Apr 26, 2008

Pesanan itu satu dakwah

Saya menghadiri satu ceramah oleh Ustaz Fitri Abdullah bertajuk 'Cabaran dakwah masakini.' Banyak isi yang menarik dan begitu menyentuh hati, terutama pengalaman beliau sendiri. Setiap individu Islam punya tanggungjawab untuk berdakwah, ataupun lebih umum kalau dikatakan berpesan untuk mengingatkan dan menyeru kearah kebaikan. Seperti dalam surah Al-'Asr yang bermaksud;

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran."

Kita manusia memang mudah lupa, kerana itulah setiap kali menghadiri ceramah, diakhir sesinya kita digalakkan membaca tasbih Kifarah dan Surah Al-'Asr. Semoga dengan itu, kita akan perpanjangkan ilmu dan berpesan-pesan antara sesama insan.

Peringatan atau dakwah harus bermula di rumah. Dakwah dari suami untuk isteri, dari isteri untuk suami, dari ibubapa kepada anak-anak dan juga boleh dari anak-anak kepada ibubapa. Peranan wanita dalam keluarga terlalu penting. Kerana itu beliau menyeru agar kaum hawa jangan lupakan pesan yang disebut oleh Imam Al-Ghazali. Menurutnya, Imam Al-Ghazali pernah meninggalkan 5 pesanan kepada kaum wanita iaitu;

1- Solatlah diawal waktu
2- Bacalah Al-Quran setiap hari.
3- Bacakan Hadis setiap hari kepada keluarga
4- Hiduplah dengan cara sederhana dan jangan bebankan suami
5- Galakkan suami untuk beribadat.

Pesanan ke 3 dan ke 5 ialah seruan kepada kaum hawa untuk berdakwah, berpesan kepada ahli keluarga iaitu anak-anak dan juga suami.

Nota:
"Ya Allah, Ya Azhiim... Sesungguhnya aku hambaMu yang penuh dengan kelemahan dan kekurangan, lalu bekalkan aku dengan ilmu yang berkekalan dan pahatkan aku dengan amal yang berterusan agar aku mampu menjalankan tanggungjawab yang Kau serahkan padaku dengan sebaik-baiknya. Ilhamkan aku dengan pengajaran, agar aku mampu perbaiki dunia dan akhiratku hanya keranaMu Ya Allah.

Celikkan mata hatiku untuk mencari kebaikan, dan butakan mata hatiku demi menjauhi keburukan. Kuatkan suaraku untuk mencegah kemungkaran dan lancarkan bicaraku untuk mempertahankan kebenaran. Sesungguhnya Engkaulah yang memiliki diriku, yang mengatur perjalanan hidupku, lalu bimbinglah aku agar tak tersalah arah.... Amin."

No comments: