangkah kearahMu.... Amin."
No comments:
Post a Comment