Mar 30, 2009

Tips Hafazan : Fakta Angka

Tip Hafazan # 17

Pernah ke kita membuat estimation berapa lama tempoh yang diperlukan bagi menghafaz seluruh al-Quraan?
Cuba lihat kiraan yang berikut:

1 ayat sehari - tempoh hafaz, 17 tahun 9 bulan dan 0 hari
2 ayat sehari - 8 tahun 9 bulan dan 18 hari
3 ayat sehari - 5 tahun 10 bulan dan 13 hari
4 ayat sehari - 4 tahun 4 bulan dan 24 hari
5 ayat sehari - 3 tahun 6 bulan dan 7 hari
6 ayat sehari - 2 tahun 11 bulan dan 4 hari
7 ayat sehari - 2 tahun 2 bulan dan 3 hari
8 ayat sehari - 2 tahun 2 bulan dan 12 hari
9 ayat sehari - 1 tahun 11 bulan dan 12 hari
10 ayat sehari - 1 tahun 9 bulan dan 3 hari
11 ayat sehari - 1 tahun 7 bulan dan 6 hari
12 ayat sehari - 1 tahun 5 bulan dan 15 hari
13 ayat sehari - 1 tahun 4 bulan dan 6 hari
14 ayat sehari - 1 tahun 3 bulan dan 0 hari
15 ayat sehari - 1 tahun 2 bulan dan 1 hari
16 ayat sehari - 1 tahun 1 bulan dan 6 hari
17 ayat sehari - 1 tahun 10 bulan dan 0 hari
18 ayat sehari - 11 bulan dan 19 hari
19 ayat sehari - 11 bulan dan 0 hari
20 ayat sehari - 10 bulan dan 16 hari
1 mukasurat sehari - 1 tahun 8 bulan dan 12 hari
2 mukasurat sehari - 10 bulan dan 6 hari
3 mukasurat sehari - 8 bulan dan 12 hari

Mar 26, 2009

Tips Hafazan : Masalah Di Permulaan Surah

Tips Hafazan # 16

Kepada yang pernah cuba menghafaz al-Quraan, mungkin pernah menemui ayat-ayat di permulaan surah yang kelihatan mudah untuk diingat tetapi sukar dihafaz. Secara ringkasnya bolehlah dikatakan bahawa banyak surah yang dimulakan dengan cara yang seragam. Jika dipandang daripada sudut yang positif, keadaan ini boleh memudahkan penghafazan kerana kita telah biasa mendengar atau membaca ayat-ayat berkenaan. Jika dipandang dari sudut lain pula, keadaan ini boleh mengelirukan kerana terdapat persamaan yang ketara antara ayat-ayat berkenaan. Sebagai contoh, cuba bandingkan ayat-ayat di bawah:

a) ayat 1 hingga 4 surah al-Baqarah dengan ayat 2 hingga 6 surah Luqman

b) ayat 1 hingga 3 surah as-Syu’araa’ dengan ayat 1 surah an-Naml dan ayat 1 dan surah al-Qasas

c) ayat 1 surah Yusuf dengan ayat 1 dan 2 surah Luqman.

Jika dibuat analisis ringkas ke atas surah-surah panjang iaitu surah-surah daripada juzu’ pertama hingga juzu’ ke-28, ayat-ayat dipermulaan surah boleh dibahagikan kepada empat kumpulan seperti berikut:

Surah-surah yang dimulakan dengan pujian kepada Allah.
Contohnya:
Al-Fatihah, An-Nahl, Al-Kahf, Al-Furqaan, Saba’, Al-Faatir, As-Saffaat, Ar-Rahmaan, Al-Hadid, Al-Hasyr, As-Saff, Al-Jumu’ah, At-Taghabun

Surah-surah yang dimulakan dengan memperihalkan tentang al-Quraan
Contohnya:
Al-Baqarah, Aali-‘Emraan, Al-‘araaf, Yunus, Hud, Yusuf, Ar-Ra’d, Ibraaheem, Al-Hijr, Taaha, An-Noor, As-Syuaraa’, An-Naml, Al-Qasas, Luqmaan, As-Sajdah, Yaasin, Saad, Az-Zumar, Ghafir, Al-Fussilat, As-Syuura, Al-Zukhruf, Ad-Dukhaan, Al-Jaathiyah, Al-Ahqaaf, Qaf, At-Tuur,

Surah-surah yang dimulakan dengan ayat-ayat hukum.
Contohnya:
An-Nisaa’, Al-An’aam, Al-Maaidah, Al-Anfaal, At-Taubah, Al-Ahzaab, Muhammad, Al-Hujurat, Al-Mujaadalah, Al-Mumtahanah, At-Talaaq, At-Tahreem

Surah-surah yang dimulakan dengan ayat-ayat mengenai hari Qiamat.
Contohnya:
Al-Anbiyaa’, Al-Hajj, Az-Zariyat, Al-Qamar, Al-Waqi’ah

Masalah yang dihadapi oleh ramai penghafaz ialah setelah menamatkan hafazan sesetengah surah berkenaan mereka berasa bahawa mereka telah dapat menguasai keseluruhan surah dengan betul. Namun, apabila dibaca semula surah berkenaan, mereka tidak pasti samaada hafazan mereka, terutamanya pada ayat-ayat pembukaan setiap surah, tepat atau tidak kerana terdapat ayat-ayat pembukaan surah lain yang hampir serupa. Atau, pada permulaannya, sesetengah penghafaz al-Quraan mendapati agak mudah untuk mengingati ayat-ayat pembukaan surah-surah yang dinyatakan di atas. Namun, dalam tempoh yang singkat, ayat-ayat tersebut hilang daripada ingatan.

Jika masalah ini berlaku, janganlah dibimbangkan sangat. Teruskan menghafaz ayat-ayat berikutnya dalam surah berkenaan. Janganlah menjadikan kesukaran menghafaz ayat-ayat awal surah sebagai penghalang kepada penghafazan keseluruhan surah. Janganlah juga ‘memaksa diri’ menghafaz atau terlalu menumpukan perhatian kepada ayat-ayat awal surah yang akibatnya sasaran untuk menghafaz keseluruhan al-Quraan tidak tercapai. Pada hakikatnya untuk ingatan kita memerlukan masa untuk menyelaraskan hafazan kita terhadap ayat-ayat awal surah. Melalui semakan semula (revision) dalam tempoh tertentu penyelarasan akan berlaku secara ‘natural’ tanpa dipaksa.

Mar 24, 2009

Tips Hafazan : Fahami Lay Out al-Quraan (Bhg 2)

Tips Hafazan # 15

Al-Quraan yang diturunkan melalui wahyu Jibril dibacakan secara lisan kepada RasulAllah. Mashaf yang ada pada kita hari ini adalah catatan yang diambil daripada RasulAllah sebaik sahaja diterima dariapa Jibril. Jumhur ulama’ bersetuju bahawa susunan ayat-ayat dan surah-surah telah ditentukan ketika ayat-ayat al-Quraan diturunkan. Kepada penghafaz al-Quraan, susunan surah-surah memberi kesan dalam menyusun strategi penghafazan.

Kita sedia maklum bahawa mashaf al-Quraan mengandungi 114 surah yang dibahagikan kepada 30 juzu’. Apabila dianalisis secara ringkas, pembahagian surah mengikut juzu’-juzu’ boleh disenaraikan seperti berikut:

Juzu’ 1 – 5 : surah al-Fatihah hingga sebahagian surah an-Nisaa’ (jumlah : 2 + [tanpa mengambi kira al-Fatihah]);

Juzu’ 6 – 10 : sebahagian surah an-Nisaa’ hingga sebahagian surah at-Taubah (jumlah : 4 +);

Juzu’ 11 – 15 : sebahagian surah at-Taubah hingga sebahagian surah al-Kahfi (jumlah : 8 +);

Juzu’ 16 – 20 : sebahagian surah al-Kahfi hingga sebahagian surah al-Ankabuut (jumlah : 10 +);

Juzu’ 21 – 25 : sebahagian surah al-Ankabuut hingga surah al-Jaathiyah (jumlah : 16 +); dan

Juzu’ 26 – 30 : surah al-Ahqaaf hingga sebahagian surah al-Naas (jumlah : 69).

Daripada pembahagian di atas, jelas kepada kita bahawa susunan surah-surah al-Quran bermula dengan surah-surah yang panjang-panjang dan berakhir dengan yang pendek-pendek. Sebab itulah tujuh surah petama selepas surah al-Fatihah dipanggil oleh sesetengah orang sebagai sab’un mutawwilaat (tujuh yang panjang).

Sungguhpun tiada kajian saintifik pernah dibuat, pengalaman ramai pelajar tahfiz menyatakan bahawa menghafaz ketujuh-tujuh surah-surah sab’un mutawwilaat (terutamanya an-Nisaa’ dan al-Baqarah) merupakan ujian yang paling getir, mungkin berasas. Antara faktor kesukaran menghafaz surah-surah awal ialah

a) saiznya yang besar yang susah di‘digest’ oleh ingatan kita

b) kebanyakannya mengandungi ayat-ayat hukum. Antara ciri-ciri ayat-ayat hukum ialah

1) setiap satu ayatnya panjang dan di dalamnya mengandungi beberapa sub-ayat. Contohnya ayat no.6 surah al-Maaidah. Secara kasarnya ayat tersebut mengandungi sekurang-kurangnya enam sub-ayat. Cuba lihat pula ayat 106 al-Baqarah yang mengandungi 9 sub-ayat. Manakala ayat yang terpanjang dalam al-Quraan, ayat 282 al-Baqarah secara kasarnya mengandungi 20 sub-ayat. Bandingkan pula dengan surah al-A’la yang merupakan antara surah yang panjang dalam juzuk ke-30. Walaupun merupakan satu surah yang lengkap, surah ini mengandungi 19 ayat. Oleh itu, jika tidak berhati-hati, kerap berlaku ‘errors and omissions’ pada sub-ayat

2) menjadi kelaziman bahawa ayat-ayat hukum diakhiri dengan pujian kepada Allah SWT. Cuba lihat ayat-ayat 11, 12, 16, 17, 23, 24, 26, (32 dan 33), 39, (34 dan 35), (75 dan 76), 56, 96, 104, 111, 127, 130 dan 170 surah an-Nisaa’. Cuba telitikan persamaan dan perbezaan sub-ayat yang menjadi penutup setiap ayat tersebut. Oleh yang demikian, ramai yang berpendapat bahawa memulakan hafazan dengan surah al-Baqarah bukanlah strategi yang baik. Sebab itulah banyak institusi tahfiz tidak memulakannya dengan surah tersebut, sebaliknya banyak institusi tahfiz tradisional Arab memulakannya sama ada daripada surah Kahfi (Juzu’ ke-15), an-Naml (Juzu’ ke-19/20) atau Juzu’ ke-25. Atau, ada yang menghendaki para pelajar menguasai sepenuhnya juzu’ Amma (juzu’ ke-30) terlebih dahulu. Selepas surah-surah pendek (tidak semestinya mudah) itu dikuasai, barulah para pelajar dibenarkan untuk mula menghafaz surah al-Baqarah. Antara faktornya ialah:

i. saiz surah-surah di dalam juzu’ selepas surah al-Kahfi adalah kecil dan mudah diurus. Oleh itu juga, hasilnya mudah kelihatan dan cepat diperoleh. Hal ini boleh memberi motivasi untuk meneruskan penghafazan surah-surah seterusnya

ii.surah-surah pendek selalu didengari kerana biasa dibaca oleh imam-imam ketika solat fardhu, jadi boleh mengukuhkan ingatan

Persamaan-persamaan dan perbezaan-perbezaan yang terdapat dalam ayat-ayat hukum seperti yang dibincangkan di atas biasanya hanya boleh dikenal pasti oleh penghafaz-penghafaz yang berpengalaman. Kadang-kadang perbezaannya amat kecil, contohnya hanya pertukaran antara ‘wa’ dan ‘kana’. Cuba bandingkan ayat terakhir surah an-Nur dan ayat terakhir surah al-Anfaal. Bandingkan juga persamaan dan perbezaan ayat 48 dengan ayat 123 surah al-Baqarah. Jadi, memulakan hafazan dengan surah-surah pendek merupakan proses pembentukan memori bagi menguasai cabaran-cabaran yang lebih besar, terutamanya untuk menghafaz surah-surah sab’un mutawwilaat; dan(d) selain daripada itu juga, jika seseorang telah melalui pengalaman menghafaz surah-surah dalam juzu’ ke-30, surah al-A’la – katakan dia mengambil masa sebulan, dia boleh mengagak (estimate) berapa panjang tempoh yang diperlukan bagi menghafaz hanya satu ayat panjang, contohnya ayat 282 al-Baqarah.

Mar 22, 2009

Tips Hafazan : Sediakan Diri Untuk Hidup Sebagai Seorang Hafiz

Proses penghafazan al-Quraan lebih mengutamakan aspek ibadah dan spiritual dan tidak melebihkan aspek akademik, mental dan kemahiran. Oleh itu ciri-ciri ibadahnya harus diambil diambil berat. Dengan itu, banyak do’s and don’ts yang perlu diambil perhatian. Jikalau hendak disenaraikan satu persatu, amatlah banyak. Mungkin bermula daripada amalan sebesar-besarnya iaitu berjihad dan berperang di jalan Allah sehingga sekecil-kecil amalan yang mungkin termasuklah bersopan di jalan raya. Memadailah pada peluang yang sedikit ini kita membincangkan beberapa amalan sunat yang diangap kecil tetapi mempunyai kaitan langsung dengan proses penghafazan.

1. Lazimkan mendirikan solat nawafil (solat sunat).

Terdapat banyak riwayat yang menyatakan membaca al-Quraan dalam solat nawafil merupakan amalan lazim RasulAllah SAW. Jika kita lihat dalam kitab-kitab fiqh, terdapat pelbagai jenis solat nawafil yang diamalkan RasulAllah SAW. Antaranya, solat tahajjud, witir, dhuha dan solat-solat sunat qabliyah dan ba’diyah untuk solat-solat fardhu. Daripada amalan-amalan RasulAllah SAW serta para Salaf-as-Soleh, dapatlah disimpulkan bahawa membaca al-Quraan dalam solat nawafil, terutamanya solat tahajjud, merupakan ‘formal presentation’ daripada daripada penghafaz al-Quraan kepada Allah SWT, atau ‘formal audience’ daripada seorang hamba untuk ‘mendengar’ Kalam Allah yang mulia itu.

Andaian ini sama sahaja dengan hipotesis bahawa seseorang itu mempunyai kepakaran dalam bidang ilmu, seni atau sukan. Sekiranya beliau tidak pernah berpeluang untuk membuat ‘formal presentation’ sama ada dalam bentuk perlawanan atau pertunjukan, lama-kelamaan kepakaran yang ada akan hilang sedikit demi sedikit. Sebab itu juga, jika kita meneliti seerah atau membaca sejarah para Sahabat dan para ulama’ besar, kita mendapati bahaw mereka menghabiskan masa yang panjang mendirikan solat nawafil dengan membaca surah yang panjang-panjang.

2. Lazimkan mendirikan solat berjamaah.

Terutamanya kepada orang lelaki, solat jemaah harus menjadi amalan yang diambil berat. Terdapat hadith-hadith yang yang menjelaskan kepentingan solat berjamaah. Sebagaimana sukarnya untuk menemui nas yang menunjukkan RasulAllah SAW biasa mendirikan solat fardhu secara bersendirian, anggaplah mendirikan solat fardhu secara berjamaah di masjid sebagai satu kemestian.

Selain daripada itu, kita harus mengambil ingatan bahawa banyak Sahabat RasulAllah yang ternama yang menghabiskan sebahagian besar hayat mereka hanya menjadi makmum. Berdasarkan mafhum ayat 78 surah al-Israa’, ramai mufassir menyarankan bahawa solat subuh berjamaah di masjid merupakan ibadah yang tidak dapat dielakkan. Daripada mafhum ayat tersebut dan amalan RasulAllah yang membaca surah yang panjang (sehingga 60 ayat), para mufassir mengandaikan bahawa solat subuh berjamaah adalah majlis yang disaksikan oleh para malaikat yang ‘bertukar shift’ antara ‘shift’ siang dan malam. Terdapat riwayat menyatakan apabila para pulang ke langit, perkara pertama yang dilaporkan ialah amalan anak Adam ketika mereka meninggalkan kita.

Bagi mengaitkan amalan solat berjamaah, terutamanya solat subuh, dengan proses tahfiz, cuba lihat fenomena yang menjadi realiti dalam kehidupan kita. Bagaimana kita boleh menjadi orang ‘seni’ kalau kita tidak biasa menghadiri majlis-majlis seni. Begitu juga, bagaimana kita boleh menjadi ‘Ahlul-Quraan’ (istilah ini digunakan dalam sesetegah hadis) jika kita tidak biasa menghadiri ‘majlis al-Quraan’ yakni, solat subuh berjamaah di masjid.

Semasa mengiltizamkan diri amalan-amalan di atas, perlu juga diberikan perhatian serius terhadap tahap kemampuan kita dalam melaksanakan amalan-amalan sunat. Jika amalan kita yang sedia ada masih di tahap rendah, perubahan yang drastik boleh memberikan implikasi negatif. Sebaliknya, sekira kita terlalu memanjakan diri kita, kemajuan tidak boleh dicapai.

Ambillah jalan yang bijaksana. Rancang penghayatan amalan-amalan sunat dengan teliti supaya kita sentiasa suka melaksanakannya. Carilah jalan yang baik supaya amalan-amalan tersebut tidak menjadi ‘terpaksa’. Mulakannya satu persatu. Jangan terburu-buru menambah amalan baru sebelum difikirkan semasak-masaknya. Mulakannya dengan yang ringan, mudah dan ‘enjoying’. Benarkan diri sendiri ‘berehat’ apabila terasa ‘penat’ mengamalkannya dan janganlah berasa bersalah untuk mengambil rehat. Mulakan semula apabila telah bersedia semula. Pertimbangkan satu tempoh yang panjang, barangkali setahun atau dua tahun, untuk berilitizam dengan satu-satu amalan baru. Di samping itu, sokongi amalan-amalan tersebut dengan memahami fadhilat-fadhilatnya. Oleh itu, untuk merancang solat nawafil (yang dibincangkan di atas), yang berkekalan seterusnya dapat membantu mengukuhkan hafazan, petua-petua di bawah ini mungkin boleh dimanfaatkan, iaitu

a) sentiasalah ingat akan nasihat yang menyarankan bahawa amalan yang disukai oleh Allah adalah yang sedikit tetapi berkekalan
b) manfaatkan bulan Ramadhan sebagai permulaan bagi satu-satu amalan baru atau menambahkan amalan yang sedia ada
c) buat ‘arrangement’ dengan menentukan solat sunat tertentu untuk hafazan bahagian tertentu. Contohnya, juzu’ 25 hingga 30 dibaca dalam solat sunat lepas maghrib, juzu’ 1-10 semasa solat Tahajjud, 10-15 di solat Dhuha. Amalkan satu-satu ‘arrangement’ untuk satu tempoh yang munasabah. Mungkin setahun. Tetapi apabila terasa tak ‘confortable’ ubahkan ‘arrangement’nya supaya bersesuaian dengan rutin harian kita
d) setiap kali memulakan satu-satu ‘arrangement’ mulakan dengan surah yang sependek-pendeknya, contohnya dengan surah ‘al-ikhlas’. Selepas kita berpuas hati bahawa kita memang sudah ‘committed’ dengan amalan tersebut, baru cuba membaca surah lain yang telah dihafaz mengikut susunan yang telah dirancang
e) kepada yang belum biasa dengan solat tahajjud, pada peringkat permulaan, mungkin dalam tempoh setahun, cuba jangan bersolat melebihi lima minit
f) kalau hati kita ‘bergelojak’ hendak menambahkan amalan, fikir semasak-masaknya, dibimbangi desakan syaitan yang merancang untuk ‘sabotaj’ komitmen kita. Jika berlaku juga, berniatlah bahawa ‘sama ada aku bersolat sunat atau meninggalkan solat sunat kedua-duanya kerana Allah’.

Mengenai solat subuh, kepada yang belum biasa untuk ‘commit’ untuk bersolat berjamaah di masjid, mungkin panduan ini berguna
a. mulakannya pada bulan Ramadhan
b. setelah habis bulan Ramadhan, teruskan pada bulan Syawwal sehingga menjadi 40 hari
c. setelah itu rancang jadual mingguan dengan menetapkan beberapa hari dalam seminggu ‘mesti’ pergi masjid. Kemudian, ‘improve’kan sedikit-demi sedikit
d. janganlah terikat sangat dengan amalan jemaah lain yang membaca wirid yang panjang-panjang. Sebagai permulaan, tiada salahnya untuk pergi ke masjid untuk tempoh yang sependek-pendeknya. Oleh itu juga tiada salahnya sampai di masjid selepas iqamah dan meninggalkan jemaah sebaik sahaja selepas memberi salam

3. Sentiasalah memohon ampun, beristighfar dan bertaubat.

Jangan sekali-kali menganggap kita tidak pernah melakukan dosa besar dan tidak perlu bertaubat. Dalam ayat 49, surah an-Nisaa’, Allah menceritakan bahawa tanggapan sedemikian merupakan amalan Yahudi dan Kristian. Oleh itu, umat Islam tidak harus berbuat demikian. Sebaliknya kita perlu sentiasa memohon ampun dan terus mengharapkan keampunan, walau sebaik manapun kita ini, sehinggalah sampai ajal kita. Bahkan, RasulAllah yang sudah terjamin kedudukannya yang tertinggi dalam syurgapun bertaubat tidak kurang daripada 70 kali sehari semalam. Dalam ayat 70, surah al-Furqan Allah menjelaskan taubat yang diikuti dengan pengukuhan iman dan penambahan amalan soleh merupakan taubat yang terbaik yang segala dosa yang pernah dilakukan bukan sahaja diampunkan, bahkan di’convert’ menjadi pahala.

4. Lazimkan berdoa untuk mukminin dan mukminat.

Amalan mendoakan mukminin dan muminat memang menjadi ‘rutin’ setiap muslim. Terutamanya apabila berdoa dan memohon ‘Allahumma ighfir lil-mukminin wal mukminat… ’. Secara dasarnya amalan tersebut merupakan perintah Allah melalui ayat 19 surah Muhammad. Namun, dari segi praktikalnya tidaklah semudah mengamalkannya seperti membaca doa harian. Bahkan, memerlukan amalan lain yang menunjukkan ‘keikhlasan’ kita ketika berdoa yang antaranya

a. sentiasa memaafkan kesalahan peribadi orang lain ke atas kita
b. tidak mengumpat, memandang rendah atau su’zann (sangka buruk) kepada sesiapa
c. sentiasa mengharapkan dan mendoakan kebaikan untuk orang lain
d. amalkan penghidupan sebagai seorang yang ber‘pleasing personality’ dengan kemurahan senyuman, ringan tulang dan mempunyai ‘positive attitude’.

5. Jaga lidah.

Lidah seseorang hafiz itu seharusnya bersih. Jauhkan diri daripada bercakap lagha dan berada di majlis atau suasana lagha. Jangan sama sekali mengumpat atau membicarakan perkara-perkara gossip serta isu-isu yang kita sendiri tidak menghetahui kesahihannya. Dalam ayat 36, surah al-Isra’, Allah SAW selepas menegah kita memperkatakan sesuatu yang kita sendiri pun tidak mengetahuinya, memberi amaran bahawa telinga, mata dan hati akan ditanya oleh-Nya pada hari Akhirat kelak. Jangan ketawa berdekah-dekah. Saidina Abu Bakar berkata, ketawa berdekah-dekah itu mematikan hati.

Apakah kaitan amalan-amalan yang dibincangkan di perenggan 3, 4 dan 5 di atas dengan proses penghafazan al-Quraan?. Sesungguhnya seseorang yang menghafaz al-Quraan itu, mukanya adalah cerminan perkara yang ada dalam hatinya. Jika di hadapan kita dia menunjukkan kebaikan dan kejujurannya, di belakang kita dia mendoakan keampunan dan kebaikan buat kita. Sesungguhnya juga al-Quraan itu Nur yang suci daripada Allah (at-Taghaabun, 8) yang hanya boleh ditulis dalam hati insan-insan yang berusahanya mensucikan hatinya. Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang sentiasa mensucikan jiwanya (as-Syams, 9)


6. Take care!

Jaga diri sendiri, jaga kesihatan, jaga pemakanan. Hal ini bukan sahaja soal kesihatan, bahkan berkali-kali Allah mengulangi dalam al-Quraan perintah supaya orang-orang mukmin mengambil berat soal makan minum yang baik-baik. Contohnya, cuba lihat ayat-ayat 168 dan 176, surah al-Baqarah. Cuba juga lihat doa Nabi Ibrahim buat anak-cucunya dan untuk kita semua dalam ayat 126 surah al-Baqarah dan ayat 37 surah Ibrahim. Rasional amalan penjagaan kesihatan dan pemakanan ialah tugasan menghafaz al-Quraan bukanlah kerja yang mudah. Tugasan ini memerlukan bekalan makanan dan zat yang mencukupi untuk otak kita. Badan kita yang menyokong otak kita itu pula perlu cukup sihat dan cukup kuat. Ingatkah kita firman Allah yang menyatakan jika al-Quraan itu diturunkan ke atas gunung, gunung akan runtuh. Di samping itu, banyak doa-doa RasulAllah yang berkaitan dengan kesihatan. Amalkannya!

7. Tunaikan tanggungjawab sebagai seorang hafiz.

Satu daripadanya ialah jika dikehendaki mengimami solat, jangan cuba mencari ‘excuse’ untuk menolak. Hal ini kerana menurut syara’ tugasan ‘keimaman’ adalah tertanggung ke atas pundak seseorang yang baik bacaan al-Quraannya dan seseorang yang lebih banyak hafazannya. Eloklah kita tidak menganggap mana-mana ayat yang Allah berikan kepada kita menghafaznya sebagai pemberian percuma. Hadiah tersebut datang dengan tanggungjawab. Laksanakan tugas keimaman dengan komitment yang terbaik. Di samping itu, jagalah hak makmum sebaik-baiknya. Jika membaca surah yang panjang, jangan cuba melebihi amalan para Sahabat. Namun, jika kita tidak dijemput untuk menjadi imam, janganlah mengharap sama sekali. Kelak timbul rasa ‘riya’. Tiada salahnya jika kita terus menjadi makmum. seperti yang dibincangkan di atas, banyak Sahabat RasulAllah yang ternama dan menjadi ahlul-jannah yang menghabiskan sebahagian besar hayat mereka hanya menjadi makmum. Kalau orang lain yang sentiasa mengimami kita mutu bacaannya ‘agak rendah’, kalau kita tidak mampu menegurnya, jangan ‘mengkritik di belakangnya. Malahan, sentiasalah berdoa supaya solatnya diterima Allah. Jika kita diminta orang untuk berdoa untuk dirinya, laksanakan dengan sebaik-baiknya. Jika kita diminta mengajar al-Quran atau apa-apa ilmu, laksanakannya dengan tidak mengharapkan apa-apa habuan atau pengiktirafan. Harapkan keredhaan Allah dan Rasul-Nya jua yang harganya lebih mahal daripada dunia dan segala isinya.

Kesimpulannya, berakhlakkan al-Quraan ialah sebesar-besar sunnah RasulAllah SAW. RasulAllah SAW hidup dengan al-Quraan dan al-Quraan ‘hidup’ dalam kehidupan hariannya. Bagi menjayakan cita-cita untuk menghafaz al-Quraan kita perlu menyediakan diri dengan belajar untuk menghayati cara untuk ‘menghidupkan’ al-Quraan dalam diri kita.

Mar 20, 2009

Tips Hafazan : Membina Motivasi

Cuba tanyakan kepada diri kita sendiri, ‘kenapa saya harus menghafaz al-Quraan?’. Kemudian tanya pula mereka yang arif dalam soal motivasi diri, ‘bagaimanakah cara untuk berjaya mencapai cita-cita?’ dan ‘kenapa pula ada orang yang ‘mati celik?’. Mungkin ada pakar motivasi menyarankan bahawa orang-orang berjaya adalah mereka yang mempunyai kekuatan dalam diri dan mempunyai ‘definite purpose’ dalam perjuangan hidup.

Apakah pula ‘definite purpose’ para penghafaz al-Quraan?. Adakah kerana mengikut ‘trend’ atau kerana budaya satu-satu bangsa (terutamanya bangsa Arab)? Adakah kerana sekeping sijil atau kerana salah satu syarat untuk memperoleh kelulusan akademik?. Mungkinkah juga bagi mencapai cita-cita untuk menjadi imam yang tersohor atau untuk digelar orang sebagai al-Hafiz, al-Qari’ wal-Muqri’?. Tanyakan diri kita sendiri, dari mana asalnya gelaran-gelaran tersebut? Adakah bersumberkan nas-nas yang sahih?, Adakah gelaran-gelaran tersebut telah wujud di zaman Rasul SAW, Sahabat dan Tabi-ein?

Untuk mengimbau cita-cita para huffaz, cuba lihat nas-nas berikut:

NAS-NAS KUMPULAN 1

Dari Abu Musa (R.A) meriwayatkan bahawa RasulAllah S.A.W bersabda (maksudnya), “antara orang-orang yang dimuliakan oleh Allah ialah orang tua Muslim, penghafaz al-Quraan yang tidak membuat silap; dan seseorang yang apabila diberi kuasa dia berlaku adil” [Riwayat Abu Dawud]; Nota : perkataan ‘ghairu ghali’ boleh diterjemahkan ke bahasa Inggeris sebagai ‘not aggressive when putting into practice and not taking shelter of far-fetched interpretations to justify own intellectual and religious perversion’

Jaabir (R.A) meriwayatkan bahawa, selepas peperangan Uhud, ketika sedang mengaturkan susunan kedudukan di dalam liang lahad bagi dua jenazah tentera yang syahid, RasulAllah S.A.W bertanya kepada para Sahabat (maksudnya), “siapakah di kalangan mereka ini yang lebih banyak hafazan al-Quraannya?”. Mana-mana yang dikenal pasti sebagai lebih lebih hafiz akan disemadikan terlebih dahulu [Riwayat Bukhari].

NAS-NAS KUMPULAN 2

Siapakah Ibn ‘Abbas?. Namanya Abdullah bin ‘Abbas bin ‘Abdul Mutalib. Beliau ialah sepupu RasulAllah S.A.W. Ketika beliau dilahirkan, RasulAllah S.A.W. berdoa supaya Allah mengurniakan bayi tersebut tiga perkara iaitu supaya (1) menjadi seorang yang faqih-fi-ddin, (2) diajarkan oleh Allah mengenai ‘ta’weel’ al-Quraan, dan (3) ditunjukkan kepadanya ‘sirat al-mustaqeem’. Selepas RasulAllah S.A.W. wafat beliau telah menjadi pakar rujuk kepada semua sahabat termasuk Khulafa’ al-Rasyideen. Oleh kerana faqihnya beliau dalam hukum-hakam dan tersangat tinggi kefahamannya mengenai ‘ta’weel’ al-Quraan, beliau banyak menegur tafsiran-tafsiran al-Quraan yang tidak tepat yang dilakukan oleh para Sahabat dan Tabi-een. Ibn ‘Abbas dianggap oleh para Sahabat sebagai lautan ilmu. Sekiranya kita meneliti latar belakang para ulama’ yang masyhur, sama juga seperti Ibn ‘Abbas, tiada seorangpun daripada mereka yang tidak menghafaz al-Quraan. Pendek kata, tidak sempurna kefaqihan seseorang tanpa menghafaz al-Quraan.

NAS-NAS KUMPULAN 3

Dalam ayat Aali-’Imraan, ayat no. 146, Allah SWT menyatakan bahawa ramai daripada mereka yang berperang bersama-sama para nabi adalah yang bersifat ‘Rabbaniyy’. Di tempat lain, di surah yang sama pada ayat no. 79, Allah SWT menjelaskan bahawa antara tugas para Rasul ialah untuk menyeru manusia supaya masuk ke dalam golongan ‘Rabbaniyyun’ - iaitu dengan cara mempelajari belajar ‘Kitab Allah’. Dalam konteks yang sama tetapi daripada perspektif yang berbeza, jika kita tinjau sejarah Islam, rata-rata para sejarawan bersetuju bahawa inisiatif pengumpulan dan penulisan al-Quraan adalah berpunca daripada kebimbangan para Sahabat terhadap ramainya penghafaz al-Quraan yang gugur syahid dalam peperangan-peperangan, samada di zaman Rasul S.A.W. atau selepasnya. Hatta di zaman kita hari inipun, ramai daripada ulama’ yang gugur syahid adalah terdiri daripada penghafaz al-Quraan. Imam Hasan al-Banna, Sayyid Qutb dan Sheikh Ahmed Ismail Yassin hanyalah sebahagian daripada contoh. Ringkasnya, sejarah mengisyaratkan bahawa terdapat kaitan yang rapat antara menghafaz al-Quraan dan peluang untuk mati syahid.

NAS KUMPULAN 4

Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr bin Al-‘As, RasulAllah (SAW) bersabda (maksudnya), ‘pada hari kiamat nanti, Sahibul-Quraan akan diperintahkan oleh Allah dengan “bacalah dan naiklah darjat kamu dan bacalah ia sebagaimana kamu membacanya di dunia. Darjat kamu akan ditentukan pada ayat terakhir kamu mampu membacanya”…’

KESIMPULAN

Daripada nas-nas al-Quraan, hadith, seerah dan dan sejarah sekurang-kurang ada empat ‘definite purpose’ yang yang menjadi motivasi untuk mendorong generasi terdahulu untuk menghafaz al-Quraan, iaitu:

PERTAMA – Dimuliakan oleh Allah semasa masih hidup lagi sehinggalah kepada penentuan kedudukan di dalam liang lahad;

KEDUA – Sebagai syarat kesempurnaan untuk kefaqihan dalam soal-soal agama;

KETIGA – Bagi mendekatkan diri kepada peluang untuk mati syahid;

KEEMPAT – Sebagai persediaan untuk menyahut perintah Allah supaya membaca al-Quraan di Padang Mahsyar nanti.

