Mar 22, 2009

Tips Hafazan : Sediakan Diri Untuk Hidup Sebagai Seorang Hafiz

Proses penghafazan al-Quraan lebih mengutamakan aspek ibadah dan spiritual dan tidak melebihkan aspek akademik, mental dan kemahiran. Oleh itu ciri-ciri ibadahnya harus diambil diambil berat. Dengan itu, banyak do’s and don’ts yang perlu diambil perhatian. Jikalau hendak disenaraikan satu persatu, amatlah banyak. Mungkin bermula daripada amalan sebesar-besarnya iaitu berjihad dan berperang di jalan Allah sehingga sekecil-kecil amalan yang mungkin termasuklah bersopan di jalan raya. Memadailah pada peluang yang sedikit ini kita membincangkan beberapa amalan sunat yang diangap kecil tetapi mempunyai kaitan langsung dengan proses penghafazan.

1. Lazimkan mendirikan solat nawafil (solat sunat).

Terdapat banyak riwayat yang menyatakan membaca al-Quraan dalam solat nawafil merupakan amalan lazim RasulAllah SAW. Jika kita lihat dalam kitab-kitab fiqh, terdapat pelbagai jenis solat nawafil yang diamalkan RasulAllah SAW. Antaranya, solat tahajjud, witir, dhuha dan solat-solat sunat qabliyah dan ba’diyah untuk solat-solat fardhu. Daripada amalan-amalan RasulAllah SAW serta para Salaf-as-Soleh, dapatlah disimpulkan bahawa membaca al-Quraan dalam solat nawafil, terutamanya solat tahajjud, merupakan ‘formal presentation’ daripada daripada penghafaz al-Quraan kepada Allah SWT, atau ‘formal audience’ daripada seorang hamba untuk ‘mendengar’ Kalam Allah yang mulia itu.

Andaian ini sama sahaja dengan hipotesis bahawa seseorang itu mempunyai kepakaran dalam bidang ilmu, seni atau sukan. Sekiranya beliau tidak pernah berpeluang untuk membuat ‘formal presentation’ sama ada dalam bentuk perlawanan atau pertunjukan, lama-kelamaan kepakaran yang ada akan hilang sedikit demi sedikit. Sebab itu juga, jika kita meneliti seerah atau membaca sejarah para Sahabat dan para ulama’ besar, kita mendapati bahaw mereka menghabiskan masa yang panjang mendirikan solat nawafil dengan membaca surah yang panjang-panjang.

2. Lazimkan mendirikan solat berjamaah.

Terutamanya kepada orang lelaki, solat jemaah harus menjadi amalan yang diambil berat. Terdapat hadith-hadith yang yang menjelaskan kepentingan solat berjamaah. Sebagaimana sukarnya untuk menemui nas yang menunjukkan RasulAllah SAW biasa mendirikan solat fardhu secara bersendirian, anggaplah mendirikan solat fardhu secara berjamaah di masjid sebagai satu kemestian.

Selain daripada itu, kita harus mengambil ingatan bahawa banyak Sahabat RasulAllah yang ternama yang menghabiskan sebahagian besar hayat mereka hanya menjadi makmum. Berdasarkan mafhum ayat 78 surah al-Israa’, ramai mufassir menyarankan bahawa solat subuh berjamaah di masjid merupakan ibadah yang tidak dapat dielakkan. Daripada mafhum ayat tersebut dan amalan RasulAllah yang membaca surah yang panjang (sehingga 60 ayat), para mufassir mengandaikan bahawa solat subuh berjamaah adalah majlis yang disaksikan oleh para malaikat yang ‘bertukar shift’ antara ‘shift’ siang dan malam. Terdapat riwayat menyatakan apabila para pulang ke langit, perkara pertama yang dilaporkan ialah amalan anak Adam ketika mereka meninggalkan kita.

Bagi mengaitkan amalan solat berjamaah, terutamanya solat subuh, dengan proses tahfiz, cuba lihat fenomena yang menjadi realiti dalam kehidupan kita. Bagaimana kita boleh menjadi orang ‘seni’ kalau kita tidak biasa menghadiri majlis-majlis seni. Begitu juga, bagaimana kita boleh menjadi ‘Ahlul-Quraan’ (istilah ini digunakan dalam sesetegah hadis) jika kita tidak biasa menghadiri ‘majlis al-Quraan’ yakni, solat subuh berjamaah di masjid.

Semasa mengiltizamkan diri amalan-amalan di atas, perlu juga diberikan perhatian serius terhadap tahap kemampuan kita dalam melaksanakan amalan-amalan sunat. Jika amalan kita yang sedia ada masih di tahap rendah, perubahan yang drastik boleh memberikan implikasi negatif. Sebaliknya, sekira kita terlalu memanjakan diri kita, kemajuan tidak boleh dicapai.

Ambillah jalan yang bijaksana. Rancang penghayatan amalan-amalan sunat dengan teliti supaya kita sentiasa suka melaksanakannya. Carilah jalan yang baik supaya amalan-amalan tersebut tidak menjadi ‘terpaksa’. Mulakannya satu persatu. Jangan terburu-buru menambah amalan baru sebelum difikirkan semasak-masaknya. Mulakannya dengan yang ringan, mudah dan ‘enjoying’. Benarkan diri sendiri ‘berehat’ apabila terasa ‘penat’ mengamalkannya dan janganlah berasa bersalah untuk mengambil rehat. Mulakan semula apabila telah bersedia semula. Pertimbangkan satu tempoh yang panjang, barangkali setahun atau dua tahun, untuk berilitizam dengan satu-satu amalan baru. Di samping itu, sokongi amalan-amalan tersebut dengan memahami fadhilat-fadhilatnya. Oleh itu, untuk merancang solat nawafil (yang dibincangkan di atas), yang berkekalan seterusnya dapat membantu mengukuhkan hafazan, petua-petua di bawah ini mungkin boleh dimanfaatkan, iaitu

a) sentiasalah ingat akan nasihat yang menyarankan bahawa amalan yang disukai oleh Allah adalah yang sedikit tetapi berkekalan
b) manfaatkan bulan Ramadhan sebagai permulaan bagi satu-satu amalan baru atau menambahkan amalan yang sedia ada
c) buat ‘arrangement’ dengan menentukan solat sunat tertentu untuk hafazan bahagian tertentu. Contohnya, juzu’ 25 hingga 30 dibaca dalam solat sunat lepas maghrib, juzu’ 1-10 semasa solat Tahajjud, 10-15 di solat Dhuha. Amalkan satu-satu ‘arrangement’ untuk satu tempoh yang munasabah. Mungkin setahun. Tetapi apabila terasa tak ‘confortable’ ubahkan ‘arrangement’nya supaya bersesuaian dengan rutin harian kita
d) setiap kali memulakan satu-satu ‘arrangement’ mulakan dengan surah yang sependek-pendeknya, contohnya dengan surah ‘al-ikhlas’. Selepas kita berpuas hati bahawa kita memang sudah ‘committed’ dengan amalan tersebut, baru cuba membaca surah lain yang telah dihafaz mengikut susunan yang telah dirancang
e) kepada yang belum biasa dengan solat tahajjud, pada peringkat permulaan, mungkin dalam tempoh setahun, cuba jangan bersolat melebihi lima minit
f) kalau hati kita ‘bergelojak’ hendak menambahkan amalan, fikir semasak-masaknya, dibimbangi desakan syaitan yang merancang untuk ‘sabotaj’ komitmen kita. Jika berlaku juga, berniatlah bahawa ‘sama ada aku bersolat sunat atau meninggalkan solat sunat kedua-duanya kerana Allah’.

Mengenai solat subuh, kepada yang belum biasa untuk ‘commit’ untuk bersolat berjamaah di masjid, mungkin panduan ini berguna
a. mulakannya pada bulan Ramadhan
b. setelah habis bulan Ramadhan, teruskan pada bulan Syawwal sehingga menjadi 40 hari
c. setelah itu rancang jadual mingguan dengan menetapkan beberapa hari dalam seminggu ‘mesti’ pergi masjid. Kemudian, ‘improve’kan sedikit-demi sedikit
d. janganlah terikat sangat dengan amalan jemaah lain yang membaca wirid yang panjang-panjang. Sebagai permulaan, tiada salahnya untuk pergi ke masjid untuk tempoh yang sependek-pendeknya. Oleh itu juga tiada salahnya sampai di masjid selepas iqamah dan meninggalkan jemaah sebaik sahaja selepas memberi salam

3. Sentiasalah memohon ampun, beristighfar dan bertaubat.

Jangan sekali-kali menganggap kita tidak pernah melakukan dosa besar dan tidak perlu bertaubat. Dalam ayat 49, surah an-Nisaa’, Allah menceritakan bahawa tanggapan sedemikian merupakan amalan Yahudi dan Kristian. Oleh itu, umat Islam tidak harus berbuat demikian. Sebaliknya kita perlu sentiasa memohon ampun dan terus mengharapkan keampunan, walau sebaik manapun kita ini, sehinggalah sampai ajal kita. Bahkan, RasulAllah yang sudah terjamin kedudukannya yang tertinggi dalam syurgapun bertaubat tidak kurang daripada 70 kali sehari semalam. Dalam ayat 70, surah al-Furqan Allah menjelaskan taubat yang diikuti dengan pengukuhan iman dan penambahan amalan soleh merupakan taubat yang terbaik yang segala dosa yang pernah dilakukan bukan sahaja diampunkan, bahkan di’convert’ menjadi pahala.

4. Lazimkan berdoa untuk mukminin dan mukminat.

Amalan mendoakan mukminin dan muminat memang menjadi ‘rutin’ setiap muslim. Terutamanya apabila berdoa dan memohon ‘Allahumma ighfir lil-mukminin wal mukminat… ’. Secara dasarnya amalan tersebut merupakan perintah Allah melalui ayat 19 surah Muhammad. Namun, dari segi praktikalnya tidaklah semudah mengamalkannya seperti membaca doa harian. Bahkan, memerlukan amalan lain yang menunjukkan ‘keikhlasan’ kita ketika berdoa yang antaranya

a. sentiasa memaafkan kesalahan peribadi orang lain ke atas kita
b. tidak mengumpat, memandang rendah atau su’zann (sangka buruk) kepada sesiapa
c. sentiasa mengharapkan dan mendoakan kebaikan untuk orang lain
d. amalkan penghidupan sebagai seorang yang ber‘pleasing personality’ dengan kemurahan senyuman, ringan tulang dan mempunyai ‘positive attitude’.

5. Jaga lidah.

Lidah seseorang hafiz itu seharusnya bersih. Jauhkan diri daripada bercakap lagha dan berada di majlis atau suasana lagha. Jangan sama sekali mengumpat atau membicarakan perkara-perkara gossip serta isu-isu yang kita sendiri tidak menghetahui kesahihannya. Dalam ayat 36, surah al-Isra’, Allah SAW selepas menegah kita memperkatakan sesuatu yang kita sendiri pun tidak mengetahuinya, memberi amaran bahawa telinga, mata dan hati akan ditanya oleh-Nya pada hari Akhirat kelak. Jangan ketawa berdekah-dekah. Saidina Abu Bakar berkata, ketawa berdekah-dekah itu mematikan hati.

Apakah kaitan amalan-amalan yang dibincangkan di perenggan 3, 4 dan 5 di atas dengan proses penghafazan al-Quraan?. Sesungguhnya seseorang yang menghafaz al-Quraan itu, mukanya adalah cerminan perkara yang ada dalam hatinya. Jika di hadapan kita dia menunjukkan kebaikan dan kejujurannya, di belakang kita dia mendoakan keampunan dan kebaikan buat kita. Sesungguhnya juga al-Quraan itu Nur yang suci daripada Allah (at-Taghaabun, 8) yang hanya boleh ditulis dalam hati insan-insan yang berusahanya mensucikan hatinya. Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang sentiasa mensucikan jiwanya (as-Syams, 9)


6. Take care!

Jaga diri sendiri, jaga kesihatan, jaga pemakanan. Hal ini bukan sahaja soal kesihatan, bahkan berkali-kali Allah mengulangi dalam al-Quraan perintah supaya orang-orang mukmin mengambil berat soal makan minum yang baik-baik. Contohnya, cuba lihat ayat-ayat 168 dan 176, surah al-Baqarah. Cuba juga lihat doa Nabi Ibrahim buat anak-cucunya dan untuk kita semua dalam ayat 126 surah al-Baqarah dan ayat 37 surah Ibrahim. Rasional amalan penjagaan kesihatan dan pemakanan ialah tugasan menghafaz al-Quraan bukanlah kerja yang mudah. Tugasan ini memerlukan bekalan makanan dan zat yang mencukupi untuk otak kita. Badan kita yang menyokong otak kita itu pula perlu cukup sihat dan cukup kuat. Ingatkah kita firman Allah yang menyatakan jika al-Quraan itu diturunkan ke atas gunung, gunung akan runtuh. Di samping itu, banyak doa-doa RasulAllah yang berkaitan dengan kesihatan. Amalkannya!

7. Tunaikan tanggungjawab sebagai seorang hafiz.

Satu daripadanya ialah jika dikehendaki mengimami solat, jangan cuba mencari ‘excuse’ untuk menolak. Hal ini kerana menurut syara’ tugasan ‘keimaman’ adalah tertanggung ke atas pundak seseorang yang baik bacaan al-Quraannya dan seseorang yang lebih banyak hafazannya. Eloklah kita tidak menganggap mana-mana ayat yang Allah berikan kepada kita menghafaznya sebagai pemberian percuma. Hadiah tersebut datang dengan tanggungjawab. Laksanakan tugas keimaman dengan komitment yang terbaik. Di samping itu, jagalah hak makmum sebaik-baiknya. Jika membaca surah yang panjang, jangan cuba melebihi amalan para Sahabat. Namun, jika kita tidak dijemput untuk menjadi imam, janganlah mengharap sama sekali. Kelak timbul rasa ‘riya’. Tiada salahnya jika kita terus menjadi makmum. seperti yang dibincangkan di atas, banyak Sahabat RasulAllah yang ternama dan menjadi ahlul-jannah yang menghabiskan sebahagian besar hayat mereka hanya menjadi makmum. Kalau orang lain yang sentiasa mengimami kita mutu bacaannya ‘agak rendah’, kalau kita tidak mampu menegurnya, jangan ‘mengkritik di belakangnya. Malahan, sentiasalah berdoa supaya solatnya diterima Allah. Jika kita diminta orang untuk berdoa untuk dirinya, laksanakan dengan sebaik-baiknya. Jika kita diminta mengajar al-Quran atau apa-apa ilmu, laksanakannya dengan tidak mengharapkan apa-apa habuan atau pengiktirafan. Harapkan keredhaan Allah dan Rasul-Nya jua yang harganya lebih mahal daripada dunia dan segala isinya.

Kesimpulannya, berakhlakkan al-Quraan ialah sebesar-besar sunnah RasulAllah SAW. RasulAllah SAW hidup dengan al-Quraan dan al-Quraan ‘hidup’ dalam kehidupan hariannya. Bagi menjayakan cita-cita untuk menghafaz al-Quraan kita perlu menyediakan diri dengan belajar untuk menghayati cara untuk ‘menghidupkan’ al-Quraan dalam diri kita.

2 comments:

Luqman said...

ada pembetulan sikit.

saya petik dari sini.

"..hanya boleh ditulis dalam hati insan-insan yang berusahanya mensucikan hatinya. Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang sentiasa mensucikan jiwanya (as-Syams, 8)"

dalam surah as-syams tu, bukan ayat 8. Tapi ayat 9.

suara said...

Terima kasih atas teguran. Saya akan perbetulkan.