Mar 26, 2009

Tips Hafazan : Masalah Di Permulaan Surah

Tips Hafazan # 16

Kepada yang pernah cuba menghafaz al-Quraan, mungkin pernah menemui ayat-ayat di permulaan surah yang kelihatan mudah untuk diingat tetapi sukar dihafaz. Secara ringkasnya bolehlah dikatakan bahawa banyak surah yang dimulakan dengan cara yang seragam. Jika dipandang daripada sudut yang positif, keadaan ini boleh memudahkan penghafazan kerana kita telah biasa mendengar atau membaca ayat-ayat berkenaan. Jika dipandang dari sudut lain pula, keadaan ini boleh mengelirukan kerana terdapat persamaan yang ketara antara ayat-ayat berkenaan. Sebagai contoh, cuba bandingkan ayat-ayat di bawah:

a) ayat 1 hingga 4 surah al-Baqarah dengan ayat 2 hingga 6 surah Luqman

b) ayat 1 hingga 3 surah as-Syu’araa’ dengan ayat 1 surah an-Naml dan ayat 1 dan surah al-Qasas

c) ayat 1 surah Yusuf dengan ayat 1 dan 2 surah Luqman.

Jika dibuat analisis ringkas ke atas surah-surah panjang iaitu surah-surah daripada juzu’ pertama hingga juzu’ ke-28, ayat-ayat dipermulaan surah boleh dibahagikan kepada empat kumpulan seperti berikut:

Surah-surah yang dimulakan dengan pujian kepada Allah.
Contohnya:
Al-Fatihah, An-Nahl, Al-Kahf, Al-Furqaan, Saba’, Al-Faatir, As-Saffaat, Ar-Rahmaan, Al-Hadid, Al-Hasyr, As-Saff, Al-Jumu’ah, At-Taghabun

Surah-surah yang dimulakan dengan memperihalkan tentang al-Quraan
Contohnya:
Al-Baqarah, Aali-‘Emraan, Al-‘araaf, Yunus, Hud, Yusuf, Ar-Ra’d, Ibraaheem, Al-Hijr, Taaha, An-Noor, As-Syuaraa’, An-Naml, Al-Qasas, Luqmaan, As-Sajdah, Yaasin, Saad, Az-Zumar, Ghafir, Al-Fussilat, As-Syuura, Al-Zukhruf, Ad-Dukhaan, Al-Jaathiyah, Al-Ahqaaf, Qaf, At-Tuur,

Surah-surah yang dimulakan dengan ayat-ayat hukum.
Contohnya:
An-Nisaa’, Al-An’aam, Al-Maaidah, Al-Anfaal, At-Taubah, Al-Ahzaab, Muhammad, Al-Hujurat, Al-Mujaadalah, Al-Mumtahanah, At-Talaaq, At-Tahreem

Surah-surah yang dimulakan dengan ayat-ayat mengenai hari Qiamat.
Contohnya:
Al-Anbiyaa’, Al-Hajj, Az-Zariyat, Al-Qamar, Al-Waqi’ah

Masalah yang dihadapi oleh ramai penghafaz ialah setelah menamatkan hafazan sesetengah surah berkenaan mereka berasa bahawa mereka telah dapat menguasai keseluruhan surah dengan betul. Namun, apabila dibaca semula surah berkenaan, mereka tidak pasti samaada hafazan mereka, terutamanya pada ayat-ayat pembukaan setiap surah, tepat atau tidak kerana terdapat ayat-ayat pembukaan surah lain yang hampir serupa. Atau, pada permulaannya, sesetengah penghafaz al-Quraan mendapati agak mudah untuk mengingati ayat-ayat pembukaan surah-surah yang dinyatakan di atas. Namun, dalam tempoh yang singkat, ayat-ayat tersebut hilang daripada ingatan.

Jika masalah ini berlaku, janganlah dibimbangkan sangat. Teruskan menghafaz ayat-ayat berikutnya dalam surah berkenaan. Janganlah menjadikan kesukaran menghafaz ayat-ayat awal surah sebagai penghalang kepada penghafazan keseluruhan surah. Janganlah juga ‘memaksa diri’ menghafaz atau terlalu menumpukan perhatian kepada ayat-ayat awal surah yang akibatnya sasaran untuk menghafaz keseluruhan al-Quraan tidak tercapai. Pada hakikatnya untuk ingatan kita memerlukan masa untuk menyelaraskan hafazan kita terhadap ayat-ayat awal surah. Melalui semakan semula (revision) dalam tempoh tertentu penyelarasan akan berlaku secara ‘natural’ tanpa dipaksa.

No comments: