Jul 1, 2009

Hukum mencantikkan kubur.


Ini ialah gambar satu perkuburan di Singapura.

Bila saya lihat gambar di atas, saya terfikir yang kita semakin menghampiri cara kaum kafir tanpa di sedari. Sungguh menyedihkan. Asal manusia adalah dari tanah, dan kepada tanahlah kembalinya manusia. Saat kita dibangkitkan di padang mahsyar nanti, kita adalah sedarjat... tanpa pangkat, tanpa harta yang membezakan tingkat.

Secantik manapun kubur terpahat, kalau tak ada amal ibadat yg menjadi penyelamat, di bawah sana mayat kaku akan tersiksa jua. Tak guna ayat Quran indah terukir jika tak ada siapa yg sudi membaca dan menyedekahkan kepada pemilik kubur.

Dari Jabir radhiyallahu 'anhu, dia berkata;

"Rasulullah shallallaahu 'alaihi wa sallam telah melarang kuburan dikapur (di simen), dijadikan tempat duduk, dan juga didirikan bangunan diatasnya."
(Hadith Riwayat Imam Muslim)

Bukankah itu telah menunjukkan larangan Rasulullah dan hukumnya adalah haram jika kubur dibina menggunakan marmar (marble) dan seumpamanya, kerana amat berlawanan dengan ajaran Rasulullah shallallaahu 'alaihi wa sallam.

Segelintir masyarakat Islam terikut-ikut dengan budaya orang kafir yang membawa bunga-bungaan / jambak-jambak bunga dan seumpamanya bersama jenazah. Hukumnya adalah haram kerana perbuatan tersebut adalah pembaziran harta tanpa faedah, malah lebih kepada bertujuan untuk bermegah-megah dan berbangga.

Bandingkan pula dengan gambar perkuburan Baqi' di Madinah;


Perkuburan Baqi' yang tak berubah semenjak zaman Rasulullah. Hanya batu bukit sebagai tanda, yang sentiasa berzikir untuk si mati. Segala ucap salam dan doa buat ahli kubur, diterima sekata. Bukan berdasarkan cantiknya hiasan yang terukir dan tulisan Al-Quran yang terpamir.

Bila Izrail datang memanggil, akan tertinggallah segala harta dan sanak saudara. Lalu apakah ertinya membuat hiasan kubur yang indah dimuka dunia? Nak dipandang pun tak nampak di mata kerana jasad telah berada di bawah sana?