Berapa ramai yang membaca Al-Quran? Yang berusaha memahami maksud setiap ayat suci yang dibaca? Berapa kerat yang menjadikan bacaan Al-Quran sebagai hidangan yang harus disantap oleh mata, dikecap di bibir, dihalwakan ditelinga sepertimana hidangan makanan yang disentuh setiap hari?
Mungkin ada yang berkata, "Cukuplah tu. Dah baca Quran, kira ok lah tu, daripada tak baca langsung!"
Malah ada yang berkata, "Sembahyang pun kira macam dah baca Quran jugak kan."
Bacaan Al-Quran dalam solat, mana cukup! Apatah lagi ayat yang dibaca hanyalah ayat-ayat pendek yang sama setiap hari. Itupun kalau solat, kalau tak solat? Kesibukan sehingga dirasakan tak cukup 12 jam sehari. Itulah alasan duniawi yang menyebabkan ramai yang mengambil mudah soal berbicara dengan Allah.
Membaca Quran ialah berbicara dengan Allah. Dalam solat ataupun diluar solat, kita sepatutnya sentiasa menyebut dan mengingati Allah. Membaca Al Quran tanpa memahami apa yang dituturkan, bukankah ia seolah tak membaca? Mungkin ramai yg dah khatam membaca Quran, paling tidak sekali dalam hidup. Tapi berapa ramai yang khatam membaca terjemahan Quran, apatah lagi tafsirannya!
Membaca dan memahami itu penting untuk memastikan apa yang dibaca itu meresap ke jiwa. Lalu seharusnya kita berusaha untuk mengkhatamkan terjemahan Al-Quran, dan lebih baik lagi jika dapat membaca kitab-kitab tafsir Al-Quran. Namun sebaiknya mengikuti kelas tafsiran Quran yang dikendalikan oleh Ustaz yang bertauliah.
Bila kita mampu memahami dan menyerapi apa yang dibaca, ia memberi banyak kebaikan dan memberi kesan positif yang kadang tu tak disedari oleh kita. Dan kegagalan menghayati bacaan kitab suci itu, mungkin membuatkan pembacanya hilang 'kekebalan' diri. Kebal yang dimaksudkan ialah ketahanan diri dari ujian Tuhan dan kejahatan syaitan.
Memahami ayat-ayat suci yang dituturkan, terutama didalam solat, akan membantu mempertingkatkan kekhusyukan. Berdoa seharusnya penuh perasaan. Tapi bila kita tak mampu memahami apa yang didoakan, sejauh mana ia dapat menagih perhatian Allah untuk mengabulkan apa yang diminta?
Membaca Yaasin setiap malam Jumaat seolah satu tradisi pada masyarakat kita. Kenduri arwah Yaasin dibaca, anak nak exam, air dari bacaan Yaasin diberikan, nak naik rumah baru, Yaasin juga yang dipilih! Sedangkan banyak sekali surah-surah lain yang baik, boleh dan perlu dijadikan amalan.
Surah Al-Waqiah (bacaan murah rezeki), surah Al-Kahfi (bacaan paling baik untuk menghiasi malam Jumaat), As-Sajdah, Ad-Dukhaan, Al-Mulk dan banyak lagi.
Ramai yang tak tahu surah Al-Baqarah mampu menghalang jin dan syaitan dari memasuki rumah. Tapi bukannya sekali baca, dan 'ketahanan' itu kekal sehingga bila-bila. Ia hanya mampu menjadi pendinding untuk 3 hari saja. Dan ia perlu dibaca lagi.
Istiqamah dalam membaca Al-Quran dan memahami apa yang dibaca. Itulah yang sebaiknya.
Nota : Di ambil dari ceramah oleh Ustaz Mohd Nizam Abd Kadir (Pensyarah Jab Bahasa Al-Quran UIA) dalam slot Bicara Ad-Din (8 Sep 2008, 6.45 - 8.00 pagi) bertempat di MSSAAS, Shah Alam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment