Apr 26, 2008

Pesanan itu satu dakwah

Saya menghadiri satu ceramah oleh Ustaz Fitri Abdullah bertajuk 'Cabaran dakwah masakini.' Banyak isi yang menarik dan begitu menyentuh hati, terutama pengalaman beliau sendiri. Setiap individu Islam punya tanggungjawab untuk berdakwah, ataupun lebih umum kalau dikatakan berpesan untuk mengingatkan dan menyeru kearah kebaikan. Seperti dalam surah Al-'Asr yang bermaksud;

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran."

Kita manusia memang mudah lupa, kerana itulah setiap kali menghadiri ceramah, diakhir sesinya kita digalakkan membaca tasbih Kifarah dan Surah Al-'Asr. Semoga dengan itu, kita akan perpanjangkan ilmu dan berpesan-pesan antara sesama insan.

Peringatan atau dakwah harus bermula di rumah. Dakwah dari suami untuk isteri, dari isteri untuk suami, dari ibubapa kepada anak-anak dan juga boleh dari anak-anak kepada ibubapa. Peranan wanita dalam keluarga terlalu penting. Kerana itu beliau menyeru agar kaum hawa jangan lupakan pesan yang disebut oleh Imam Al-Ghazali. Menurutnya, Imam Al-Ghazali pernah meninggalkan 5 pesanan kepada kaum wanita iaitu;

1- Solatlah diawal waktu
2- Bacalah Al-Quran setiap hari.
3- Bacakan Hadis setiap hari kepada keluarga
4- Hiduplah dengan cara sederhana dan jangan bebankan suami
5- Galakkan suami untuk beribadat.

Pesanan ke 3 dan ke 5 ialah seruan kepada kaum hawa untuk berdakwah, berpesan kepada ahli keluarga iaitu anak-anak dan juga suami.

Nota:
"Ya Allah, Ya Azhiim... Sesungguhnya aku hambaMu yang penuh dengan kelemahan dan kekurangan, lalu bekalkan aku dengan ilmu yang berkekalan dan pahatkan aku dengan amal yang berterusan agar aku mampu menjalankan tanggungjawab yang Kau serahkan padaku dengan sebaik-baiknya. Ilhamkan aku dengan pengajaran, agar aku mampu perbaiki dunia dan akhiratku hanya keranaMu Ya Allah.

Celikkan mata hatiku untuk mencari kebaikan, dan butakan mata hatiku demi menjauhi keburukan. Kuatkan suaraku untuk mencegah kemungkaran dan lancarkan bicaraku untuk mempertahankan kebenaran. Sesungguhnya Engkaulah yang memiliki diriku, yang mengatur perjalanan hidupku, lalu bimbinglah aku agar tak tersalah arah.... Amin."

Apr 24, 2008

Bersyukur

Daripada Nu'man bin Basyir r.a. katanya; Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud,

"Sesiapa yang tidak bersyukur akan sesuatu (nikmat) yang sedikit bermakna ia tidak bersyukur akan sesuatu (nikmat) yang banyak dan sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia (yang berbudi kepadanya) bermakna ia tidak bersyukur kepada Allah. Dan ingatlah bahawa menyebut-nyebut akan nikmat Allah bererti bersyukur (kepadaNya) dan melupakannya bererti mengkufuri nikmat Allah; dan (ingatlah lagi) bahawa bersatu padu (sesama umat Islam) membawa kepada rahmat dan berpecah belah membawa azab sengsara.

(Riwayat Abdullah bin Imam Ahmad)

Nota: Kita biasanya tidak sedar betapa bertuahnya kita kerana berada dalam keadaan tertentu, sehinggalah kita kehilangan apa yang kita pernah ada. Keinginan mengejar sesuatu yang lebih baik banyak didorong oleh nafsu yang ditunggangi oleh syaitan. Ada cerdik pandai (yang saya tak ingat dimana saya jumpa) pernah berkata (mungkin jugak terbaca dimana-mana) mengatakan bahawa nafsu tak boleh dibunuh selagi kita bernyawa. Apa yang boleh dilakukan ialah mendidiknya. Bagaimana? Dengan cara mengisi dada dengan iman dan melaksanakan dengan amal. Tak mudah, tapi memang boleh dilakukan jika ada kemahuan dan keazaman yang mendalam.

'Allah memilih hambanya yang mahu diberikan hidayah.' Tentunya setiap orang mahu menjadi insan terpilih, kan? Terpilih untuk naik pangkat, terpilih untuk memenangi peraduan jutawan, terpilih untuk menang rancangan realiti tv, terpilih untuk ditempatkan dihati... terpilih... terpilih... terpilih... Tapi mahukah anda terpilih untuk menjadi hambanya yang diredhai oleh Allah? Kalau ada niat untuk menjadi insanNya yang terpilih, mengapa tidak berusaha? Kenapa masih lalai dan leka dengan dunia? Kenapa masih teruja mengejar segala yang menjauhkan kita dariNya? Mengejar dunia, mahukan kesenangan hidup dengan pelbagai cara, malah ada yang
sanggup berhutang untuk menyimpan dengan harapan ianya akan memberikan keuntungan di masa depan. Kemudiannya ada yang terpaksa lakukan 2 kerja untuk pastikan setiap hujung bulan cukup untuk buat bayaran. Lalu bila kita ada masa untuk mengabdikan diri padaNya?

"Ya Allah Ya Syakuur, jadikan aku hambaMu yang bersyukur dengan segala yang telah Kau kurniakan. Cukupkan aku dengan apa yang ada. Jauhkan aku dan keluargaku dari sifat tamak dan haloba. Rezekikan kami dengan masa untuk beribadat kepadaMu. Kurniakan kami kesihatan yang baik dan ringankan kaki kami untuk melangkah menuju kemajlis ilmu. Mudahkanlah laluan kami untuk melangkah kearahMu.... Amin."

Apr 17, 2008

Mata & Telinga

Rasulullah saw telah bersabda, "Pandangan itu panah diantara panah-panah iblis. Siapa yang meninggalkannya kerana takut kepada Allah, akan diberi iman yang dapat dirasakan hatinya."

Pernah ditanya kepada platon, "Manakah diantara keduanya yang lebih membahayakan hati? Pendengaran atau penglihatan?" Dia menjawab, "Bagi hati, keduanya ibarat dua sayap burung yang tidak boleh naik mahupun turun tanpa salah satu darinya. Jika sayap itu kuat, mampulah dia terbang tinggi, tetapi jika salah satunya dipotong, tentulah dapat melemahkan yang lainnya."

Telah berkata Ali bin Abi Talib ra, "Mata itu perangkap syaitan. Melahap seluruh anggota dengan cepat. Jika nafsunya menyuruh anggota untuk taat kepada Tuhannya, sampailah angan-angannya. Namun jika anggota badan memperturutkan nafsu mendapatkan kelazatannya, sungguh rosaklah amalnya."

Nota : Menjaga penglihatan dan pendengaran begitu penting untuk memelihara peribadi. Kata orang 'dari mata turun ke hati' tapi sebenarnya bukan itu saja yang perlu dijaga tapi telinga juga. Mungkin perlu dicipta satu pepatah baru, 'dari telinga turun ke jiwa' (ish... tak sedaplah, memang tak sesuai langsung tapi tak kisahlah), kerana manisnya kata yang dihalwakan ke telinga mungkin akan membuatkan jiwa yang lemah semakin lemah dan mudah tergoda.

Hakikat manusia yang penuh dengan kelemahan, punya keinginan dan nafsu yang terkadang mengatasi pertimbangan akal. Apa yang terhidang dimata dan telinga mungkin menghilangkan kewarasan yang cuba dipelihara. Tapi kita ada Allah yang sentiasa ada untuk menjaga kita, sentiasa bersedia untuk kita bergantung kepadaNya, lalu mintalah pertolonganNya.

Kita harus berusaha untuk menghidangkan minda kita dengan ilmu yang mampu menyelamatkan kita dari terpedaya. Sentiasa percaya bahawa tetap ada cara untuk kita menjauhi keburukan dunia jika kita berusaha, berdoa dan bertawakkal kepadaNya. Sesungguhnya hanya Dia yang tahu segala tipudaya syaitan yang menyesatkan.

"Ya Allah, Ya Samii' Ya Allah Ya Basir, peliharalah penglihatan dan pendengaranku daripada menjadi alat untuk syaitan mempengaruhi dan melemahkanku. Aku lemah tanpa pertolonganMu, lalu bantulah aku Ya Tuhan.

Ya Allah, hiasilah mataku hanya dengan airmata kekesalan terhadap segala dosa yang pernah aku lakukan, hidangkanlah telingaku dengan bacaan puji-pujian terhadapMu dan juga suara dari kalam yang Kau turunkan, semoga dengan itu terjagalah hatiku dari segala pengaruh kemaksiatan yang hanya akan membawa aku jauh dari rahmatMu. Bantulah aku Ya Allah, ampuni daku ya Tuhan. Amin."

Apr 16, 2008

Berbakti pada ibubapa

Iman Bukhari dan Muslim merawikan,"Ya Rasulullah, siapakah orang yang lebih berhak aku pergauli dengan baik?" Baginda bersabda, "Ibumu." Aku bertanya lagi, "Siapa lagi selepas itu?" Baginda menjawab, "Ibumu." Kemudian aku bertanya lagi, "Siapa lagi?" Baginda menjawab lagi,"Ibumu." Kemudian aku bertanya sekali lagi, "Siapa lagi Ya Rasulullah?" Dan baginda menjawab, "Bapamu."

Asy-Syaikhan merawikan dari Asmak binti Abu Bakar ra, dia berkata, "Ibuku datang kepadaku dan dia seorang musyrik dizaman Rasulullah. Maka aku meminta fatwa Rasulullah SAW. Aku berkata, "Ibuku datang kepadaku sedangkan dia benci kepada Islam. Perlukah aku menemuinya?" Nabi SAW menjawab, "Ya, temuilah dia."

Ibnu Hibban merawikan, "Keredhaan Allah itu bergantung kepada keredhaan kedua orang tua dan kemurkaan Allah juga bergantung kepada kemarahan kedua orang tua."

Menurut riwayat Ibnu Majjah, "Ya Rasulullah, apakah hak kedua orang tua pada anaknya?" Rasulullah menjawab, "Mereka adalah syurga dan nerakamu."

Al-Hakim merawikan juga, "Maafkanlah isteri orang, maka isterimu akan memaafkanmu dan berbaktilah kepada orang tuamu, maka anak-anakmu akan berbakti kepadamu..."

Ibnu Majjan dan Ibnu Hibban meriwayatkan, "Seorang lelaki akan terhalang rezekinya sebab dosa yang dilakukannya. Tidak mampu menolak takdir dan menambah umur kecuali berbakti (kepada orang tuanya)"

Imam empat, dari Ibnu Umar berkata, "Aku punya isteri yang kucintai, namun Umar membencinya. Dia menyuruh aku menceraikannya tapi aku menolak. Dia datang kepada Rasulullah menceritakan hal itu kepadanya. Lalu Rasulullah SAW perintahkan aku menceraikan isteriku."

Nota: Begitu pentingnya kedudukan seorang ibu. Seorang insan cuma ada satu dalam hidup setiap orang, insan yang harus diambil berat dan dijaga hati dan perasaannya. Namun masih ada yang tidak tahu menghargai mereka. Kepada yang masih mempunyai ibu, hargailah mereka. Kepada yang punyai anak, inilah masa untuk menghayati perasaan sebagai ibu. Hidup ini ibarat roda, apa yang kita lakukan pada seorang ibu dulu dan hari ini, mungkin akan dialami oleh kita satu hari nanti. Kembalilah kepada ajaran Allah, pasti segalanya lebih mudah.

Menjadi seorang ibu/ayah tidak mudah. Di dalam melayani keghairahan untuk memberikan yang terbaik untuk anak-anak, terkadang ada yang terlupa bahawa apa yang diberikan itu bukanlah baik untuk akhirat mereka, malah tidak baik juga untuk masa depan mereka di dunia ini. Menyediakan segala kelebihan dan kesenangan untuk mereka terkadang akan melalaikan dan menghilangkan nilai-nilai moral yang paling penting untuk masa depan mereka.

Untuk menjadi anak yang baik bukan sekadar memberi duit bulanan kepada ibu/bapa tapi apa yang mereka perlukan ialah perhatian dan perasaan dihargai sepertimana mereka begitu menghargai kita semasa kecil. Berikan kemanjaan dan bermanjalah dengan mereka seperti apa yang sering dilakukan ketika kecil, pasti itu sudah cukup membahagiakan hati tua mereka.

"Ya Allah, ampunilah dosa kedua ibubapaku, sayangi dan kasihanilah mereka sebagaimana mereka menyayangi dan mengasihani aku ketika aku kecil dahulu. Lapangkanlah ruang kubur untuk mereka, tempatkanlah mereka dikalangan hambaMu yang Kau cintai dan berikanlah kebaikan untuk mereka berada disisiMu... Amin"

Apr 13, 2008

Solat

Solat diibaratkan seperti 'jantung' kepada seluruh amal-amal yang lain. Sabda Nabi SAW;
"Perkara pertama yang akan dihisab ke atas seseorang hamba pada hari kiamat ialag solat, jika elok solatnya, maka eloklah seluruh amalannya, jika rosak solatnya maka rosaklah seluruh amalannya"

Walaupun kita telah diajar untuk bersembahyang sedari kecil tapi nyata ada yang masih gagal untuk mencari rahsia kekhusyukan solat. Bukan senang nak menghindari bisikan syaitan yang sememangnya berusaha untuk mengalihkan dan mengganggu tumpuan. Banyak buku yang menyediakan panduan khusyuk solat, dan antara buku yang amat menarik perhatian saya ialah Bio-Mekanik Solat (Kaedah kemahiran khusyuk melalui fitrah biologi dan satu kaedah terapi) oleh Dr Yusof Abbas.

Ketika melayari internet, saya temui satu pautan video yang amat berguna untuk dibuat perbandingan, untuk dinilai kembali solat yang selama ini dilakukan dan seterusnya membantu memperbaiki solat andai ada yang kurang. Tontoni ceramah berikut oleh Ustaz Rasul Dahri yang bertajuk "Mencontohi Solat Rasulullah" sebanyak 12 siri.

=> Mencontohi Solat Rasulullah Siri 1
=> Mencontohi Solat Rasulullah Siri 2
=> Mencontohi Solat Rasulullah Siri 3
=> Mencontohi Solat Rasulullah Siri 4
=> Mencontohi Solat Rasulullah Siri 5
=> Mencontohi Solat Rasulullah Siri 6
=> Mencontohi Solat Rasulullah Siri 7
=> Mencontohi Solat Rasulullah Siri 8
=> Mencontohi Solat Rasulullah Siri 9
=> Mencontohi Solat Rasulullah Siri 10
=> Mencontohi Solat Rasulullah Siri 11
=> Mencontohi Solat Rasulullah Siri 12

Semoga solat kita akan diterima oleh Allah. Amin.

Apr 11, 2008

Dugaan dan keimanan

Junaid al-Baghdadi ra telah berkata,
"Bala merupakan pelita orang arif, menyedarkan orang murtad, memperbaiki orang mukmin dan menghancurkan orang yang lengah (lupa). Tidak seorangpun akan mendapat manisnya iman sebelum dia ditimpa bala, rela dan sabar."

Hendaklah orang yang berakal taat kepada Allah dengan takut dan ikhlas. Redha dengan keputusanNya. Sabar atas balaNya. Syukur atas nikmatNya serta menerima atas pemberianNya.

Ibnu Aththok berkata,
"Akan terbukti keteguhan dan pembohongan seorang hamba sewaktu berlakunya bencana mahupun kemakmuran. barangsiapa bersyukur disaat makmur, tetapi mengeluh bila ditimpa bencana, jelas dia orang yang dusta. Meskipun orang yang mempunyai segudang ilmu, tetapi mengeluh jika terkena angin bencana, sungguh tidak berguna ilmu dan amalannya. Allah telah berfirman dalam Hadis Qudsi : 'Barangsiapa tidak rela dengan keputusanKu dan tidak bersyukur pula dengan pemberianKu, hendaklah dia cari Tuhan selain Aku!'"

Nota: Setiap insan punya dugaan tersendiri. Jangan mengeluh, jangan bersedih. Sesungguhnya bila Allah turunkan bala, itu tandanya Allah sayangkan hambaNya. Dia mahu kita bangkit dari lena yang panjang, tersedar dari mimpi indah yang melalaikan. Mungkin tika kita leka diulit kesenangan, kita lupa bahawa kita ada tugas lain yang perlu dilaksanakan. Tugas/Tanggungjawab kita sebagai hamba Allah yang diamanahkan...

"Ya Allah, Ya Jabbar, perelokkan dan berbaikilah hati dan jiwakuku dari segala kerosakan yang disebabkan oleh kelemahananku. Hidupkanlah aku dalam iman, matikan aku dalam iman, bangkitkan aku dengan iman dan masukkan aku kesyurga bersama-sama iman. Permudahkanlah kembaraku untuk mencari dan memiliki cintaMu, dan berikan aku keupayaan untuk bertahan menangani segala takdir yang Kau tetapkan untukku. Jadikan aku hamba yang bersyukur dengan anugerahMu dan redha dengan segala pemberianMu. Berkatilah kehidupanku, keluargaku, saudara-saudaraku, sahabat-sahabatku dan kenalan seagamaku. Amin."

Apr 9, 2008

Jangan Lambatkan Taubat

Dalam Hadis Qudsi, Allah SWT berfirman:

"Hai cucu Adam! Janganlah engkau melambatkan taubat, memanjangkan angan-angan dan kembali ke akhirat tanpa amal. Berkata bagai seorang abid namun berbuat seperti orang munafik. Jika diberi tidak menerima. Jika tidak diberi tidak sabar. Suka orang soleh tapi tidak termasuk mereka. Benci orang munafik tapi dia termasuk mereka. Dia perintahkan kebaikan tapi tidak melakukannya. Dia melarang kemungkaran namun tidak meninggalkannya."

