Mar 16, 2009

Tips Hafazan : Menguruskan Lupa

Tip Hafazan # 11

Bagaimana mengatasi masalah lupa?. Inilah FAQ (frequently asked question). Dalam konteks penghafazan al-Quraan mempunyai berbagai-bagai dimensi dan berpunca daripada pelbagai sebab. Dengan perkataan lain, jenis lain kategori lupa perlu diatasi dengan kaedah lain.

Pada sesi ini, kita akan membincangkan satu sahaja punca lupa dan cara penyelesaiannya. Isu ‘kelupaan’ Saidina ‘Ali dan Ibn ‘Abbas seperti yang telah dibincangkan sebelum ini adalah berkaitan dengan isu kali ini iaitu ‘lupa adalah satu proses’. Bahkan, lupa adalah sifat semula jadi manusia.

Seperti yang dinyatakan dalam ayat 115 surah Taha, bahawa ketika Adam A.S. dijadikan, Allah membuat satu perjanjian dengannya, lantas dia ‘lupa’… Kalau seorang Nabi boleh lupa, apatah lagi kita. Selain daripada itu, walau apapun kaedah terbaik yang kita ambil untuk menghafaz, seharusnya kita memahami bahawa, sebagai sahabat besar, kaedah yang digunakan oleh Saidina Ali dan Ibn Abbas adalah lebih baik daripada yang digunakan oleh kebanyakan orang. Andaian ini adalah berasaskan kepada beberapa hadis sahih yang mengisyaratkan tingginya ilmu al-Quraan yang ada pada kedua-dua mereka itu.

Konsep

Dalam usaha mengejar matlamat menghafaz al-Quraan, kita juga harus sentiasa ingat pesanan Allah dalam ayat 37 surah al-Anbiyaa’ bahawa manusia itu dijadikan oleh-Nya bersifat gopoh. Salah satu daripada sifat gopoh ialah mahu melihat hasil usaha dalam tempoh yang singkat. Sekiranya kita boleh menerima hakikat bahawa ‘lupa’ dan ‘gopoh’ itu merupakan sifat semula jadi kita, isu kelupaan hafazan insyaAllah boleh ditangani.

Begitu juga hakikat hidup ini, tiada urusan besar atau kecil yang boleh dilaksanakan dengan sempurna tanpa perancangan yang teliti dan pengurusan yang berkesan. Proses penghafazan al-Quraan tidaklah terkecuali. Untuk itu, mungkin satu omokan (joke) yang boleh dimanfaatkan ialah ‘if you cannot beat them, join them’. Jadi, satu daripada kaedah untuk mengatasi lupa ialah dengan menerima hakikat kejadian semula jadi kita dan menguruskan proses lupa semula jadi yang sedia ada (by default) dalam diri kita itu dengan teratur.

Persoalannya, kenapa perlu diuruskan lupa?

Pertama, untuk menguji kekentalan dan ketepatan ingatan kita. Kedua, memberikan ‘momentum’ agar hafazan kita berjalan berdasarkan keupayaan fizikal ‘menanggung’ ayat-ayat yang dihafaz. Hal ini bermakna sekiranya kita telah menghafaz melebihi keupayaan otak kita untuk menanggungnya, kita perlu membenarkan supaya proses pelupaan ‘semula jadi’ berlaku. Dengan itu juga kita dapat mengelakkan tekanan ke atas mental. Ketiga, untuk meningkatkan ketepatan hafazan dan mengurangkan risiko kekeliruan (mix up) terutamanya apabila menghafaz surah-surah ‘generic’. Sekiranya kita membenarkan proses kelupaan secara semula jadi berlaku, hafazan-hafazan yang silap dan keliru akan terpadam sedikit demi sedikit.

Prinsip

Untuk ‘menguruskan lupa’ beberapa prinsip yang perlu difahami, ialah:

a) otak manusia bukan seperti mesin fotostat. Oleh yang demikian, kadar kekentalan pengingatan (retention) seseorang manusia biasa perlu dibina. Prosesnya termasuklah ujian yang berulang-ulang

b) mutu kekentalan ingatan boleh diukur

c) kekentalan ingatan boleh digredkan secara kasar kepada
1. segera (flash)
2. sementara, dan
3. jangka panjang

d) proses pengentalan ingatan memerlukan perancangan yang teratur

e) otak manusia memerlukan sokongan luar untuk mengukuhkan ingatan. Antaranya, pengalaman-pengalaman manis dan peristiwa-peristiwa yang tidak boleh dilupakan

f) ‘masa’ adalah penghakis utama ingatan manusia.

Standard

Berkaitan prinsip-prinsip di atas, setelah melalui ‘ujian cabaran masa’, setiap surah yang dihafaz perlu melalui sekurang-kurangnya tiga tahap ingatan
a) tahap 1 : registration atau hafazan ‘flash’
b) tahap 2 : hafazan sementara
c) tahap 3 : hafazan jangka panjang.

Hafazan Tahap Registration

Ukuran pencapaian pada tahap ini ialah kejayaan menghafaz dengan betul kali pertama bahagian/rubu’ yang dipilih. Kemudian, selepas satu tempoh yang pendek, biasanya dalam sehari dua sahaja, banyak bahagiannya yang hilang. Sebagai peringatan, bahagian-bahagian yang dihafaz pada peringkat ini tidak digalakkan dibaca ketika mengimami solat.

Hafazan Tahap Sementara

Ukuran pencapaian pada tahap ini ialah bahagian yang dihafaz boleh dibaca semula selepas ‘berkerja keras’ untuk mengingatinya semula. Sebagai peringatan, tahap ingatan sementara tidak sama antara individu dengan individu yang lain. Ada yang hanya mampu bertahan hanya sehari dan ada yang mampu bertahan sehingga dua minggu.

Hafazan Tahap Jangka Panjang

Ukuran pencapaian pada tahap ini ialah tiada masalah besar untuk membaca semula bahagian yang telah dihafaz. Peringatan; pertama, proses menyemak atau menghafaz semula perlu dilakukan dengan segera kerana walaupun ada antara kita mempunyai kaedah hafazan yang terbaik, kita perlu menerima hakikat bahawa otak manusia mempunyai ‘had masa’ untuk menyimpan (retention) rekod-rekod. Seperti yang dinyatakan di atas, kadar kekuatan retention tidak sama antara individu dengan individu yang lain.

Kedua, kita harus menerima hakikat bahawa tidak semua manusia mempunyai hafazan yang kekal. Namun begitu, sekiranya kita telah mampu menyediakan jadual semakan semula yang membolehkan kita khatam dalam tempoh kurang daripada 40 hari dan ada bahagian yang ‘tidak terpadam’, bahagian tersebut boleh dianggap sebagai telah bertaraf ingatan jangka panjang.

PELAKSANAAN

Untuk merancang menghafaz sambil menguruskan lupa, langkah-langkah berikut perlu diambil:

a) Membuat Perancangan Jangka Panjang
Langkah pertama ialah menetapkan sasaran tempoh hafazan. Untuk memudahkan proses, tetapkan tempoh antara 5 – 10 tahun

b) Membuat Perancangan Jangka Pendek
Mula-mula bahagikan mashaf kepada saiz yang boleh diurus (manageable size). Contohnya dibahagikan seluruh mashaf kepada enam segmen, yang setiap segmen mengandungi 5 juzuk. Kemudian, sediakan sasaran tempoh penghafazan segmen yang dipilih. Oleh itu jika sasaran jangka panjang dianggarkan 10 tahun, bermakna

• satu bulan perlu menghafaz 2 rubu’ (1 rubu’ bersamaan 1/8 juzuk - lihat nota di bawah di bahagian akhir artikel ini)
• satu juzuk dihafaz dalam tempoh 4 bulan
• satu tahun dihafaz 3 juzuk.

Sebagai peringatan, kiraan ini hanyalah anggaran kasar sahaja. Penganggaran perlu dibuat supaya kita mempunyai idea mengenai perancangan penghafazan serta boleh menjangka beban tugas penghafazan. Tanpa sasaran dan objektif yang boleh diukur, pelan perancangan yang berkesan tidak boleh disediakan. Sama ada sasaran tersebut tercapai atau tidak, itu persoalan lain.

c) Jalankan Proses Penghafazan dan Pengurusan Lupa Secara Sistematik
Mula-mula sediakan senarai bahagian-bahagian yang hendak dihafaz. Setiap bahagian hafazan hendaklah dibahagikan kepada tiga peringkat hafazan (Sila lihat juga nota di bahagian akhir artikel ini). Kemudian, rekodkan dengan teratur proses penghafazan dengan mengambil kira standard kualiti hafazan yang disarankan di atas.