Mar 18, 2009

Tips Hafazan : Kepelbagaian Teknik Penghafazan

Tips Hafazan # 12

Berbanding dengan tips yang telah dibincangkan dalam tajuk-tajuk sebelum ini yang semuanya berasaskan nas-nas daripada al-Quraan, hadits dan ‘aathar, tips kali ini adalah berdasarkan contoh amalan pelajar-pelajar tahfiz. Perbincangan kali ini bukanlah untuk menyarankan apakah tip yang terbaik, sebaliknya sekadar untuk membuka minda kita bahawa perlunya kita membuat ‘exploration’ bagi mencari kaedah terbaik dan bersesuaian dengan kekuatan dan kelemahan diri kita.

Di samping itu juga untuk memikirkan jenis teknik yang paling bersesuaian dengan “nature” kehidupan seharian kita. Namun, sebelum membincangkan teknik-teknik berkenaan elok juga diambil pengajaran daripada yang disarankan oleh Ibn ‘Abbas bila orang bertanya kepadanya bagaimana dia menghafaz. Beliau menjawab “aku baca, aku fahami dan aku amalkan”.

Jika diteliti jaguh-jaguh sukan beraksi, kita akan dapati mereka mempunyai banyak set teknik bagi memenangi sesuatu pertandingan. Ambil sahaja satu contoh kecil dalam Perlumbaan kereta F1 misalnya. Lihat kepelbagaian teknik pemandu ketika memasuki ‘pit-stop’. Begitu juga banyaknya teknik ‘lipat’ dalam sepak takraw. Malahan tentunya ramai yang arif tentang banyak jenis sepakan penalti dalam bola sepak. Cuba kita beberapa contoh yang diamalkan oleh sesetengah orang orang untuk menghafaz, seperti di bawah:

1. HAFAZAN TALAQQY

Salah seorang daripada guru saya bernama Isa berasal dari Sudan. Beliau mempunyai sanad penghafazan sehingga ke RasulAllah SAW yang yang tidak terputus hubungan talian sanadnya yang diwarisi dalam keluarganya dari satu generasi ke satu generasi. Teknik yang diajarkan ialah semasa dia membaca al-Quraan murid-muridnya mesti menulis ayat-ayat yang ditalaqqiykan.

Setelah habis ditulis, mereka dikehendaki membacanya dan didengari oleh beliau untuk diperiksa. Sekiranya semua telah betul, murid-muridnya dikehendaki menghafaz seperti yang ditulis itu sahaja, bukan daripada mashaf. Menurut beliau, itulah teknik asal penghafazan al-Quraan yang diajari oleh Jibril. Oleh sebab RasulAllah tidak tahu menulis dan membaca, Baginda meminta orang lain untuk menulisnya (sila rujuk seerah).

2. HAFAZAN UNTUK SOLAT SUNAT
Beberapa hadis ada menyatakan bahawa betapa besarnya pahala membaca al-Quraan ketika bersolat. Seorang lagi guru saya yang bernama Dr. Yusuf dari Oman mengajarkan teknik menghafaz untuk solat sunat. Menggunakan kaedah ini, kita hanya perlu menghafaz lima ayat baru setiap hari yang setiap satu ayat akan dibaca dalam setiap solat sunat rawatib. Sedikit demi sedikit cantumkan ayat-ayat berkenaan sehingga lengkap menjadi satu rubu’ atau satu surah.

3. BED-TIME STORY
Mungkin banyak orang yang belum pernah mendengar bahawa membaca al-Quraan sama ada melalui lisan atau dalam hati merupakan ubat tidur yang mujarab bagi mereka yang menghadapi masalah untuk memulakan tidur. Ada pelajar-pelajar tahfiz mengambil kesempatan ini dengan ‘pura-pura’ menghafaz untuk memudahkan tidur. Caranya mudah, pilih sahaja mana-mana ayat, kemudian baca, pejamkan mata dan cuba ingat ayat-ayat tersebut dalam hati. Insya Allah, dalam beberapa minit akan tertidur. Kalau terjaga semula, ulangi dan sambung… sehingga terlelap..

4. HAFAZAN 1-2, 1-2.
Jenis ini merupakan teknik hafazan serius. Sama ada kita sedari atau tidak, menghafaz ayat-ayat tertentu dalam al-Quraan berbeza dalam konteks menghafaz keseluruhan al-Quraan. Prinsip yang mudah difahami ialah setiap ayat al-Quraan mempunyai kaitan atau ikatan dengan ayat sebelum dan selepasnya. Hafazan 1-2, 1-2 memerlukan kita menghafaz dua ayat pada setiap masa. Peringkat pertama dimulai dengan ayat no.1 dan no.2, kemudian no.2 dan no.3, kemudian no.3 dan no.4, sehinggalah tamat satu surah atau rubu’. Setelah tamat proses Peringkat pertama, masuki peringkat kedua dengan cuba menghafaz keseluruhan surah atau rubu’ berkenaan. Mungkin kaedah ini sesuai diamalkan bersama-sama kaedah No.2 di atas.

5. HAFAZAN 1-2-3
Sama seperti teknik di atas, teknik ini juga merupakan teknik hafazan serius. Caranya ialah dengan membaca tiga ayat serentak. Contohnya jika kita menghafaz ayat-ayat no. 1,2 dan 3, ketika kita menghafaz ayat no..1 kita perlu ‘membaca’ ayat no.2. Setelah ayat no.1 telah berjaya dihafaz, ulangi ayat tersebut tanpa melihat mashaf, kemudian cuba hafaz ayat no.2 (yang kita telah ‘baca’ ketika manghafaz ayat no.1), diikuti dengan ‘membaca’ ayat no.3. Begitulah seterusnya. Maksudnya, pembacaan ayat pertama merupakan proses ‘pengukuhan’ apa yang dihafaz. Ayat kedua adalah percubaan menghafaz. Ayat ketiga hanya dibaca sahaja. Ayat ketiga ini bukanlah setakat dibaca sahaja, tetapi membaca sehingga kita yakin sudah boleh dihafaz. Ini juga bermaksud bahawa kita hanya berhenti mengulangi ‘pengukuhan’ hafazan ayat pertama setelah ayat ketiga sudah di‘register’ dalam ingatan ikatan kita.

6. HAFAZAN DERAAN
Teknik ini nampak lebih serius. Saya pernah bertemu dengan salah seorang daripada imam dari England yang bernama ‘Uzair, amat baik hafazannya dalam semua sudut. Memerhatikan cara beliau membuat semakan, bolehlah diklasifikasikan sebagai ‘teknik deraan’. Setiap kali ‘terbuat’ silap atau ‘tersangkut’ dia akan kembali semula ke awal rubu’. Walaupun cara yang dipraktikkan oleh Imam ‘Uzair ini kelihatan seperti satu bentuk deraan, sebenarnya ada satu prinsip yang dipraktikkan. Prinsipnya ialah apabila kita memulakan bacaan untuk satu-satu rubu’, seawal ayat pertama lagi memori (otak) kita sudah sepatutnya mengumpulkan maklumat mengenai ayat-ayat di hadapan. Dengan kata lain, sekiranya kita mengimami solat dan mahu membaca satu surah yang mengandungi 50 ayat, pada ayat pertama lagi kita telah mempunyai ‘map’ untuk perjalanan seterusnya dah telahpun tahu apakah bacaan pada ayat ke-50 nanti.

7. HAFAZAN NON-COMMITTAL
Teknik ini lebih senang. Baca sahaja mana-mana surah atau rubu’ setiap hari tanpa terikat untuk menghafaz. Setelah beberapa hari, memori kita insya Allah akan boleh merakam ayat-ayat dengan mudah. Apabila kita telah menyedari ada ayat yang mula masuk dalam ingatan kita, cuba kembangkan ingatan pada ayat-ayat sebelum dan selepasnya. Bagaimana kalau terlupa?. Just forget it!. Insya Allah akan datang kembali. Maha Suci Allah yang menurunkan al-Quraan sebagai satu mukjizat yang di luar pemikiran manusia untuk memahaminya. Biasanya selepas 40-60 hari, keseluruhan satu rubu’ boleh dihafaz melalui cara sebegini.

8. HAFAZAN MENGUDUR (REVERSE)
Sama juga dengan kaedah di atas. Namun, kaedah ini merupakan pemakaian prinsip ‘pembinaan’ map seperti yang dinyatakan dalam kaedah ‘deraan’ tadi. Jika dibandingkan, kaedah ini lebih teratur berbanding hafazan non-committal di atas. Setiap hari cuba baca keseluruhan satu rubu’ atau surah. Pada akhir sesi, hafazkan ayat yang terakhir sahaja. Jadi, jika jumlah keseluruhan ayat adalah 60, mulakan hafazan dengan ayat no.60, kemudian ayat 59 dan begitulah seterusnya. Untuk memberikan impak yang lebih baik, hafazkan ayat-ayat terakhir tersebut dengan menggunakan teknik 1-2, 1-2 seperti yang dibincangkan di atas. Oleh sebab kita membaca rubu’ tersebut setiap hari, insya Allah sebelum sampai ayat ke-30, keseluruhan rubu’ telah berjaya dihafaz.

9. TEKNIK ‘GANJIL’
Dikatakan bahawa terdapat amalan sesetengah orang Arab yang menghafaz dengan memulakan menulis ayat-ayat yang hendak dihafaz. Setelah ayat tersebut berjaya dihafaz, pelajar-pelajar berkenaan membakar nota mereka, asapnya disedut dan abunya dilarutkan ke dalam air dan diminum. Menurut mereka ada hadith sahih (saya sendiri tidak ketemu matan dan riwayatnya – waAllahu a’lam) yang membawa maksud bahawa tulisan al-Quraan adalah penawar pelbagai penyakit dan pendiding daripada rasukan syaitan.

10 HAFAZAN PAST TIME
Mengikut cerita orang, orang-orang bekerja sebagai ‘jaga’ dan penjaga gate keretapi di Mesir semuanya hafiz, waAllah a’lam.

KESIMPULANNYA

a) Terdapat banyak teknik hafazan yang boleh dicuba untuk dipraktikan mengikut kemampuan ingatan kita dan yang bersesuaian dengan corak kehidupan seharian kita
b) Penghafazan yang baik (sila lihat teknik no.1 dan 2), adalah melibatkan banyak anggota badan – mata, telinga, lidah dan tangan
c) Teknik hafazan yang baik tidak semestinya yang membebankan, sebaliknya bersesuaian
d) Jangan lupa, sama ada kita berjaya atau tidak bukanlah suatu perkara yang paling penting kerana membaca al-Quraan merupakan ibadah khusus yang pahalanya dikira daripada setiap huruf yang dibaca.

Mar 16, 2009

Tips Hafazan : Menguruskan Lupa

Tip Hafazan # 11

Bagaimana mengatasi masalah lupa?. Inilah FAQ (frequently asked question). Dalam konteks penghafazan al-Quraan mempunyai berbagai-bagai dimensi dan berpunca daripada pelbagai sebab. Dengan perkataan lain, jenis lain kategori lupa perlu diatasi dengan kaedah lain.

Pada sesi ini, kita akan membincangkan satu sahaja punca lupa dan cara penyelesaiannya. Isu ‘kelupaan’ Saidina ‘Ali dan Ibn ‘Abbas seperti yang telah dibincangkan sebelum ini adalah berkaitan dengan isu kali ini iaitu ‘lupa adalah satu proses’. Bahkan, lupa adalah sifat semula jadi manusia.

Seperti yang dinyatakan dalam ayat 115 surah Taha, bahawa ketika Adam A.S. dijadikan, Allah membuat satu perjanjian dengannya, lantas dia ‘lupa’… Kalau seorang Nabi boleh lupa, apatah lagi kita. Selain daripada itu, walau apapun kaedah terbaik yang kita ambil untuk menghafaz, seharusnya kita memahami bahawa, sebagai sahabat besar, kaedah yang digunakan oleh Saidina Ali dan Ibn Abbas adalah lebih baik daripada yang digunakan oleh kebanyakan orang. Andaian ini adalah berasaskan kepada beberapa hadis sahih yang mengisyaratkan tingginya ilmu al-Quraan yang ada pada kedua-dua mereka itu.

Konsep

Dalam usaha mengejar matlamat menghafaz al-Quraan, kita juga harus sentiasa ingat pesanan Allah dalam ayat 37 surah al-Anbiyaa’ bahawa manusia itu dijadikan oleh-Nya bersifat gopoh. Salah satu daripada sifat gopoh ialah mahu melihat hasil usaha dalam tempoh yang singkat. Sekiranya kita boleh menerima hakikat bahawa ‘lupa’ dan ‘gopoh’ itu merupakan sifat semula jadi kita, isu kelupaan hafazan insyaAllah boleh ditangani.

Begitu juga hakikat hidup ini, tiada urusan besar atau kecil yang boleh dilaksanakan dengan sempurna tanpa perancangan yang teliti dan pengurusan yang berkesan. Proses penghafazan al-Quraan tidaklah terkecuali. Untuk itu, mungkin satu omokan (joke) yang boleh dimanfaatkan ialah ‘if you cannot beat them, join them’. Jadi, satu daripada kaedah untuk mengatasi lupa ialah dengan menerima hakikat kejadian semula jadi kita dan menguruskan proses lupa semula jadi yang sedia ada (by default) dalam diri kita itu dengan teratur.

Persoalannya, kenapa perlu diuruskan lupa?

Pertama, untuk menguji kekentalan dan ketepatan ingatan kita. Kedua, memberikan ‘momentum’ agar hafazan kita berjalan berdasarkan keupayaan fizikal ‘menanggung’ ayat-ayat yang dihafaz. Hal ini bermakna sekiranya kita telah menghafaz melebihi keupayaan otak kita untuk menanggungnya, kita perlu membenarkan supaya proses pelupaan ‘semula jadi’ berlaku. Dengan itu juga kita dapat mengelakkan tekanan ke atas mental. Ketiga, untuk meningkatkan ketepatan hafazan dan mengurangkan risiko kekeliruan (mix up) terutamanya apabila menghafaz surah-surah ‘generic’. Sekiranya kita membenarkan proses kelupaan secara semula jadi berlaku, hafazan-hafazan yang silap dan keliru akan terpadam sedikit demi sedikit.

Prinsip

Untuk ‘menguruskan lupa’ beberapa prinsip yang perlu difahami, ialah:

a) otak manusia bukan seperti mesin fotostat. Oleh yang demikian, kadar kekentalan pengingatan (retention) seseorang manusia biasa perlu dibina. Prosesnya termasuklah ujian yang berulang-ulang

b) mutu kekentalan ingatan boleh diukur

c) kekentalan ingatan boleh digredkan secara kasar kepada
1. segera (flash)
2. sementara, dan
3. jangka panjang

d) proses pengentalan ingatan memerlukan perancangan yang teratur

e) otak manusia memerlukan sokongan luar untuk mengukuhkan ingatan. Antaranya, pengalaman-pengalaman manis dan peristiwa-peristiwa yang tidak boleh dilupakan

f) ‘masa’ adalah penghakis utama ingatan manusia.

Standard

Berkaitan prinsip-prinsip di atas, setelah melalui ‘ujian cabaran masa’, setiap surah yang dihafaz perlu melalui sekurang-kurangnya tiga tahap ingatan
a) tahap 1 : registration atau hafazan ‘flash’
b) tahap 2 : hafazan sementara
c) tahap 3 : hafazan jangka panjang.

Hafazan Tahap Registration

Ukuran pencapaian pada tahap ini ialah kejayaan menghafaz dengan betul kali pertama bahagian/rubu’ yang dipilih. Kemudian, selepas satu tempoh yang pendek, biasanya dalam sehari dua sahaja, banyak bahagiannya yang hilang. Sebagai peringatan, bahagian-bahagian yang dihafaz pada peringkat ini tidak digalakkan dibaca ketika mengimami solat.

Hafazan Tahap Sementara

Ukuran pencapaian pada tahap ini ialah bahagian yang dihafaz boleh dibaca semula selepas ‘berkerja keras’ untuk mengingatinya semula. Sebagai peringatan, tahap ingatan sementara tidak sama antara individu dengan individu yang lain. Ada yang hanya mampu bertahan hanya sehari dan ada yang mampu bertahan sehingga dua minggu.

Hafazan Tahap Jangka Panjang

Ukuran pencapaian pada tahap ini ialah tiada masalah besar untuk membaca semula bahagian yang telah dihafaz. Peringatan; pertama, proses menyemak atau menghafaz semula perlu dilakukan dengan segera kerana walaupun ada antara kita mempunyai kaedah hafazan yang terbaik, kita perlu menerima hakikat bahawa otak manusia mempunyai ‘had masa’ untuk menyimpan (retention) rekod-rekod. Seperti yang dinyatakan di atas, kadar kekuatan retention tidak sama antara individu dengan individu yang lain.

Kedua, kita harus menerima hakikat bahawa tidak semua manusia mempunyai hafazan yang kekal. Namun begitu, sekiranya kita telah mampu menyediakan jadual semakan semula yang membolehkan kita khatam dalam tempoh kurang daripada 40 hari dan ada bahagian yang ‘tidak terpadam’, bahagian tersebut boleh dianggap sebagai telah bertaraf ingatan jangka panjang.

PELAKSANAAN

Untuk merancang menghafaz sambil menguruskan lupa, langkah-langkah berikut perlu diambil:

a) Membuat Perancangan Jangka Panjang
Langkah pertama ialah menetapkan sasaran tempoh hafazan. Untuk memudahkan proses, tetapkan tempoh antara 5 – 10 tahun

b) Membuat Perancangan Jangka Pendek
Mula-mula bahagikan mashaf kepada saiz yang boleh diurus (manageable size). Contohnya dibahagikan seluruh mashaf kepada enam segmen, yang setiap segmen mengandungi 5 juzuk. Kemudian, sediakan sasaran tempoh penghafazan segmen yang dipilih. Oleh itu jika sasaran jangka panjang dianggarkan 10 tahun, bermakna

• satu bulan perlu menghafaz 2 rubu’ (1 rubu’ bersamaan 1/8 juzuk - lihat nota di bawah di bahagian akhir artikel ini)
• satu juzuk dihafaz dalam tempoh 4 bulan
• satu tahun dihafaz 3 juzuk.

Sebagai peringatan, kiraan ini hanyalah anggaran kasar sahaja. Penganggaran perlu dibuat supaya kita mempunyai idea mengenai perancangan penghafazan serta boleh menjangka beban tugas penghafazan. Tanpa sasaran dan objektif yang boleh diukur, pelan perancangan yang berkesan tidak boleh disediakan. Sama ada sasaran tersebut tercapai atau tidak, itu persoalan lain.

c) Jalankan Proses Penghafazan dan Pengurusan Lupa Secara Sistematik
Mula-mula sediakan senarai bahagian-bahagian yang hendak dihafaz. Setiap bahagian hafazan hendaklah dibahagikan kepada tiga peringkat hafazan (Sila lihat juga nota di bahagian akhir artikel ini). Kemudian, rekodkan dengan teratur proses penghafazan dengan mengambil kira standard kualiti hafazan yang disarankan di atas.


Contoh penggunaan Buku Log Hafazan dan Pengurusan Lupa

Proses penghafazan perlu mempunyai rekod yang teratur. Sistem ini bertujuan untuk mengukur pencapaian hakiki tahap hafazan kita. Mengikut pembahagian ini, setiap juzuk dibahagikan kepada 8 rubu’ (quarter/bahagian). Oleh itu, keseluruhan mashaf dibahagikan kepada 240 rubu’. Hal ini bermaksud jika setiap rubu’ tidak dibahagikan kepada saiz yang lebih kecil, untuk menghafaz keseluruhan al-Quraan, kita perlu menghafaz 240 quarter/bahagian.

Buku tersebut telahpun membahagikan seluruh mashaf menjadi 6 segmen.
Sekiranya buku log tersebut hendak digunakan, eloklah urutan penghafazan ini diikuti.

(1) Hafaz setiap rubu’ dengan sempurna sebelum beralih ke rubu’ yang baru. Sebaik-baiknya buat semakan dengan orang lain sebelum beralih ke rubu’ yang baru (katakan kita memulakan hafazan pada rubu’ no.201 – surah al-Ahqaf);

(2) Sebaik-baik sahaja kita berpuas hati dengan hafazan ‘kali partama’ dan mencapai standard hafazan ‘flash’, buat catatan tarikh dan peristiwa atau pengalaman penting yang kita rasa berkaitan dengan hidup kita pada ruang nota. Jenis atau bentuknya peristiwa tersebut, terpulanglah kepada individu. Ingatan atau kenangan peristiwa/pengalaman penting tersebut akan membantu kita dalam mengingati kembali dalam satu tempoh panjang yang akan datang (Sebagai contoh, sebahagian catatan penulis ada ditujukkan di sini);

(3) Selepas itu, abaikan rubu’ yang baru dihafaz itu (rubu’ 201) sehingga sempurna hafazan bahagian yang di hadapan (rubu’ 202). Di sini, kita telah mula menguruskan lupa dan dalam masa yang sama mula menguji kekuatan hafazan kita untuk berhadapan dengan ‘masa’.

(4) Selepas bahagian baru (rubu’ 202) selesai, cuba ingat kembali hafazan terdahulu (rubu’ 201). Jika telah lupa, ulangi proses hafazan. Pada peringkat ini, jangan menghafaz ‘bersungguh-sungguh’ – cuma baca sekali atau dua kali sahaja sehari bahagian tersebut. Dalam setiap sesi ‘pembaikian’, elakkan daripada memperbaiki banyak ayat, tetapi tumpukan kepada satu atau dua ayat sahaja. Kadang-kadang, dalam setiap rubu’ hanya sebahagian kecil sahaja ayat yang ‘bermasalah’ untuk kita menghafaznya, tetapi kesannya menyeluruh. Kemudian semak kembali keesokan harinya. Teruskan sehingga tiada lagi masalah untuk membaca semula. Selepas itu, cuba buat kiraan kasar dan rekodkan tempoh yang diambil oleh peringkat ini. Kemudian bandingkan dengan tempoh hafazan kali pertama. Perlu juga diambil ingatan bahawa hafazan peringkat ini boleh mencecah tempoh 40-60 hari, iaitu lebih panjang daripada tempoh hafazan pertama. Sedikit-demi sedikit, jurang tempoh akan mengecil. Oleh itu, lakukan pengulangan selepas pengabaian beberapa ketika sehingga tempoh memperbaiki menjadi hanya ‘satu hari’. Jika tahap ini telah tercapai, rekodkan pencapainnya ke tahap ‘hafazan sementara’. Tujuan proses ini ialah untuk memastikan hafazan kita dilakukan betul-betul mengikut tahap keupayaan otak kita. Maksudnya, hafazan yang dibuat di luar keupayaan otak untuk menanggungnya akan terpadam sendiri.

(5) Dalam masa yang sama (iaitu selepas rubu’ 202 selesai dihafaz), teruskan hafazan ke rubu’ berikutnya (rubu’ 203) tanpa menunggu bahagian pertama tadi (rubu’ 201) sempurna diperbaiki. Ringkasnya, pada peringkat ini, kita itu mempunyai dua tugasan setiap hari iaitu (a) menghafaz bahagian baru dan (b) membetulkan yang lama.

(6) Begitulah seterusnya sehinga semua 40 rubu’ pada segmen ini berjaya didaftarkan sebagai hafazan registration/flash. Elok diulangi semula peringatan di atas iaitu kita tidak perlu menunggu semua hafazan dilaksanakan dengan sempurna untuk beralih ke rubu’-rubu’ di hadapan. Di sinilah kita perlu benar-benar menghayati bahawa lupa dalah proses semula jadi yang perlu dibiarkan untuk ‘takes its own course’.

(7) Pada peringkat ini juga, cuba jangan memasuki segmen baru sehingga kesemua 40 rubu’ dalam segmen ini mencapai tahap hafazan sementara. Sekiranya diteruskan juga, dibimbangi memberikan tekanan kepada mental kita kerana terlalu banyak ‘tugasan’ yang perlu dibuat (pengecualian akan dibincangkan dalam topik lain akan datang).

(8) Sekiranya kita pernah menghafaz mana-mana surah atau rubu’ dalam segmen ini, terus catatkan dalam hafazan flash tanpa menghafaznya semula.

(9) Cuba jangan mengisytiharkan mana-mana rubu’ telah mencapai hafazan tahap 3 (ingatan jangka panjang) sehingga kita yakin yang kita boleh membaca semula tanpa perlu membuat semakan. Ini bermakna hafazan tahap 3 mungkin hanya boleh dicapai selepas 2-3 tahun (tetapi mungkin juga mencecah tempoh 10 tahun) selepas pencapaian hafazan tahap 1. Perlu juga diingati, kita tidak perlu ‘terburu-buru’ mengisyiharkan pencapaian tahap 3 kerana selepas beberapa tahun, tanpa kita sedari ingatan kita mampu ‘mencari sendiri’ hafazan-hafazan lama walaupun tanpa membuat semakan. Inilah antara keistimewaan al-Quraan (cuba amati dengan teliti ayat terakhir daripada surah al-Ankabuut). Pengalaman sedemikian ada dinyatakan oleh Saidina Ali sebagai ‘seolah-olah mashaf terbuka dihadapannya’.

(10) Jangan terlalu bimbang sekiranya masalah kelupaan berterusan. Fenomena ini berlaku kerana otak kita mengambil masa yang agak panjang (seperti yang dinyatakan di atas, mungkin mencecah 10 tahun) bagi menyesuaikan dan menyelaraskan semua rekod. Juga perlu diingat, setiap individu mempunyai kekuatan dan kelemahan yang berbeza-beza antara surah dengan surah yang lain. Selain daripada itu, seperti juga yang dibincangkan di bawah topik ‘Surah Generik dan Surah Unik’, tempoh masa penghafazan yang diambil antara satu surah dengan surah yang lain dijangkakan tidak akan sekata. Oleh itu, maha suci Allah yang segala urusan penghafazan berada di tangan-Nya. Maka, ada surah yang memerlukan cuma beberapa hari, malah ada yang beberapa minit sahaja. Ada pula yang memakan masa berbulan-bulan, malah ada yang bertahun-tahun. Oleh yang demikian juga, sekiranya kita telah berusaha tetapi masih juga tidak mencapai matlamat penghafazan dalam tempoh yang disasarkan, jangan dikesalkan sangat. Seperti yang pernah dibincangkan sebelum ini, membaca al-Quraan untuk tujuan menghafaz, dengan cara yang betul dan dengan niat yang ikhlas akan menjadi amal saleh yang diberi pahala di sisi Allah. Perbanyakkan doa agar kiranya gagal pada penilaian dunia semoga Allah mencatatkan sebagai huffaz di sisi-Nya.

(11) Sekiranya keadaan memerlukan, mana-mana rubu’ boleh dipecahkan kepada bahagian-bahagian yang lebih kecil. Keadaan ini boleh berlaku terutamanya pada juzuk-juzuk 28, 29 dan 30

Mar 14, 2009

Tips Hafazan : Hormati Tradisi Para Huffaz

Tip Hafazan # 10

Allah (SWT) yang memiliki sifat maha berkuasa, boleh terus bercakap dengan RasulAllah (S.A.W) jika dikehendaki-Nya, sebagaimana disampaikan perintah-perintah-Nya kepada Nabi Musa (AS). Dia juga boleh memberikan wahyu dalam mimpi seperti yang berlaku pada Nabi Ibraahim (AS).

Allah juga tiada masalah untuk menyampaikan wahyu kepada Nabi Muhammad dengan diangkat baginda ke langit seperti yang berlaku pada baginda (SAW) pada malam ‘Mi’raaj’. Malahan Allah (SWT) boleh menurunkan al-Quraan sekali gus kepada Nabi (SAW), lalu dituliskan al-Quraan itu dalam hati baginda (SAW) sehingga kekal selama-lamanya. Jika Dia berkata ‘jadi!’, maka, jadilah sesuatu itu. Maha berkuasa Allah. Oleh itu apa perlunya perantara seperti Jibril?

Apa peranan Jibril? Jawapannya, ‘banyak’. Allah (SWT) yang memiliki sifat Maha Berkuasa, boleh terus bercakap dengan Rasulullah (S.A.W) jika dikehendaki-Nya, sebagaimana disampaikan perintah-perintah-Nya kepada Nabi Musa (AS). Dia juga boleh memberikan wahyu dalam mimpi seperti yang berlaku pada Nabi Ibraahim (AS). Allah juga tiada masalah untuk menyampaikan wahyu kepada Nabi Muhammad dengan diangkat baginda ke langit seperti yang berlaku pada baginda (SAW) pada malam ‘Mi’raaj’. Malahan Allah (SWT) boleh menurunkan al-Quraan selkali gus kepada Nabi (SAW), lalu dituliskan al-Quraan itu dalam hati baginda (SAW) sehingga kekal selama-lamanya. Jika Dia berkata ‘jadi!’, maka, jadilah sesuatu itu. Maha berkuasa Allah. Oleh itu apa perlunya perantara seperti Jibril?

Dalam seerah dan juga berdasarkan dalil ayat-ayat al-Quraan, umum mengetahui bahawa al-Quraan diturunkan Allah melalui perantaraan Jibril. Tiada bukti yang sahih yang dapat menunjukkan bahawa ada ayat al-Quraan yang diturunkan kepada Nabi Muhammad (SAW) tanpa ditalaqqykan oleh malaikat.

Melalui seerah juga, jelas terbukti bahawa peranan Jibril bukan sekadar menyampaikan wahyu tetapi juga menyemak bacaan Rasulullah (SAW). Amalan menyemak bacaan Rasulullah (SAW) berkekalan sehingga tahun kewafatan baginda. Mafhumnya, dalam konteks penghafazan al-Quraan, Jibril memainkan sekurang-kurangnya:
(a) penyampai;
(b) mentor; dan
(c) rakan.

Sebagai mengambil iktibar daripada hubungan Rasulullah (SAW) tersebut, para ulama’ sejak zaman para sahabat lagi telah membudayakan suatu tradisi penghafazan yang perlu dihormati. Antaranya:

(a) tidak menghafaz ayat-ayat atau surah-surah tanpa disahkan betul oleh seseorang yang lebih baik bacaannya;

(b) setiap hafazan mesti disahkan betul oleh orang yang berkebolehan;

(c) hafazan berjalan bawah penyeliaan orang lain;

(d) tidak menganggap bahagian-bahagian yang telah dihafaz akan kekal selama-lamanya, malahan sentiasa membuat semakan hafazan dari semasa ke semasa;

(e) walaupun telah ‘khatam hafazan’, proses penghafazan masih berterusan dan proses penyemakan bacaan juga berjalan sepanjang hayat.

Mar 12, 2009

Tips Hafazan : Fahami Lay Out al-Quraan

Tips Hafazan # 9

Di dalam surah Aali-‘Imraan Allah menyebutkan ayat-ayat al-Quraan itu terbahagi kepada dua iaitu ayat-ayat muhkamaat (jelas) dan ayat-ayat mutasyabihaat (samar). Terdapat beberapa pandangan mengenai maksud kedua-dua perkataan tersebut. Di tempat lain pula dinyatakan bahawa al-Quraan itu merupakan ayat-ayat yang berulang-ulang. Kesemua sifat tersebut perlu dimanfaatkan dalam proses penghafazan. Jika dimanfaatkan, akan mempercepatkan proses penghafazan. Jika tidak, akan berlaku kekeliruan ketika membaca surah-surah tertentu.

Ada orang berkata “saya senang saja menghafal surah itu dan ini”. Ada pula yang berkata “dulu saya dah ingat surah ini. Tapi, bila dah hafal surah itu, surah ini pulak lupa. Bagaimana mengatasinya?”.

Yang lainnya pula bertanya “Surah mana yang terbaik untuk memulakan hafazan?”. Ada sifulan berkata “Saya tidak pulak menghadapi masalah yang besar untuk menghafaz dalam tempoh dua tahun… ”. Fenomena dan persoalan-persoalan di atas tidak mudah dijawab. Namun begitu, jika kita memahami bagaimana lay-out al-Quraan mungkin sebahagian persoalan-persoalan tersebut boleh dijelaskan.

Lay-out al-Quraan perlu dilihat daripada beberapa dimensi. Satu daripadanya, ia itu mengenai ikatan antara satu surah dengan surah yang lain, dibincangkan di sini. Yang lain-lainnya akan dikupas dalam siri-siri yang akan datang. Tanpa memahami ikatan antara surah-surah atau hubungan antara ayat dengan ayat, seseorang akan menghadapi masalah terutamanya dalam tiga keadaan:

(a) ketika memilih surah mana untuk dihafaz;
(b) mengingat semula hafazan yang telah dibuat; dan
(c) berlaku kekeliruan ketika membaca semula hafazan yang dibuat.

Di dalam surah Aali-‘Imraan Allah menyebutkan ayat-ayat al-Quraan itu terbahagi kepada dua iaitu ayat-ayat muhkamaat (jelas) dan ayat-ayat mutasyabihaat (samar). Terdapat beberapa pandangan mengenai maksud kedua-dua perkataan tersebut. Di tempat lain pula dinyatakan bahawa al-Quraan itu merupakan ayat-ayat yang berulang-ulang. Kesemua sifat tersebut perlu dimanfaatkan dalam proses penghafazan. Jika dimanfaatkan, akan mempercepatkan proses penghafazan. Jika tidak, akan berlaku kekeliruan ketika membaca surah-surah tertentu.

Untuk memudahkan pengaplikasian dan meringkaskan perbincangan, ayat-ayat dan surah-surah boleh dibahagikan kepada:

(A) ayat-ayat dan surah-surah generic. Dalam kategori ini ayat-ayatnya mempunyai vocabulari, kandungan dan susunan yang hampir antara satu dengan yang lain;

(B) ayat-ayat dan surah-surah unik. Dalam kategori ini ayat-ayat atau surah-surahnya tidak ada persamaan di tempat-tempat lain. Mengenai surah-surah yang generic ramai penghafaz melalui empat peringkat penghafazan iaitu:

(a) bermula dengan hanya sedikit kesukaran kerana vocabulari dan kandungannya biasa didengar;

(b) rasa ‘macam senang’ bila menemui surah lain yang seumpamanya;

(c) kemudin, mula menghadapi kekeliruan dan bercampur-aduk (mix-up) ketika membaca beberapa surah tertentu; dan

(d) terpaksa menghafaz semula setiap surah berkenaan bagi menyelesaikan kekeliruan.

Namun surah-surah generic, jika kita dapat mengenalinya dan berhati-hati sejak dari awal lagi, penghafazan mempunyai kelebihan. Iaitu, dalam tempoh yang pendek kita dapat menghafaz banyak surah.

Langkah pertama untuk mengurangkan kekeliruan ialah menjadikan yang terawal dari kalangannya sebagai ‘base’ dan perlu dihafaz sekuat-kuatnya dengan tanpa ragu pada mana-mana bahagiannya. Jika berlaku kekeliruan di masa akan datang, pastikan hafazan surah yang menjadi ‘base’ tersebut sentiasa tidak terganggu. Dalam tempoh yang tidak panjang, surah yang menjadi ‘base’ akan dapat membantu meyelesaikan kekeliruan pada surah-surah berikutnya yang di dalam keluarga yang sama.

Mengenai surah-surah unik, sejak dari awal hingga akhir prosesnya hanya satu, susah sepanjang jalan sebab sesetengah vocabulari atau kandungannya tidak biasa digunakan atau tidak pernah didengar, termasuk oleh orang Arab sendiri. Contohnya surah as-Syura, Yoosuf, az-Zukhruf dan al-Kahf. Mungkin juga ramai yang menyedari bahawa kebanyakan surah-surah pendek di dalam juzuk 29 dan 30 adalah tiada pengulangan di tempat-tempat lain. Sesetengahnya dari sudut kandungan, yang lainnya dari segi vocabularinya. Sebahagian daripada surah Yaasin adalah juga dari kumpulan ini.

Oleh itu, sebelum memilih atau mula menghafaz mana-mana surah, klasifikasi ini perlu diambil perhatian. Jika tidak selama-lamanya akan berlaku kecelaruan. Di bawah ini dipaparkan sebahagian senarai sifat beberapa surah sebagai panduan.

1. Contoh surah yang mengandungi amat banyak ayat-ayat generic:
(a) surah an-Nisaa’ (sebab itu ramai yang ‘terkandas’ di sini)
(b) surah ar-Rahmaan;
(c) surah al-Mursalaat;

2. Contoh surah-surah generic yang boleh, samada membantu atau mengelirukan antara satu dengan yang lain, adalah seperti di bawah (senarai ini hanya mengandungi surah-surah yang banyak mengenai kisah-kisah nabi. Senarai daripada ketegori lain - seperti surah-surah hukum, mengenai Bani Israel, Adam & Iblis, Isa & Maryam dan tentang hari Kiamat akan disediakan kemudian):

Kumpulan 1 :
(a) al-A’raaf;
(b) Yunus;
(c) al-Hijr;
(d) al-Ankabuut;
(e) as-Syu’araa’

Surah-surah ini mengandungi kisah-kisah beberapa orang terutamanya Nuh, Hud, Saleh, Lut Syuaib dan Musa. Pengkesahan dimulakan dalam surah al-A’raaf. Kemudian, kisahnya diulangi dalam surah-surah lain sekeluarganya dalam susunan dan vocabulari yang hampir menyerupai antara satu sama yang lain.

Kumpulan 2 :
(a) al-Baqarah;
(b) al-A’raaf;
(c) Ibraaheem;
(d) Taaha;
(e) al-Anbiyaa’
(f) as-Syu’araa’
(g) an-Naml;
(h) al-Qasas;
(i) Ghaafir

Surah-surah ini mengandungi kisah mengenai Nabi Musa, Fir’aun dan Bani Israel secara detail. Walaupun temanya sama, dalam banyak keadaan, vocabularinya bertukar-tukar. Risiko kekeliruan amat tinggi pada surah-surah ini - bukan sahaja kepada pelajar-pelajar, juga biasa berlaku ke atas imam-imam berpengalaman.

Kumpulan 3:
(a) al-Anbiyaa’
(b) as-Saffaat;
(c) Saad;
(d) Maryam

Surah-surah ini mengandugi kisah berbagai nabi yang tidak disentuh secara detail di dalam al-Quraan, contohnya Ilyaas, Ilyasaa’, Yahya dan Dzulkifli. Sekiranya surah-surah dari Kumpulan 1 di atas boleh dikuasai dengan baik, kekeliruan dalam Kumpulan 3 ini boleh dikurangkan.

**Kenali Surah Generic dan Surah Unik

Mar 10, 2009

Tips Hafazan : Disiplin dan ‘Peace-in-mind’

Tips Hafazan # 8

Kita biasa mendengar berita ada penghafaz al-Quraan yang cemerlang dalam berbagai-bagai bidang. Sekadar contoh, pada tahun lalu seorang pelajar Libya yang menghafaz al-Quraan dalam tiga qiraat berjaya mendapat ijazah kelas pertama dalam off-shore engineering di UK. Sebelum itu pada tahun 2004, seorang pelajar hafiz dari aliran sastera yang diterima belajar di salah sebuah kolej swasta terkemuka di Petaling Jaya mendapat semua A dalam A-level jurusan sains. Beliau sekarang sedang meneruskan pelajaran dalam bidang perubatan. Banyak lagi contoh lain yang tidak diuar-uarkan.Tentunya kita tertanya-tanya, bagaimanakah mereka melakukannya?

Antara jawapannya ialah disiplin dan ‘peace-in-mind’. Perbincangan dalam tips #2 disebutkan bahawa penghafazan memadai jika diamalkan dalam tempoh sependek kira-kira 20 minit sehari. Namun begitu, bagaimana kita boleh memperuntukkan 20 minit sehari jika fikiran kita diserabutkan dengan berbagai-bagai urusan harian yang tak berkesudahan, mengejar date-line atau kekurangan masa untuk mengulang kaji pelajaran?. Namun, bagaimana pula orang yang menghafaz tiga qiraat boleh memperuntukkan masa untuk belajar malah mendapat ijazah kelas pertama dalam bidang kejuruteraan?.

Bagi membolehkan kita duduk 20 minit dalam ‘peace-in-mind’, fully concentrated dan undisturbed, kita perlu memastikan segala urusan harian dalam keadaan ‘under control’. Selain daripada keperluan memperuntukkan masa untuk menghafaz, bagi membolehkan hafazan kita berkekalan, ada beberapa rutin yang yang perlu diamalkan (akan dibincangkan kemudian).

Amalan-amalan tersebut, walaupun hanya sedikit tetapi perlu diamalkan secara konsisten. Untuk memperoleh ‘peace-in-mind’, eloklah kita menguruskan rutin harian dan kerjaya kita secara teratur mengikut jadual yang telah ditetapkan, dilakukan sesempurnanya dan pada kualiti yang cemerlang.

Untuk itu juga, cuba fahami dengan secara kritikal dan mendalam mesej yang disampaikan oleh ayat-ayat 34-36 surah al-Israa’ terutamanya dari dimensi pengurusan diri, perniagaan dan profesional. Pendek kata, orang yang berjaya menghafaz al-Quraan adalah yang amat tinggi disiplinnya dalam semua aspek kehidupan. Kata setengah orang, “charity begins at home…”

Mar 8, 2009

Tips Hafazan : Mind the Minutes

Tip Hafazan # 7

Dalam banyak kes, masalah mengingat ayat-ayat al-Quraan berpunca daripada masalah-masalah kecil.

Apabila kita memegang mashaf atau membaca al-Quraan, mungkin kerana setiap hari dan terbiasa melihat mashaf, kadang-kadang terlupa juga yang kita sedang berhadapan dengan Kalam Allah. Lantaran, terlupa kita menghormati Kalam yang Agong itu yang tiada lagi yang lebih mulia daripadanya di atas muka bumi ini. Terlupa juga kita menghayati adab-adab ketika ‘mengungkap’ Kalam Allah yang mulia itu.

Yang dimaksudkan adab-adab di sini bukannya mesti mengucup mashaf, duduk menghadap kiblat, kena pakai kepiah atau sebagainya yang asas amalan-amalan tersebut boleh dipersoalkan kesahihannya. Bukan juga bermaksud untuk membincangkan mesti mengambil wudhu’ atau tidak sebelum menyentuh mashaf – isu ini sudah sahih kedudukannya. Apa yang ditekankan di sini ialah adab membaca dengan cara tarteel. Kebanyakan ulama’ bersetuju tarteel bermaksud bacaan dengan betul tajweed, makhraj, waqf, madd, qiraat yang standard, lagu yang standard (tanya mereka yang mahir dalam bidang tarannum) dan kelajuannya. Dengan lebih tepatnya, bacaan tarteel bermaksud membaca al-Quraan sebagaimana ia ditalaqqykan oleh Jibreel A.S. kepada Rasul Allah S.A.W.

Isu tarteel ini merupakan lanjutan kepada perbincangan dalam tips #4 dahulu. Dengan lain perkataan, keperluan membaca secara tarteel merupakan perintah terawal diterima oleh Rasul Allah S.A.W. Oleh itu juga merupakan persediaan awal kepada penghafaz al-Quraan. Maksudnya, apapun petua yang diajar orang tentang mengenai kaedah mudah mengingat atau tidak mudah lupa, petua nombor 1 yang ajarkan oleh Allah kepada Rasul S.A.W. ialah bacalah al-Quraan dengan betul begaimana ia ditalaqqykan kepada Rasul S.A.W (al-Qiaamah, 18).

Dalam soal ini satu perkara yang amat penting diingat ialah isu keutamaan (priority). Membaca atau menghafaz?. Mungkin kita mencuba bersungguh-sungguh untuk menghafaz al-Quraan atau mana-mana surah yang kita pilih sehingga kita terlupa menghormati peraturanmembaca secara tarteel. Walaupun begitu perlu sentiasa diingat bahawa yang lebih penting lagi amalan membaca al-Quraan itu sendiri. Membaca al-Quraan adalah satu ibadah khusus. Semua kita tahu bahawa pahala membaca al-Quraan adalah dikira daripada huruf-hurufnya yang dibaca dengan betul.

Sekurang-kurangnya, kuasailah kaedah tajweed asas iaitu (a) makhraj yang betul dan (b) hukum yang lima. Perlu juga diingatkan kembali persoalan yang dibangkitkan dalam tips #1 iaitu hanya Allah yang menuliskan al-Quraan dalam hati kita. Jika kita berjaya menghafaz, itu bukan kerana keupayaan otak kita. Sebenarnya otak manusia, secara fizikalnya, sama seperti gunung-ganang (al-Hasyr,21), lemah dan tidak mampu menanggung al-Quraan. Al-Quraan itu Kalam Allah yang thaqeela atau amat berat (al-Muzzammil, 4).

Oleh itu, mulakan penghafazan dengan pembacaan yang betul begaimana ia ditalaqqykan kepada Rasul S.A.W. Jangan speeding, jangan tergopoh gapah, Allah tidak suka (al-Qiaamah, 16). Tak mengapa lambat sedikit (lihat tips sebelum ini). Ingat, para Sahabat dan para huffaz tidak menghafaz di atas lidah, hafazan mereka ‘meresap’ ke dalam darah daging, ingatan dan perasaan. Dengan mematuhi perintah membaca dengan betul, satu hari nanti insya Allah, dengan kasihan dan belasNya akan dikurniakan kedua-duanya. Pahala membacanya dan dituliskan ke dalam hati untuk selama-lamanya – iaitu untuk ditalaqqy pula kepadaNya di akhirat kelak.

Mar 6, 2009

Tips Hafazan : Antara Masa dan Usia

Tips Hafazan # 6

Ini pula untuk menjelaskan kekeliruan antara mitos dan realiti yang selalu menjadi pertanyaan, terutamanya orang-orang dewasa yang ingin memulakan hafazan pada usia yang lewat. Ada pendapat yang mengatakan sebaik-sebaiknya penghafazan dimulakan pada umur yang muda, sebagaimana yang diamalkan di kalangan masyarakat Arab. Ada pula yang berpendapat menamatkan hafazan dalam tempoh yang singkat, contohnya antara 2 ke 3 tahun, adalah yang terbaik.

Pendapat-pendapat ini kuat mempengaruhi umat Islam di mana-mana sahaja. Kesannya, memudarkan harapan sesetengah yang tidak berkesempatan menghadiri sekolah tahfiz pada usia yang muda. Pendapat-pendapat ini juga menggambarkan ada dua faktor yang perlu difikirkan oleh kita semua, iaitu (a) masa dan (b) usia.

Untuk melihat sejauh mana tanggapan-tanggapan di atas benar-benar berasas, cuba lihat sejarah penurunan al-Quraan serta proses penghafazan yang dilalui oleh Rasul S.A.W. dan para Sahabat. R.A. Mari kita renungkan fakta-fakta di bawah ini, yang kebanyakan kita telah sedia mengetahuinya, iaitu:

(a) walaupun boleh menurunkan al-Quraan sekaligus kepada RasulAllah S.A.W (an-Nisaa’:136) dan menuliskan dalam hati dan ingatannya berkekelan dan tidak akan lupa sampai bila-bila (al-A’laa:6), Allah menurunkannya sedikit demi sedikit kerana sebab-sebab tertentu, termasuklah untuk memudahkan RasulAllah (sebagai sifatnya manusia biasa [al-Kahf:110]) mengingat kembali ayat-ayat yang telah diturunkan (al-Furqaan:32). Proses ini memakan masa hampir 23 tahun;

(b) di kalangan para sahabat RasulAllah yang ternama hanya beberapa sahaja yang berpeluang memulakan hafazan pada umur muda, antara mereka ialah Sayyidina Ali K.W., Hasan, Hussain serta Ibnu ‘Abbas dan tiga Abdullah yang lain R.A. Yang lainnya, termasuk tiga Khulafa’ al-Rasyidin yang pertama memulakannya pada usia ‘terlalu dewasa’ dan dengan mengambil tempoh yang panjang;

(c) di kalangan para sahabat besar dan ternama, juga terdapat yang bermasalah ketika menghafaz. Mungkin ada yang pernah mendengar cerita Sayyidina Umar yang mengambil masa 10 tahun menghafaz surah al-Baqarah. Sebagai tanda kesyukuran beliau telah menyembelih unta;

(d) di dalam riwayat al-Tirmidzi dan al-Haakem ada peristiwa bahawa Sayyidina Ali K.W. dan Ibnu ‘Abbas R.A. yang pergi bersama-sama berjumpa RasulAllah S.A.W. untuk mengadu yang sejumlah besar hafazan mereka ‘hilang’. Kisah Imam al-Syafiee yang lupa sebahagian hafazannya, walaupun telah tamat pada usia tujuh tahun, juga diketahui ramai.

Fakta-fakta daripada sejarah seperti di atas mengisyaratkan bahawa tiada had usia untuk memulakan proses tahfiz. Sebagaimana juga yang dilalui oleh RasulAllah S.A.W dan para sahabat R.A., tiada siginifikannya untuk menamatkan proses tahfiz dalam tempoh yang pendek. Bahkan, kisah Ibnu ‘Abbas R.A., Sayyidina Ali K.W. dan Imam al-Syafiee di atas mengisyaratkan bahawa tiada advantage yang ketara antara yang memulakannya di usia muda.

Semua kita tahu bahawa Sayyidina Ali K.W. dan Ibnu ‘Abbas R.A. yang merupakan antara mereka yang paling ‘pakar’ dalam hal-ehwal al-Quraan. Semua orang juga tahu Imam al-Syafiee adalah seorang yang genius – dikatakan bahawa beliau boleh berbual dan berfikir serentak dalam topik-topik yang berlainan. Mereka juga menghadapi masalah. Kenapa demikian?. Akan dibincang di bawah tajuk ‘Lupa’ kelak.

Tidak boleh dinafikan sama sekali memulakan hafazan pada umur yang muda dan menamatkannya dalam tempoh yang singkat amat baik sekali. Sekiranya kita percaya peristiwa-peristiwa dalam seerah Rasul S.A.W. ‘bukanlah sesuatu yang kebetulan’ kita akan mengambilnya sebagai manhaj (cara) untuk menghafaz al-Quraan. Daripada itu juga, bolehlah disimpulkan bahawa ‘tempoh’ adalah lebih penting daripada ‘usia’. Bukan sebaliknya, sebagaimana yang menjadi mitos yang memberikan kesan negatif kepada kebanyakan umat Islam.

Teringat saya pada suatu peristiwa dalam bulan Ramadhan yang lalu seorang kiyai dari Sumatera bertanya saya tentang cara menghafaz untuk diajarkan kepada anaknya, seorang guru al-Quraan. Dia berkata dia sudah berusia lebih 60 tahun – dah tak ada harapan lagi. Selepas dijelaskan kisah dalam seerah seperti di atas, saya bertanya kepadanya “Pak Kiyai yakin tak yang Pak Kiyai boleh hidup 20 tahun lagi?”. Jawab beliau, “Insya Allah”. Esoknya Pak Kiyai tersebut datang semula dan berkata, “saya dan anak saya dah mulakan hafazan hari ini … “

Mar 4, 2009

Tips Hafazan : Kenali Mashaf Anda

Tips Hafazan # 5

Mungkin soal ini bukanlah sesuatu yang penting. Walau bagaimana pun ramai penghafaz al-Quraan bersetuju bahawa mashaf yang dibaca sewaktu menghafaz mempunyai impak terutamanya ketika mengingat kembali surah-surah dihafaz.

Terdapat berbagai jenis mashaf al-Quraan yang dibaca di seluruh dunia. Namun begitu setiap satunya tidak mempunyai identiti pengenalan yang rasmi. Antaranya dikenali sebagai ‘Mashaf Madinah’, iaitu seperti yang biasa dihadiahkan oleh Raja Saudi kepada setiap orang mengerjakan haji.

Edisi lain yang seumpamanya seperti yang biasanya ditulis dengan ‘Al-Quraan Al-Karim’ di kulit luarnya atau yang biasanya dicetak di Damshek dan Lubnan. Ada yang juga dikenali sebagai ‘Mashaf Gujerati’. Jenis ini biasanya ditulis dengan ‘Al-Quraan Al-Majid’ dikulit hadapannya dan banyak dicetak di India dan Pakistan.

Ada yang dikenali sebagai Mashaf Saudi iaitu yang satu masa dulu diedarkan melalui Rabitah Al-Alami Islami. Tidak ketinggalan juga Mashaf Malaysia. Ini hanya contoh sahaja, banyak lagi edisi lain di pasaran. Perlu juga diingat, ada sesetengah mashaf hanya sesuai untuk qiraat tertentu, contohnya satu jenis yang dicetak di Libya khusus untuk qiraat Quloon.

Semua mashaf ini adalah betul belaka dan disahkan ketepatannya oleh para hufaz, qaari’ dan muqri’. Apa yang penting diketahui ialah setiap jenis mashaf mempunyai stail cetakan yang berbeza. Antara perbezaan-perbezaan yang penting ialah pada:
(a) simbol-simbol bacaan;
(b) tempat berhenti (waqaf dan sebagainya);
(c) permulaan juzuk-juzuk
(d) pembahagian juzuk-juzuk; dan
(e) jenis khat.

Kesemua ini, walau pun tidak merupakan perkara yang penting, mempunyai kesan yang besar dalam penghafalan. Oleh itu, adalah amat baik kiranya jika satu-satu jenis telah dipilih atau dibiasakan, gunakan mashaf jenis tersebut sahaja sehingga proses penghafalan sempurna.

Kekerapan bertukar mashaf boleh menyebabkan kekeliruan ketika mengingat kembali ayat-ayat yang telah dihafaz. Dan, sebaik-baiknya di sepanjang penghafalan gunakan satu mashaf sahaja yang tidak dikongsi dengan sesiapa dan di dalamnya boleh dibuat catatan yang sepatutnya mengenai proses dan sejarah penghafalan yang dilalui.

Mar 2, 2009

Tips Hafazan : Pengajaran Surah al-Muzzammil

Tips Hafazan 4

Walau apa pun pertikaian ulama’ mengenai susunan turunnya surah-surah dalam al-Quraan, terutamanya mengenai kedudukan surah Al-Muzzammil, tidak dapat dinafikan bahawa surah ini adalah antara yang terawal.

Perkara yang hendak ditekankan di sini ialah ayat no.5. Ayat ini, yang bermaksud lebih kurang “Kami akan membacakan kepada engkau perkataan yang berat”. Ayat ini mengisyaratkan amalan-amalan yang perlu dibuat oleh Rasul SAW bagi mempersiapkan diri untuk dibacakan oleh Allah al-Quraan di dalam hatinya.

Seperkara lagi yang menarik dalam ayat ini ialah perkataan “sa nulqiy” yang membawa makna bahawa sebaik sahaja diamalkan surah ini Allah akan terus membacakan kapada Rasul SAW ayat-ayat yang berat itu.

Ringkasnya, surah ini mengajar sesiapa yang ingin menghafaz al-Quraan dengan membuat persiapan diri, sekurang-kurangnya mengamalkan:
(a) sembahyang malam, walaupun hanya sejenak;
(b) memperbanyakkan istighfar selepas sembahyang malam;
(c) membaca al-Quraan semasa atau selepas sembahyang malam; dan
(d) bersadaqah.

Seperti yang telah dibincangkan sebelum ini bahawa proses menghafaz al-Quraan lebih merupakan kebergantungan kepada rahmat Allah. Ini bermakna kekuatan ingatan berserta amalan membaca secara berulang-ulang samada bersistematik atau tidak, tidaklah memadai. Sebab itulah surah al-Muzzammil ini diturunkan antara yang terawal.

**Ayuh, mulakannya di Ramadhan ini.