Soalnya; "Bagaimana nak melembutkan hati?"
Jawab saya; "Ustazah yang mengajar saya pernah bagitahu, ingati mati dan bacalah Al-Quran." Sebagaimana Sabda Rasulullah yang telah memberikan panduan pada kita tentang cara membersihkan hati.
Jalan menuju kebenaran, langkah menuju kejayaan tidak ada titik tetap untuk dimulakan. Kita umat Islam ada tali yang perlu dipegang agar kita tak tersesat dari laluan iman. Ada garisan yang perlu diperhatikan agar tingkah tidak tersasar dari jalan kebenaran.
Rasulullah sendiri pernah menegaskan bahawa jika kita berpegang kepada 2 perkara, iaitu Al-Quran dan Al-Hadis, insyaAllah kita akan sentiasa terpelihara.
Mungkin kita tak faham apa yang dibaca dan ini membataskan penghayatan ke atasnya. Namun ia tak boleh dijadikan alasan untuk melupakan Al-Quran. Hayatilah doa khatam Quran ini, dan inilah sebaik-baik doa yang perlu kita serapkan dalam hati.
Doa Khatam Quran
Dimulai dengan Nama Allah yg Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam sebagai pujian daripada orang yang bersyukur dan kesudahan yang baik bagi orang bertaqwa. Solat dan salam ke atas Rasul kami, Nabi Muhammad dan ke atas ahli keluarga dan sekalian para sahabatnya.
Ya Allah, Ya Tuhanku! Rahmatilah aku dengan Al-Quran dan jadikanlah Al-Quran bagiku sebagai pemimpin, cahaya, petunjuk dan rahmat. Ya Allah, Ya Tuhanku! Ingatkanlah aku apa yang aku terlupa daripada ayat-ayat Al-Quran. Ajarkanlah aku daripada Al-Quran apa yang belum aku ketahui. Berikanlah aku kemampuan membacanya sepanjang malam dan siang; dan jadikanlah Al-Quran itu hujah dan bagiku (untuk menyelamatkan daku di akhirat), wahai Tuhan Sekalian Alam.
Ya Allah, Ya Tuhanku! Perbaikilah agamaku yang merupakan pengawal urusankanku. Perbaikilah duniaku yang merupakan tempat hidupku. Perbaikilah akhiratku yang merupakan tempat kembaliku; dan jadikanlah kehidupan ini sebagai tambahan dalam setiap kebaikan, serta jadikanlah kematian sebagai istirahat bagiku daripada segala kejahatan.
Ya Allah, Ya Tuhanku! Jadikanlah sebaik-baik umurku pada penghujungnya, sebaik-baik amal pada penyudahannya dan sebaik-baik hariku hari bertemu dengan-Mu.
Ya Allah, ya Tuhanku! Aku memohon kepada-Mu kehidupan yang tenang, kematian dalam kebenaran dan tempat kembali yang tidak terhina lagi buruk keadaannya.
Ya Allah, Ya Tuhanku! Aku memohon kepada-Mu sebaik-baik permohonan, sebaik-baik doa, sebaik-baik kejayaan, sebaik-baik ilmu, sebaik-baik amal, sebaik-baik ganjaran, sebaik-baik kehidupan, sebaik-baik kematian. Tetapkanlah (kakiku di atas sirat-Mu) serta beratkanlah timbanganku. Perkuatkanlah imanku dan tingkatkanlah darjatku serta terimalah solatku. Ampunkanlah kesalahan-kesalahan dan aku memohon kepada-Mu tempat tertinggi dari syurga-Mu.
Ya Allah, Ya Tuhanku! Aku memohon kepada-Mu apa-apa yang mewajibkan rahmat-Mu, juga apa-apa yang memastikan keampunan-Mu, keselamatan daripada segala dosa, keuntungan daripada segala kebaikan, kemenangan dengan syurga dan pelepasan daripada api neraka.
Ya Allah, Ya Tuhan kami! Perbaikilah akibat dari setiap urusan kami, hindarkanlah kami daripada kehinaan dunia dan azab akhirat.
Ya Allah, Ya Tuhan kami! Kurniakanlah kami rasa takut kepada-Mu, agar dengannya dapat menghalang kami dari melakukan maksiat, kurniakanlah kami ketaatan kepada-Mu, agar dengannya akan mendekatkan kami dengan syurga-Mu, kurniakanlah kami keyakinan yang dapat meringankan musibah dunia yang menimpa kami, berikanlah kami nikmat pendengaran, penglihatan dan kekuatan, selama Engkau masih berikan kehidupan buat kami, dan jadikanlah semua itu warisan kami, balaslah orang yang berbuat zalim terhadap kami, bantulah kami dalam menghadapi musuh-musuh kami, janganlah Engkau timpakan musibah dalam agama kami, janganlah Engkau jadikan dunia ini tujuan utama kami, jangan pula Engkau menilai pengetahuan kami serta janganlah Engkau jadikan orang yang tidak mempunyai rasa belas kasihan kepada kami menjadi pemimpin kami.
Ya Allah, Ya Tuhan kami! Jangan Engkau biarkan kami melakukan sebarang dosa melainkan Engkau mengampunkannya, jangan biarkan kami dalam kebuntuan melainkan Engkau melapangkannya, jangan biarkan kami mempunyai hutang piutang melainkan Engkau (berikan jalan untuk) menyelesaikannya dan jangan ada sebarang hajat dunia mahupun akhirat melainkan Engkau menyempurnakannya, wahai Tuhan Yang Maha Penyayang antara yang penyayang.
Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan lindungilah kami daripada azab neraka.
Selawat Allah dan salam yang tidak terhingga ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya serta para sahabat yang terpilih.
Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.
Sebaiknya, setiap hari kita amalkan membaca Al-Quran, paling tidak satu mukasurat. Masjid Negeri Shah Alam menjadikan ianya amalan selepas solat Subuh. Selepas bacaan beramai-ramai, terjemahan Al-Quran juga di baca, kemudian disertai dengan bacaan doa dibawah.
Doa Khatam Quran / Doa Baca Quran.
Maksudnya :
"Ya Allah, rahmatilah kami dengan Al-Quran. Jadikan ia imam kami, cahaya, petunjuk dan rahmat bagi kami. Ya Allah, ingatkan kami apa yang kami lupa, dan ajarkan kami apa yang kami jahil. Kurniakanlah kepada kami agar dapat membacanya pada waktu malam dan pada waktu siang. Jadikanlah ia perisai kami, wahai Tuhan sekelian alam."
Dengarkan juga doa ini dengan rentak berlagu - untuk lebih kesan penghayatan.
Doa Khatam Quran - Jefri Al Buchori
Doa Khatam Quran - Mustika
Doa Khatam Quran - Dr. al-Habib Ahmad `AbduLlah al-Kaff hafizahuLlah dan al-Fadhil Ustaz Fahrurazi Kiyai Hj Kassim
Doa Khatam Quran - Nur Hidayah Almi
Nota : Saya percaya dan yakin bahawa hidayah atau kesedaran perlu di cari dan di minta, bukan ditunggu ia tiba begitu saja. Lalu dimana ia harus bermula?