Jun 23, 2008

Siapa untung, siapa rugi

Soalan : Siapakah orang yang sibuk?
Jawapan : Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman a.s.

Soalan : Siapakah orang yang manis senyumannya?
Jawapan : Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang ditimpa musibah lalu dia kata "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun." Lalu sambil berkata, "Ya Rabbi Aku reda dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir senyuman.

Soalan : Siapakah orang yang kaya?
Jawapan : Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak lupa akan kenikmatan dunia yang sementara ini.

Soalan : Siapakah orang yang miskin?
Jawapan : Orang yang miskin adalah orang tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasa menumpuk-numpukkan harta.

Soalan : Siapakah orang yang rugi?
Jawapan : Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikan.

Soalan : Siapakah orang yang paling cantik?
Jawapan : Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yang baik.

Soalan : Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas?
Jawapan : Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa amal-amal kebaikan di mana kuburnya akan di perluaskan saujana mata memandang.

Soalan : Siapakah orang yang mempunyai rumah yang sempit lagi dihimpit?
Jawapan : Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah orang yang mati tidak membawa amal-amal kebaikkan lalu kuburnya menghimpitnya.

Soalan : Siapakah orang yang mempunyai akal?
Jawapan : Orang yang mempunyai akal adalah orang-orang yang menghuni syurga kelak kerana telah mengunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindari seksa neraka.

Jun 21, 2008

Yang Cantik dan Yang Gagah

Kecantikan Lelaki

Kecantikan seorang lelaki bukan kepada rupa fizikal tetapi pada murni rohani. Lelaki yang cantik adalah:-
1) Lelaki yang mampu mengalirkan airmata untuk ingatan
2) Lelaki yang sedia menerima segala teguran
3) Lelaki yang memberi madu, setelah menerima racun
4) Lelaki yang tenang dan lapang dada
5) Lelaki yang baik sangka
6) Lelaki yang tak pernah putus asa
Kecantikan lelaki berdiri di atas kemuliaan hati. Seluruh kecantikan yang ada pada Nabi Muhammad adalah kecantikan yang sempurna seorang lelaki.

Kegagahan Wanita

Kegagahan seorang wanita bukan kepada pejal otot badan, tetapi pada kekuatan perasaan.
Perempuan yang gagah adalah:-
1) Perempuan yang tahan menerima sebuah kehilangan
2) Perempuan yang tidak takut pada kemiskinan
3) Perempuan yang tabah menanggung kerinduan setelah ditinggalkan
4) Perempuan yang tidak meminta-minta agar dipenuhi segala keinginan.
Kegagahan perempuan berdiri di atas teguh iman. Seluruh kegagahan yang ada pada Khadijah adalah kegagahan sempurna bagi seorang perempuan.

Nota: "Ya Allah, berikan aku kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi setiap dugaan yang Kau turunkan...."

Jun 19, 2008

Hadis Penawar Bagi Hati

Bicara Ad-Din, 14/6/08, MSSAAS
Penceramah : Ustaz Yusaini Yahya

Tak mudah untuk mengubah cara hidup terutama kalau sudah biasa bermewah-mewah. Mampu dapat apa yang dimahukan walaupun sebenarnya tidak diperlukan. Semua ini berpunca dari kenginan hati yang didalangi oleh nafsu.

Hati yang tidak pernah merasa puas dengan nikmat dunia ialah satu dari jenis hati yang berpenyakit. Rasulullah SAW pernah bersabda; "Ada dua pemburu yang tidak akan kenyang iaitu pemburu harta dan pemburu ilmu."

Sabdanya lagi, "Kebinasaan umatku terletak pada dua hal; meninggalkan ilmu dan mengumpulkan harta." Ilmu yang dimaksudkan ialah ilmu dari Al Quran dan Hadis yang akan menyelamatkan manusia dari kesengsaraan dunia dan akhirat. Ilmu yang akan menjaga dan membimbing penganutnya untuk membuat keputusan dalam setiap pilihan yang dibuat.

Rasulullah SAW pernah bersabda; "Cinta dunia sumber segala kesalahan." Hati yang terlalu terpaut kepada keduniaan akan menyeret kearah 3 kesengsaraan;
1. kesusahan dan sengsara yg tidak habis-habis. Contohnya fitnah yang dilemparkan secara berterusan.
2. kerakusan yang tidak pernah puas. Keghairahan mencari harta benda untuk kesenangan dunia.
3. angan-angan yang tidak ada hujungnya. Selepas habis satu angan-angan, pasti akan muncul angan-angan yang lain.

Kerana itu Rasulullah SAW bersabda; "Ambillah dunia sekadarnya saja. Jangan engkau menyertainya, dan beramallah. Sesungguhnya punca segala kesalahan adalah cinta dunia dan kesenangan yang sedikit dapat menyeret seseorang dalam derita yang panjang."

Nota: Ceramah selama sejam ini amat menarik. Kupasan ayat-ayat Quran dan juga hadis nabi yang diselangi dengan cerita zaman nabi-nabi terdahulu dan juga cerita tentang umat zaman ini yang semakin jauh dari landasan yang Allah tetapkan. Masa semakin suntuk tapi kita tidak sedar kerana terlalu asyik dengan urusan dunia.

Seringkali kita dengar rungutan tentang kesibukan yang tak pernah surut, yang membataskan masa untuk keluarga dan diri sendiri. Kalaupun ada masa yang tersisa, kita lebih suka menghabiskan untuk berhibur, berehat, bercuti memanjakan diri, bersantai dan bermacam-macam lagi.

Tapi kita lupa untuk mengingati Allah, beristigfar padaNya, bertaubat, memohon ampun dariNya, meneliti kebesaranNya, bersyukur atas pemberianNya, beribadat untukNya, bercinta hanya denganNya. Terlalu lalai kita ini, sedangkan masa untuk dijemput semakin dekat....

Ada yang merancang mengumpul harta sehingga kalau boleh mahu cukupkan untuk 7 keturunan. Lupakah kita bahawa harta dunia tak boleh di bawa bersama saat kita mengadapNya?

Sukarnya kehidupan kita bukan kerana salah siapa, tapi salah diri sendiri yang terlalu banyak berdosa, yang gagal menjalankan amanahNya, yang lupa bahawa kita adalah hamba yang perlu bergantung hanya padaNya, yang buta dengan pengajaran di sebalik setiap peristiwa dan kejadianNya, yang pekak kerana tidak mahu mendengar kata-kata nasihat dariNya....

"Ya Allah Ya Tuhanku.. Aku lemah Ya Allah... kasihanilah daku, bimbinglah daku, bantulah daku.... tetapkan aku hanya pada jalanMu..."

Jun 15, 2008

Kecantikan... dimana letaknya?

Rasulullah pernah ditanya, "Dimanakah letaknya kecantikan itu?"
Baginda menjawab, "Dalam perkataan yang lembut, menampakkan keceriaan dan senyum. Siapa berjumpa orang dengan wajah berseri dan melayaninya pula dengan akhlak yang mulia, tentu orang sekitarnya akan segan dan teman-teman memuji."

Rasulullah sendiri selalu berdoa, "Ya Allah, sebagaimana Engkau telah mengelokkan rupaku, maka elokkanlah akhlakku." (Ini adalah doa yang perlu diamalkan dan dibaca ketika melihat wajah di cermin.)

Baginda juga bersabda; "Akhlak buruk akan merosakkan amal sebagaimana cuka merosakkan madu."

Dipermulaan solat, Rasulullah SAW berdoa; "Ya Allah, tunjukkan aku kepada akhlak yang mulia. Tiada yang menunjukkan jalan kepada akhlak yang mulia itu melainkan Engkau. Dan jauhkanlah aku dari akhlak yang buruk. Tidak ada yang boleh menjauhkan aku dari akhlak yang buruk melainkan Engkau juga."

Nota : Rasulullah yang memang berakhlak mulia dan dijamin syurga oleh Allah masih sentiasa berdoa agar Allah membantunya menjauhkan akhlak yang buruk, kenapa kita sebagai umatnya yang memang banyak kelemahan tidak mengikuti contoh yang baginda tunjukkan?

Sya teringat nasihat Ustazah Hindon iaitu Pengerusi Unit Mubalighat di MSSAAS, "Doa yang paling penting disebut dalam setiap doa kita ialah agar ditetapkan iman. Dengan keimanan, hati kita akan terjaga. Hati yang terjaga akan melahirkan kelakuan dan kata-kata yang terjaga. Bila kelakuan dan mulut kita terjaga, insyaAllah banyak keburukan yang boleh dihindarkan...."

Semoga kita tidak lupa untuk memohon dan meminta kepada Allah agar dianugerahi dengan kecantikan iman.

Jun 12, 2008

Munafik

Rasulullah S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud;

"Ada empat perkara sesiapa melakukannya, bererti dia munafik tulen, tapi orang lain mengira dia mukmin, iaitu ketika berkata dia bohong, ketika berjanji dia mengingkari, ketika dipercayai dia khianat dan ketika bertengkar dia lancang."

Sesetengah hukama mengatakan, "Orang yang paling dekat dengan kemunafikan ialah orang yang mengira dirinya bebas dari kemunafikan."

Huzaifah berkata; "Orang munafik saat ini lebih banyak daripada zaman Rasulullah SAW. Ketika itu mereka merahsiakannya, tetapi kini mereka melahirkannya. Kemunafikan ini melawan kebenaran iman. Yang paling jauh dari kemunafikan adalah orang yang takut kepadanya. Sedangkan yang paling dekat dengannya adalah orang yang merasakan diri terbebas darinya."

Kemunafikan ada dua. Pertama, keluar daripada agama dan menjadi kafir, lalu masuk neraka bersama mereka dan abdi di sana. Kedua, kemunafikan yang hanya menyeret seseorang ke neraka saqar atau mengurangi darjat luhur dan jatuh dari darjat orang-orang siddiqin.

~Petikan daripada buku Penenang Jiwa
Terjemahan Kitab Mukashafah Al Qulub~


Nota : Seringkali kedengaran ungkapan munafik dilabelkan kepada individu tertentu tanpa memahami kesemua ciri-ciri yang terdapat pada seorang munafik itu. Hati-hatilah bila berkata kerana mungkin yang menuduh itu lebih dekat kepada kemunafikan berbanding dengan yang dituduh.

"Ya Allah Ya Quddus, bersihkanlah hati dan jiwaku dari sifat-sifat yang Kau murkai, dari sikap-sikap yang Kau benci. Lindungilah daku dari kejahatan yang ada dalam diri dan juga dari makhluk ciptaanMu yang lain. Aku lemah Ya Allah, bantulah daku, lindungilah daku..."