Contoh penggunaan Buku Log Hafazan dan Pengurusan Lupa

Proses penghafazan perlu mempunyai rekod yang teratur. Sistem ini bertujuan untuk mengukur pencapaian hakiki tahap hafazan kita. Mengikut pembahagian ini, setiap juzuk dibahagikan kepada 8 rubu’ (quarter/bahagian). Oleh itu, keseluruhan mashaf dibahagikan kepada 240 rubu’. Hal ini bermaksud jika setiap rubu’ tidak dibahagikan kepada saiz yang lebih kecil, untuk menghafaz keseluruhan al-Quraan, kita perlu menghafaz 240 quarter/bahagian.

Buku tersebut telahpun membahagikan seluruh mashaf menjadi 6 segmen.
Sekiranya buku log tersebut hendak digunakan, eloklah urutan penghafazan ini diikuti.

(1) Hafaz setiap rubu’ dengan sempurna sebelum beralih ke rubu’ yang baru. Sebaik-baiknya buat semakan dengan orang lain sebelum beralih ke rubu’ yang baru (katakan kita memulakan hafazan pada rubu’ no.201 – surah al-Ahqaf);

(2) Sebaik-baik sahaja kita berpuas hati dengan hafazan ‘kali partama’ dan mencapai standard hafazan ‘flash’, buat catatan tarikh dan peristiwa atau pengalaman penting yang kita rasa berkaitan dengan hidup kita pada ruang nota. Jenis atau bentuknya peristiwa tersebut, terpulanglah kepada individu. Ingatan atau kenangan peristiwa/pengalaman penting tersebut akan membantu kita dalam mengingati kembali dalam satu tempoh panjang yang akan datang (Sebagai contoh, sebahagian catatan penulis ada ditujukkan di sini);

(3) Selepas itu, abaikan rubu’ yang baru dihafaz itu (rubu’ 201) sehingga sempurna hafazan bahagian yang di hadapan (rubu’ 202). Di sini, kita telah mula menguruskan lupa dan dalam masa yang sama mula menguji kekuatan hafazan kita untuk berhadapan dengan ‘masa’.

(4) Selepas bahagian baru (rubu’ 202) selesai, cuba ingat kembali hafazan terdahulu (rubu’ 201). Jika telah lupa, ulangi proses hafazan. Pada peringkat ini, jangan menghafaz ‘bersungguh-sungguh’ – cuma baca sekali atau dua kali sahaja sehari bahagian tersebut. Dalam setiap sesi ‘pembaikian’, elakkan daripada memperbaiki banyak ayat, tetapi tumpukan kepada satu atau dua ayat sahaja. Kadang-kadang, dalam setiap rubu’ hanya sebahagian kecil sahaja ayat yang ‘bermasalah’ untuk kita menghafaznya, tetapi kesannya menyeluruh. Kemudian semak kembali keesokan harinya. Teruskan sehingga tiada lagi masalah untuk membaca semula. Selepas itu, cuba buat kiraan kasar dan rekodkan tempoh yang diambil oleh peringkat ini. Kemudian bandingkan dengan tempoh hafazan kali pertama. Perlu juga diambil ingatan bahawa hafazan peringkat ini boleh mencecah tempoh 40-60 hari, iaitu lebih panjang daripada tempoh hafazan pertama. Sedikit-demi sedikit, jurang tempoh akan mengecil. Oleh itu, lakukan pengulangan selepas pengabaian beberapa ketika sehingga tempoh memperbaiki menjadi hanya ‘satu hari’. Jika tahap ini telah tercapai, rekodkan pencapainnya ke tahap ‘hafazan sementara’. Tujuan proses ini ialah untuk memastikan hafazan kita dilakukan betul-betul mengikut tahap keupayaan otak kita. Maksudnya, hafazan yang dibuat di luar keupayaan otak untuk menanggungnya akan terpadam sendiri.

(5) Dalam masa yang sama (iaitu selepas rubu’ 202 selesai dihafaz), teruskan hafazan ke rubu’ berikutnya (rubu’ 203) tanpa menunggu bahagian pertama tadi (rubu’ 201) sempurna diperbaiki. Ringkasnya, pada peringkat ini, kita itu mempunyai dua tugasan setiap hari iaitu (a) menghafaz bahagian baru dan (b) membetulkan yang lama.

(6) Begitulah seterusnya sehinga semua 40 rubu’ pada segmen ini berjaya didaftarkan sebagai hafazan registration/flash. Elok diulangi semula peringatan di atas iaitu kita tidak perlu menunggu semua hafazan dilaksanakan dengan sempurna untuk beralih ke rubu’-rubu’ di hadapan. Di sinilah kita perlu benar-benar menghayati bahawa lupa dalah proses semula jadi yang perlu dibiarkan untuk ‘takes its own course’.

(7) Pada peringkat ini juga, cuba jangan memasuki segmen baru sehingga kesemua 40 rubu’ dalam segmen ini mencapai tahap hafazan sementara. Sekiranya diteruskan juga, dibimbangi memberikan tekanan kepada mental kita kerana terlalu banyak ‘tugasan’ yang perlu dibuat (pengecualian akan dibincangkan dalam topik lain akan datang).

(8) Sekiranya kita pernah menghafaz mana-mana surah atau rubu’ dalam segmen ini, terus catatkan dalam hafazan flash tanpa menghafaznya semula.

(9) Cuba jangan mengisytiharkan mana-mana rubu’ telah mencapai hafazan tahap 3 (ingatan jangka panjang) sehingga kita yakin yang kita boleh membaca semula tanpa perlu membuat semakan. Ini bermakna hafazan tahap 3 mungkin hanya boleh dicapai selepas 2-3 tahun (tetapi mungkin juga mencecah tempoh 10 tahun) selepas pencapaian hafazan tahap 1. Perlu juga diingati, kita tidak perlu ‘terburu-buru’ mengisyiharkan pencapaian tahap 3 kerana selepas beberapa tahun, tanpa kita sedari ingatan kita mampu ‘mencari sendiri’ hafazan-hafazan lama walaupun tanpa membuat semakan. Inilah antara keistimewaan al-Quraan (cuba amati dengan teliti ayat terakhir daripada surah al-Ankabuut). Pengalaman sedemikian ada dinyatakan oleh Saidina Ali sebagai ‘seolah-olah mashaf terbuka dihadapannya’.

(10) Jangan terlalu bimbang sekiranya masalah kelupaan berterusan. Fenomena ini berlaku kerana otak kita mengambil masa yang agak panjang (seperti yang dinyatakan di atas, mungkin mencecah 10 tahun) bagi menyesuaikan dan menyelaraskan semua rekod. Juga perlu diingat, setiap individu mempunyai kekuatan dan kelemahan yang berbeza-beza antara surah dengan surah yang lain. Selain daripada itu, seperti juga yang dibincangkan di bawah topik ‘Surah Generik dan Surah Unik’, tempoh masa penghafazan yang diambil antara satu surah dengan surah yang lain dijangkakan tidak akan sekata. Oleh itu, maha suci Allah yang segala urusan penghafazan berada di tangan-Nya. Maka, ada surah yang memerlukan cuma beberapa hari, malah ada yang beberapa minit sahaja. Ada pula yang memakan masa berbulan-bulan, malah ada yang bertahun-tahun. Oleh yang demikian juga, sekiranya kita telah berusaha tetapi masih juga tidak mencapai matlamat penghafazan dalam tempoh yang disasarkan, jangan dikesalkan sangat. Seperti yang pernah dibincangkan sebelum ini, membaca al-Quraan untuk tujuan menghafaz, dengan cara yang betul dan dengan niat yang ikhlas akan menjadi amal saleh yang diberi pahala di sisi Allah. Perbanyakkan doa agar kiranya gagal pada penilaian dunia semoga Allah mencatatkan sebagai huffaz di sisi-Nya.

(11) Sekiranya keadaan memerlukan, mana-mana rubu’ boleh dipecahkan kepada bahagian-bahagian yang lebih kecil. Keadaan ini boleh berlaku terutamanya pada juzuk-juzuk 28, 29 dan 30

1 comment:

Amirah said...

Salam.. minx izin copy post ni, link ke blog http://serikandigen12.blogspot.com