Dalam Sohihain dari Abi Hurairah ra bahawa Rasulullah SAW telah bersabda;

"Tanda orang munafik itu tiga; jika berkata dia bohong, jika berjanji dia mungkir dan jika dipercayai/diberi amanah dia khianat."

Nota : Taubat ialah memohon keampunan dari Allah untuk dosa yang dilakukan dan ia harus dilakukan setiap hari. Rasullullah yang dimuliakan Allah dan dijanjikan syurga dikatakan beristighfar 70-100 kali sehari, lalu kenapa kita yang setiap hari terdedah dengan dosa, terlalu liat untuk mengucapkannya, malah selalu menangguh-nangguhkan taubat. Mati tidak dapat dijangka dan dikawal. Jangan melengah-lengahkan taubat. Beristighfarlah selalu untuk membersihkan hati yang kotor.

"Ya Allah Ya Ghaffur, ampunilah daku. Ya Allah Ya Quddus, sucikan dan bersihkanlah hati dan jiwaku dari sifat-sifat yang Kau murkai dan Kau benci. Peliharalah dan jauhilah aku dari kejahatan yang ada dalam diri dan kejahatan yang ada dalam ciptaanMu. Sesungguhnya aku lemah tanpa pertolonganMu, lalu tolonglah aku, bantulah aku. Amin."

Apr 8, 2008

Allah berikan...

Di kisahkan bila Iblis dihalau kerana mendurhakai perintah Allah yang mahukan dia tunduk pada Adam, maka Iblis berkata:
“Ya Tuhan, Kau keluarkan aku kerana Adam. Aku tiada kuasa keatasnya, kecuali dengan kekuasaanMu“.
Lalu Allah berkata,“Engkau Ku-kuasakan atasnya. Yakni, atas anak cucunya.“
Kerana para nabi selamat dari hasutan iblis, iblis berkata, “Berilah aku kuasa lagi.“
Allah berkata, “Setiap kali mereka beranak, kau pun beranak.“
Iblis memohon, “Berilah aku lagi.“
Allah berkata. “Jeratlah mereka dengan tipu daya. Temanilah mereka dengan harta dan anak. Sesatkan mereka dalam agama dan perbuatan yang batil. Perbuatlah sekehendakmu!“

Lalu Adam berkata, “Ya Tuhanku, Engkau telah berikan kuasa kepada iblis terhadap, maka aku tidak boleh menghalanginya kecuali dengan pertolonganMu.
Allah berkata, “Setiap umatmu akan dijagai oleh Malaikat.“
Adam memohon lagi, “Tambahilah aku.“
Allah berkata lagi, “Aku terima taubat mereka selagi mereka masih hidup.“
Adam berkata,“Tambahkanlah aku.“
Allah berkata lagi, “Aku ampuni mereka dan aku tidak mengira segala dosa yang dilakukan.“
Adam berkata lagi, “Baiklah, aku merasa senang sekarang.“

Kemudian iblis berkata, “Ya Tuhanku, Kau jadikan utusan kepada manusia dan kau berikan kitab. Maka siapakah utusanku dan apakah kitabku?“
Allah berkata, “Utusanmu tukang tenung dan kitabmu perangai buruk, hadismu bohong, quranmu syair, tukang azanmu seruling, masjidmu pasar, rumahmu tandas, makananmu sesuatu yang tidak disertakan dengan namaKu, minumanmu adalah yang memabukkan dan perangkapmu adalah perempuan.“

Note : Sesungguhnya terlalu banyak dugaan kepada umat akhir zaman kerana iblis dan syaitan semakin ramai untuk menghasut kita anak cucu Adam. Harta dan anak, sesungguhnya ia adalah anugerah, namun ia juga dugaan yang akan melalaikan kita dari mendekati Allah. Kesibukan, leka bekerja mencari harta kekayaan dan menguruskan anak, andai keterlaluan dalam memberikan perhatian kepada 2 unsur ini, akan memenangkan iblis yang misinya mahu menyesatkan manusia. Agama memberikan panduan tapi, jangan mudah merasa puas dgn title Islam yang ada pada kita kerana walaupun dalam agama, iblis tetap diberi kuasa untuk menyesatkan kita, lalu seharusnya kita berhati-hati agar tidak tersalah memilih pegangan dan fahaman.

"Ya Allah, selamatkanlah kami umat Islam dari segala tali yang syaitan gunakan untuk menarik kami menyertai mereka di neraka. Amin."