Tip Hafazan # 18
At-Tirmizi dan Al-Hakeem meriwayatkan bahawa Ibnu Abbas (R.A.) menceritakan, pada suatu hari ketika itu beliau berada bersama-sama RasulAllah (SAW), kemudian datang Sayidina Ali bin Abi Talib (K.W) dan mengadu, “Ya RasulAllah (SAW) engkau adalah aku cintai lebih daripada ibu dan bapaku sendiri. Ya RasulAllah (SAW), aku telah cuba menghafaz Al-Quran, tetapi setiap kali aku melakukannya hafazanku hilang dari ingatan”. RasulAllah (SAW) bersabda, maksudnya, “bolehkah aku ajarkan satu cara yang berkesan untukmu dan setiap orang yang engkau sampaikan kepadanya?. Dengan cara itu kamu boleh (insya Allah) mengingati apa saja yang engkau pelajari”.
Kemudian Rasullah mengajarkan kepada Ali (KW), apabila malam Jumaat mendatang, bangunlah pada sepertiga akhirnya, itulah yang sebaik-baiknya. Itulah juga sebaik-baik bahagian daripada waktu malam, pada ketika itu jugalah malaikat turun dari langit dan pada ketika itu jugalah doa dimakbulkan. Pada ketika itu jugalah Nabi Allah Ya’qub bangun berdoa semoga Allah mengapunkan dosa anak-anaknya. Jika kamu tidak boleh bangun pada waktu itu, bagunlah di tengah-tengah malam. Jika tidak boleh juga, boleh juga dilakukan pada bahagian awal daripada malam.
Dirikan solat sunat empat raka’at (dengan dua salam)
raka’at pertama - Al-Fatihah - Yaasin
raka’at kedua - Al-Fatihah - Ad-Dukhan
raka’at ketiga - Al-Fatihah - As-Sajadah
raka’at keempat - Al-Fatihah - Al-Mulk
Setelah selesai membaca At-tahhiyat (iaitu sebelum salam pada rakaat keempat), persembahkanlah puji-pujian kepada Allah, kemudian berilah selawat dan salam ke atasku. Selepas itu, pohonlah keampunan (istighfar) untuk mu’minin dan mu’minat, serta untuk arwah muslimin dan muslimat. Kemudian, bacalah doa berikut:
Maksud doa (lebih-kurang):
Ya Allah, kasihilah daku dengan dikurniakan dengan dapat meninggalkan maksiat buat selama-lamanya, kasihilah daku dengan tidak dibebani dengan sesuatu yang tidak termampu aku melaksanakannya dan kurniakanlah aku dengan rupa yang elok seperti yang Engkau meredhainya.Ya Allah yang mencipta langit dan bumi dan yang mempunyai segala kebesaran dan kemuliaan, aku memohon daripadaMu ya Allah yang Maha Penyayang, dengan kemuliaan dan Nur WajahMu, supaya diperkasakan hatiku untuk mengingati KitabMu. Dan, sebagaimana Engkau mengajarkanku al-Kitab itu, kurniakanlah juga aku (kekuatan dan hidayah) supaya dapat membacanya sebagaimana yang Engkau menyukainya.
Ya Allah yang mencipta langit dan bumi serta yang mempunyai segala kebesaran dan kemuliaan, aku memohon daripadaMu ya Allah yang Maha Penyayang, dengan kemuliaan dan Nur WajahMu, supaya disinari wajahku dengan Nur KitabMu, sentiasa dibasahi lidahku dengan membaca KitabMu, dibukakan hatiku, dilapangi dadaku dan dimandikan (disucikan) diriku dengan KitabMu. Sesungguhnya, tiadalah keupayaan aku melakukan yang haq melainkan dengan kekuatan dariMu jua dan tiadalah sebarang kekuatan pada apa-apapun melainkan dengan izin Allah yang Maha Tinggi dan Maha Agong jua.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment